Halaman

10 January 2013

Prof Dr. Yahaya yakin mampu terajui UniSZA

Oleh: Noraini Jusoh

Prof Dr. Yahaya Ibrahim yang dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkuatkuasa 1 Januari lalu yakin mampu menerajui institusi terbabit dengan lebih dinamik.

Beliau yang merupakan mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysa Terengganu (UMT) percaya, berbekalkan pengalaman berkhidmat di UMT beliau dapat membawa suatu perubahan baharu kepada UniSZA.

"UniSZA telah lama bertapak dan usaha melakukan tranformasi bukan perkara yang mudah tanpa kerjasama semua pihak.

"Buat permulaan, saya akan berbincang dengan mereka yang terlibat bagi mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi serta mengenalpasti peluang yang boleh diterokai bagi memperkukuh imej universiti ini,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis makan malam sempena menghargai jasa beliau kepada warga UMT yang dianjurkan universiti terbabit, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Katanya, apa yang berjaya beliau laksanakan di UMT akan dibawa ke UniSZA bagi menjayakan misi menjadikan UniSZA sebagai insitusi pendidikan terulung di negara ini.

"Pihak UMT juga telah membuka ruang untuk kita wujudkan kerjasama dan pihak kami akan gunakan ruang dan peluang yang diberi secara optimum,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan hubungan dua hala itu terus berkekalan dan warga UniSZA dapat memberikan kerjasama kepadanya dalam memastikan hala tuju universiti itu bergerak lancar dan seiring dengan matlamat kerajaan dalam memperkasa pendidikan negara.