Halaman

12 January 2013

Jualan Pau Rahimah laris

Oleh: Suriati Ali

 Walaupun hanya bermula dengan adunan tiga kilogram (kg) gandum sehari untuk menghasilkan pau pada awal memulakan perniagaan lapan tahun lalu, kini pemilik Pau Rahimah mampu menghabiskan 100 kg gandum sehari.

 Berkat usaha dan kesabaran tinggi, Puan Rahimah Sulong, 50, kini mampu tersenyum berikutan hasil jualan pau yang diusahakan semakin mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan sehingga mencecah 5,000 biji sehari .

Lebih membanggakan, perniagaan yang dibantu tujuh orang saudara itu mampu memperoleh keuntungan mencecah RM5,000 sebulan berbanding di awal perniagaan iaitu hanya RM40 sebulan.

Kejayaan dikecapi itu hasil dorongan keluarga dan sikap cakna Jabatan Pertanian Negeri Terengganu (JPNT) yang memberi sumbangan berupa bengkel dan peralatan, bernilai lebih RM60,000.

 Bantuan itu termasuk dua mesin pengadun, satu pemanas dan pengukus yang boleh menghasilkan pau dalam kapasiti lebih besar dengan rasa dan mutu lebih baik.

 Pada mulanya, Puan Rahimah dari Kampung Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu, hanya menjalankan perniagaan di rumah dengan bantuan arwah ibu.

Selain mempunyai niat ingin membantu meringankan beban suami menyara tujuh anak yang masih kecil dan bersekolah.

 Katanya,idea untuk memulakan perniagaan pau ini dicetuskan adik yang prihatin dengan kesusahan kami sekeluarga.

 “Dengan bermodalkan sedikit simpanan iaitu kira-kira RM2,000, saya mengambil keputusan menceburi bidang ini dengan bahan mentah dan mesin adunan.

“Pada awalnya, saya membuat kuih di rumah dengan purata 200 biji sehari dan menjualnya kepada pemilik warung kopi berdekatan serta beberapa jiran,” katanya.

 Selepas dua tahun berniaga di rumah, usahanya mendapat perhatian JPNT yang menawarkan sebuah bengkel bernilai RM30,000, semata-mata mahu melihat perniagaan Pau Rahimah terus maju.

 “Syukur Alhamdulillah, dengan bantuan itu, saya mampu mengeluarkan 6,000 pau sehari. Produk Pau Rahimah diedarkan di sekitar Kuala Terengganu termasuk di 10 asrama sekolah, kedai runcit, restoran dan penjaja tepi jalan.

 “Bagaimanapun, ia belum dapat memenuhi permintaan yang ada kala menjangkau 10,000 biji sehari,” katanya yang berharap dapat menambah mesin pengadun bagi meningkatkan pengeluaran.

“Besar harapan saya agar perniagaan ini bukan saja menjana pulangan lumayan, tetapi memberI manfaat kepada masyarakat setempat, terutama suri rumah bagi memberi pendapatan sampingan,” katanya.

 Produk Pau Rahimah boleh didapati dalam bentuk sejuk beku dan sedia dimasak. Pelbagai perisa ditawarkan termasuk kacang,, daging, ayam, kelapa, sardin dan kaya dengan harga antara RM0.40 sen sehingga RM 0.70 sebiji.