Penduduk setempat terutama pelajar sekolah berdekatan mengakui lega kerana terowong di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu yang dibina awal Mac tahun lalu sudah dapat digunakan.
Kemudahan bernilai RM2.6 juta itu merupakan jalan pintas untuk ke pelbagai destinasi, termasuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cina Chung Hwa Wei Sin, Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, Jalan Bukit Kecil dan Pulau Kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Kambing, Encik Elias Jantan,berkata keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) membenarkan orang ramai menggunakan terowong itu sangat dihargai walaupun belum siap sepenuhnya.
Katanya, pegawai atasan JKR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato' Toh Chin Yaw sudah memantau keadaan terowong itu dan membenarkan orang ramai melaluinya bermula 1 Januari lalu.
“Kebenaran itu dianggap berita paling mengembirakan terutama bagi pelajar yang baru memulakan sesi persekolahan 2013 .
“Kami tidak perlu lagi bimbang mengenai keselamatan anak-anak dan penduduk kampung yang ingin melintasi jalan itu di mana sebelum ini sentiasa bedepan dengan risiko kemalangan,” katanya ketika dihubungi Teganukita.
Ketua Penolong Pengarah (Jalan) Jabatan Kerja Raya Terengganu, Encik Ibrahim Awang, berkata pembinaan terowong berjalan kaki bernilai RM2.6 juta itu sebenarnya sudah lama dirancang untuk kemudahan pelajar dan penduduk setempat.
Katanya, terowong 98 peratus siap itu, dibuka kepada kepada orang ramai pada 1 Januari lalu,. “Hanya kerja asas saja belum dapat disiapkan, termasuk memasang lampu jalan, landskap dan meratakan laluan kaki lima” katanya.
Pelajar Tingkatan Empat SMK (Cina) Chung Hwa Wei Sin, Muhammad Lylia Zokarnain Rohaimi, berkata dia dan rakan lain mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membina terowong itu.
“Apabila ianya siap kelak, tiada lagi risiko berlaku kemalangan dan didenda guru akibat lewat datang sekolah,” katanya.