Halaman

09 January 2013

Lima daripada 127 Taska seluruh negeri belum daftar

Oleh; Esah Abdullah

 Lima buah taska daripada 127 taska beroperasi di seluruh Terengganu masih belum berdaftar manakala lima lagi masih dalam proses mendapat kelulusan.

Penyelaras Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Encik Mohamed Abdan Ishak berkata, dijangkakan semua Taska terbabit akan berdaftar tahun ini kerana prosesnya kini menjadi semakin mudah.

Katanya, syarat pendaftaran kini tidak perlu lagi mendapat sokongan atau kelulusan daripada agensi teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan namun jika ada adalah lebih baik.

Beliau berkata demikian dalam satu perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha Taska di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) baru-baru ini.

Menurutnya, syarat-syarat asas yang lain masih perlu dipatuhi oleh para pengusaha, seperti nisbah pengasuh dengan kanak-kanak mencukupi, iaitu di bawah umur tiga tahun 1:5, tiga hinga empat tahun 1:10 dan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) 1:4.

“Syarat lain pengasuh mesti warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas, telah hadir dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK), memantuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai iaitu 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak,” katanya.

Katanya, pihak pengusaha Taska juga perlu menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak.

Selain mempunyai kemudahan peralatan dan perabot sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak, menyedia dan menyelenggara rekod-rekod di Taska.

“Kebersihan dan keselamatan dalam dan di luar premis Taska, bayaran pendaftaran dikenakan sebanyak RM50 dan apa-apa syarat lain yang difikirkan patut dan sesuai,” katanya.