Halaman

07 January 2013

Penyu,Titans beraksi waktu petang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kempen musim baru Liga Super melibatkan Terengganu dan T-Team sedikit `terencat’ apabila mesyuarat terkini jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) masih gagal memenuhi tahap sebenar yang diperlukan, sekali gus membantutkan hasrat peminat untuk menyaksikan perlawanan pada waktu malam.


Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Abdul Rasid Jusoh, berkata ini bermakna 'The Titans' terpaksa turun menentang jiran tetangga yang juga juara tiga piala musim lalu, Kelantan, pada sebelah petang Sabtu ini. 



Katanya, pengurusan T-Team dikejutkan dengan berita Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah gagal mendapat kelulusan untuk digunakan waktu malam.

"Kami mengharapkan perlawanan tersebut dapat dilangsungkan waktu malam kerana lebih ramai penyokong akan dapat hadir.

 "Bagaimanapun, kami  tetap bersedia untuk bertarung di bawah panas matahari petang sehinggalah lampu limpah stadium baru dapat disiapkan dalam masa tiga bulan lagi," katanya.

Selain isu lampu limpah, Encik Abdul Rashid berkata pasukan Titans ke Lumut bagi menentang Perak esok juga diiringi berita kurang baik apabila kapten pasukan, Marzuki Yusof, disahkan tidak cergas untuk beraksi dalam perlawanan sulung itu.

Manakala jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic, berkata lebih membimbangkan ialah kemungkinan pemain pertahanan itu terpaksa menunggu beberapa minggu lagi untuk beraksi kerana kecederaan lututnya masih belum pulih sepenuhnya.

"Marzuki memang sudah boleh menjalani latihan sekarang ini namun kami tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya dalam perlawanan kompetitif selain dia pulih seratus-peratus," katanya.