Halaman

11 January 2013

Buku Kosa Kata Terengganu dilancarkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Buku mengandungi himpunan longhat Terengganu yang dapat membantu mempromosi Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, bakal dilancarkan di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, jam 8 malam, Sabtu ini (12 Januari).

Pelancaran buku Kosa Kata Terengganu yang juga bersempena malam gala Aspirasi Darul Iman Cetusan Seribu Harapan akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Penolong Setiausaha Kerajaan Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian negeri, Encik Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil, berkata buku berkenaan yang diterbitkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka akan menjadi satu lagi produk bagi mempromosikan Terengganu khususnya pada TMT 2013.

Katanya, buku yang pernah diterbitkan sebelum ini ditambahbaik dengan menambah kosa kata sedia ada hasil tulisan Tuan Shariff Tuan Putera untuk menonjolkan keunikan dialek tempatan yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

“Pelancaran berkenaan bukan sahaja dihadiri penggiat pelancongan negeri, malah turut disertai rombongan dari Kementerian Pelancongan Narathiwat Thailand yang berkunjung ke negeri ini,” katanya.