Halaman

09 January 2013

Anugerah cemerlang penjawat awam cetus motivasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Inisiatif kerajaan negeri menganjurkan anugerah pekerja cemerlang mampu menyuntik semangat penjawat awam untuk terus meningkatkan kualiti, menjaga nilai serta etika kerja bagi memantapkan kerjaya, organisasi serta jabatan di sektor awam.

Terbaru, seramai 15 penjawat awam menerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman (WDI) bagi Oktober hingga Disember yang disampaikan di Majlis Perhimpunan dan Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Peringkat WDI, di Dewan Besar WDI, pagi ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Dato’ Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Terengganu (ICU), Haji Ahmad Shahrom Yasin.

Bagi seorang penerima anugerah, Puan Noraini Che Abas, pembantu tadbir dari Unit Komunikasi Negeri, anugerah itu seumpama hadiah daripada kerajaan yang mencetus motivasi dan keazaman kepadanya dan rakan  penjawat awam yang lain supaya sentiasa mematuhi arahan majikan demi kebaikan organisasi..

“Terima kasih kerajaan negeri dan juga majikan saya Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong yang memilih saya pada kali ini. Penghargaan ini harus dibayar balik dengan melakukan kerja sebaik mungkin sebagaimana digariskan ketua dan majikan saya,” katanya.

Encik Mohamad Shaharizan Chik dari Pejabat Unit Pengurusan Maklumat Negeri, pula menganggap anugerah pekerja cemerlang bagi bulan Disember yang diperolehinya sebagai suntikan moral kepadanya supaya terus menambah baik mutu dan prestasi kerja.

“Sebagaimana rakan yang lain, saya juga merasakan anugerah ini sebagai platform terbaik untuk kita mengukur sejauh mana prestasi kerja kita dan terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

 “Bagaimanapun, apa yang sudah baik haruslah perlu ditambah baik dan diperbaiki supaya imej jabatan kita dipandang tinggi semua pihak. Pada masa yang sama, saranan ketua pentadbiran negeri, Dato’ SUK juga seharusnya menjadi pedoman utama dan dipraktikkan bagi mencapai kecemerlangan,” katanya.