Halaman

08 January 2013

Wanita tunggu 'semboyan' presiden parti

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri Terengganu (PWUPNT) sentiasa optimis menjalankan tugas parti dan yakin lebih 63,000 ahlinya di seluruh negeri adalah penyokong setia Barisan Nasional (BN)

Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, wanita telah mengerakkan jenteranya sejak awal tahun lalu dan kini persiapannya telah mencapai tahap maksimun.

“Kita hanya menunggu ‘semboyan’ yang akan dibunyikan oleh presiden parti sebagai pengumuman Pilihan Raya Umum (PRU) pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Cek Bantuan Kemanusiaan Gaza di Bilik Mesyuarat UMNO Perhubungan Terengganu semalam.

Mengenai calon wanita pada PRU13 nanti, beliau mengesahkan turut menghantar tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) .

 “Saya yakin jika diberi peluang wanita boleh memikul tanggung jawab sebagai wakil rakyat yang berjaya membantu masyarakat setempat,” katanya yang berharap calon wanita tersenarai dalam PRU13.

Katanya, wanita  berazam untuk bekerja keras demi kemenangan parti dan memastikan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang dalam PRU 2008 lalu kembali ke tangan BN.

“Soal calon wanita terpilih atau tidak bukan fokus utama kami sekarang, sebaliknya kemenangan parti BN yang diperjuangkan untuk kesenimbungan tradisi membela rakyat serta menjamin kesejahteraan kehidupan generasi akan datang,” katanya.

Beliau juga mengingatkan kepada semua wanita supaya akur dengan keputusan Presiden parti mengenai senarai calon PRU yang akan diumum nanti.

 “Wakil rakyat boleh datang dan pergi tetapi jika kuasa memerintah parti BN hilang, masa depan negara belum tentu berada dalam keadaan seharmoni hari ini,” katanya.