Halaman

08 January 2013

Perbincangan bab agama dalam facebook harus ada batasan, rujuk pakar agama

Oleh: Aida Abd Rahman

Trend memberi komen dan pandangan mengenai agama menerusi laman facebook di kalangan pengguna media sosial yang bukan pakar mengenai bidang itu boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan sesama umat Islam.

Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu, Ustaz Ahmad Kamal Abdullah, berkata dasar langit terbuka kini memberi banyak ruang dan peluang kepada semua tanpa mengira latar belakang untuk melayari internet, malah mempunyai akaun facebook dan twitter masing-masing bagi menghebahkan setiap perkara termasuk membicarakan mengenai bab agama.

“Sememangnya kita menggalakkan semua individu celik IT dan sentiasa berdiskusi untuk mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan termasuk perihal agama.

“Namun, perlu diingat perkara ini (agama) perlu ada batasan, harus dirujuk dan hanya boleh diperdebatkan oleh mereka yang pakar kerana dibimbangi apabila kenyataan terpesong, diputarbelit oleh pihak yang mengambil kesempatan, situasi itu boleh mencetus kepada perpecahan dan huru-hara di kalangan umat Islam,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar membincangkan isu agama, malah ada pula yang bersikap di luar batasan dengan membuat kenyataan di laman sosial seperti facebook yang menghina Islam.

Terbaru, sebuah akhbar melaporkan Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang wanita yang menggunakan akaun `Adlin Abdul Jalil’ di facebook yang berunsur hasutan serta menghina kesucian agama Islam.

 Ustaz Ahmad Kamal berkata, contoh paling mudah, sekiranya seseorang individu mengalami penyakit dan memerlukan keputusan segera apakah kakinya harus dipotong bagi memastikan penyakit yang dihidapinya tidak melarat, keputusan itu harus dirujuk kepada pakar perubatan.

Menurutnya, adalah tidak wajar sekiranya mendapat pandangan dan membuat keputusan mahupun ketetapan mengenai sesuatu perkara daripada orang yang tidak profesional dan arif di bidang berkenaan kerana kemungkinan besar akan menimbulkan kemudaratan dan risiko akibat tindakan itu nanti.

Katanya, pandangan mengenai hukum agama hanya boleh dikeluarkan oleh para alim ulama dan tidak boleh diperdebatkan secara terbuka serta sembarangan dalam facebook mahu pun twitter yang bertujuan supaya mendapat respon (komen) oleh pelbagai golongan termasuk bukan Islam.

“Kalau kita bukan pakar, tidak arif dan tiada ilmu mengenai hukum Islam, kita tidak boleh beri ulasan mengikut persepsi dan pandangan peribadi kita semata-mata.

“Kejahilan dan kekurangan ilmu agama di kalangan umat Islam itu sendiri boleh memerangkap dan menjadi racun yang meruntuhkan institusi agama.Oleh yang demikian, kita harus sentiasa merujuk kepada ulama dan ilmuwan sekiranya mahu merungkai setiap permasalahan agama,” katanya.

Menurutnya, umat Islam juga harus sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan kenyataan oleh segelintir golongan yang mungkin menyamar di sebalik nama seorang Islam dan mempunyai agenda tersendiri mahu meracuni pemikiran umat dengan hasrat supaya kekuatan umat kian lumpuh.