Halaman

06 January 2013

JPJ diminta tangani teksi haram

 Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menangani segera kegiatan teksi haram atau 'prebet sapu' agar kehadiran mereka tidak mengganggu khidmat teksi berdaftar.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kegiatan tersebut dilihat memberikan kesan buruk kepada pengusaha teksi berkenaan kerana penumpang lebih gemar mendapatkan khidmat teksi haram berbanding teksi berdaftar kerana tambang yang dikenakan lebih murah serta terdapat di merata tempat.

"Mereka sering tawar tambang murah sebab kebanyakan prebet sapu berkenaan tidak mempunyai permit sah dan tiada insurans kenderaan, namun jika berlaku sebarang kemalangan akan menyusah dan membahayakan penumpang.

"Selain itu, disebabkan tidak berdaftar, mereka sukar dikesan jika melakukan kesalahan terutamanya kejadian jenayah dan ini akan memberikan imej yang tidak baik kepada teksi berdaftar," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Uniform dan Kit kepada pengusaha teksi di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembagunan Usahawan, Encik Azmi Razik dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Seramai 802 pengusaha kereta sewa dari seluruh Terengganu diagihkan pakaian seragam dan `kits’ TMT 2013, membabitkan peruntukan RM120,000 semata-mata mahu mempromosi Terengganu dan meningkatkan imej sistem pengangkutan di mata pelancong.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dia berharap dengan pemberian pakaian seragam tiada lagi rungutan terhadap pengusaha pengangkutan itu selain perlu bersikap lebih sopan dan pandai menjaga imej Terengganu.

“Selepas Kuala Terengganu diiktiraf menjadi sebuah bandaraya, banyak lagi kerja perlu dilaksanakan termasuk usaha penjenamaan semula sistem pengangkuta awam lain.

“Antaranya pembinaan steten teksi bagi penguasaha kereta sewa yang akan berpusat berhampurab Dataran Shahbandar Kuala Terengganu. Ini membuktikan kerajaan negeri amat serius dalam mempertingkatakan mutu pengangkutan awam,”katanya.