Halaman

30 January 2013

Pemimpin Pas bakal menurut jejak Nasharudin

Dato' Haron Din
Zainon Ismail
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali 

Beberapa pemimpin kanan Pas dijangka bakal dipecat sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu, kata bekas pengikut setia parti itu yang juga penulis buku `Kafirkah Aku?’, Zainon Ismail.

Menurutnya, antara nama lain yang disebut-sebut berada dalam senarai pemecatan oleh Majlis Syura Ulama Pas ialah Timbalan Musyidul Am parti itu, Dato’ Haron Din.

Dato' Haron sebelum ini merupakan antara pemimpin Pas yang lantang mengkritik kesediaan parti itu membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada agama-agama lain di negara ini.

Katanya,  semua itu tidak mustahil perkara itu berlaku selepas bekas Timbalan Presiden parti itu Nasharudin Mat Isa digugurkan sebagai ahli majlis itu pada 13 Jan lalu.

“Saya yakin ada lagi pemimpin Pas bakal menerima nasib seperti Nasharudin akibat tindakan mereka mempertikai mengenai kerjasama dengan DAP, selain berkaitan isu kalimah Allah. Akhir sekali saya rasa orang yang akan dipecat selepas Muktamar Pas akan datang ini kemungkinan Mohamad Sabu atas isu syiah. Saya rasa perdebatan ini selepasa muktamar, selepas pilihan raya.

“Majlis Syura Ulama Pas adalah badan tertinggi parti itu dan apabila keputusan dibuat oleh majlis itu, maka ia tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan,” katanya yang menggunakan nama penanya, C.N.Al-Afghani ketika menghadiri program diskusi ‘Dilema dan Ranjau Perjuangan Islam di Malaysia’ di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan pemecatan Nasharudin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama parti itu berikutan tindak tanduknya yang didakwa boleh merugikan parti itu.


29 January 2013

Radio masih relevan sebagai alat penyampai maklumat

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Radio masih relevan sebagai penyalur maklumat walaupun masyarakat negara ini disogokkan dengan pelbagai kemudahan Teknologi Maklumat (IT) yang canggih.

YB Dato' Haji Ahmad Razif ketika diwawancara secara langsung di konti  radio TFM
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata masih ramai rakyat yang mendengar radio setiap hari bagi mendapatkan sumber maklumat, terutama mereka yang sibuk dengan pelbagai tugas rutin.

“Justeru itu, radio perlu mengetengahkan pelbagai maklumat semasa yang tepat dan benar serta tidak mengelirukan rakyat. Radio mampu menggantikan bahan-bahan bacaan dalam menyebarkan maklumat kepada rakyat,” katanya.

 berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Komunikasi Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan & Pelancaran Program Bahasa Radio Malaysia Terengganu fm di TfM petang ini.


Program tersebut dianjurkan Unit Komunikasi Negeri dengan kerjasama TfM. Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Hajah Azizah Mohd Yusoff.

Dato’ Haji Ahmad Razif memuji program tersebut yang dianjurkan oleh TfM kerana ia mampu meningkatkan kemampuan pendengar berbahasa Inggeris dan Arab.

Beliau berkata, seperti mana media lain, radio masih mampu memainkan peranan untuk mendidik anak-anak dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan agama.

 



Rakyat perlu setia pada kerajaan BN

"Hanya BN sahaja yang mampu dan menepati janji memberi
perkhidmatan terbaik untuk rakyat" - Dato' Seri Haji Ahmad
Said.
Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengajak rakyat, termasuk imam dan bilal di Terengganu supaya terus menyokong perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana jelas pihak itu mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

 Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, sebagai rakyat yang pernah menerima pelbagai kemudahan dan kebajikan sewajarnya terus setia kepada kerajaan sedia ada.

 “Jika tidak berbuat demikian, adakah kita sanggup memilih pembangkang untuk memerintah Terengganu di mana secara realitinya jelas dan gemar mengeluarkan fatwa mengarut sehingga memecahkan hubungan kekeluargaan.

“Saya membuat anologi bahawa beberapa bom yang diletakkan oleh pemimpin Pas kini meletup dan terkena mereka sendiri.

 “Bom pertama menjadi kafir jika berpakat atau berikat dengan orang bukan Islam, sepertimana fatwa pemimpin Pas sebelum ini yang dinamakan sebagai kafir berikat,” katanya ketika berucap pada Program Perjumpaan Bersama Imam, Bilal dan Guru Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain).

 Dato’ Seri Haji Ahmad tururt memberitahu akhirnya bom itu meledak ke muka mereka sendiri apabila Pas kini bersama dalam pakatan dengan DAP (bukan Islam) dan berbagai lagi, bahkan tindakan DAP menentang Islam menjadikan bom itu meledak lebih kuat lagi.

 Katanya, bom kedua Pas ialah dengan mengatakan Umno menjadi kafir kerana mengekalkan perlembagaan penjajah yang diasaskan oleh Lord Reid, sehingga Haji Hadi membuat fatwa menentang Umno itu jihad dan kalau mati adalah syahid, seperti peristiwa di Memali.

 “Apabila Pas memerintah beberapa negeri perlembagaan kafir itulah juga yang dikekalkan. “Bom ketiga yang pemimpin Pas memerangkap Umno dengan mengatakan Umno menentang hukum Allah kerana tidak melaksanakan Hukum Hudud dan jika Pas diberi kuasa akan melaksanakannya sebelum ‘ayam berkokok”.



Cikgu Zainon mahu semuka dengan Presiden Pas

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Penulis buku `Kafirkah Aku?’, Zainon Ismail bersedia untuk berada di satu pentas dengan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang bagi menyelesaikan isu perpecahan di kalangan umat Islam akibat Amanat Haji Hadi. 

Zainon Ismail (kiri) bersedia untuk bermuzakarah dengan Haji Hadi bagi menyelesaikan isu perpecahan umat Islam akibat Amanat Haji Hadi.
“Saya merasakan isu Amanat Haji Hadi ini tidak akan selesai selagi mana tiada pihak-pihak tertentu berani berdepan dengannya (Abdul Hadi) untuk muzakarah, berbincang atau berdebat bagi menyelesaikan isu yang ada kaitan dengan akidah ummah itu.

“Atas kesedaran ini, saya rasa saya bertanggungjawab untuk bersemuka dengan Haji Hadi atas satu pentas yang sama, di mana-mana sahaja, bila-bila masa sahaja yang dianjurkan oleh sesiapa sahaja atas isu Amanat Haji Hadi dan juga buku saya, Kafirkah Aku,” katanya di sidang akhbar sempena Program Diskusi Dilema dan perjuangan Islam di Malaysia, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

 Lebih 3,000 peserta di kalangan imam, bilal dan guru Kafa seluruh Terengganu menyertai program diskusi anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) bersama Yayasan Islam Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Zainon yang lebih dikenali dengan Cikgu Zainon menegaskan beliau melakukan sedemikian bukan atas kepentingan dan agenda politik, tetapi bertujuan untuk memulihkan perpecahan di kalangan umat Islam yang sudah terpesong akidah mereka akibat Amanat Hadi itu.

“Saya sebut di sini bahawa ini bukanlah Isu politik, tetapi isu ummah, ke arah menyatu-padukan semula orang Islam di Malaysia yang berpecah atas isu parti,” katanya.

Beliau juga mahu supaya pertemuan itu dapat diatur dalam waktu terdekat dengan mengambil kira persetujuan presiden parti agar masalah yang serius melanda umat Islam itu dapat diatasi segera.

 “Kalau boleh saya minta buku Amanat Haji Hadi, cetakan ulangan ini dibuat dan diterbitkan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat, sekiranya Dewan Pemuda Pas Pusat bersetuju, mereka boleh menganjurkan program bersemuka antara saya dan juga Haji Hadi.

 “Terpulang kepada pihak berkenaan, siapa yang rasa perlu anjur dan kemampuan Haji Hadi bersedia atau tidak, tarikh itu mereka boleh tentukan bila. Kalau boleh saya minta dalam tempoh terdekat, sebab kita tidak mahu benda ini (isu amanat) berterusan sampai bila-bila,” katanya.


Cikgu Zainon bongkar perjanjian rahsia

PENDEDAHAN...Cikgu Zainon atau lebih dikenali sebagai C.N Al-Afghani menunjukkan buku tulisannya, Kafirkah Aku? membongkar dan meminta supaya Haji Hadi menarik balik amanatnya yang nyata memesongkan umat Islam di negara ini.
Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Seorang bekas ahli Pas seumur hidup yang dikenali sebagai Cikgu Zainon Ismail (C.N Al-Afghani) mendakwa parti itu pernah menandatangani perjanjian rahsia antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengugurkan terus perjuangan berkaitan hukum hudud dan negara Islam di Malaysia.

 Katanya, dia berani mengeluarkan kenyataan kerana ada bukti jelas dan fakta di mana perjanjian itu pernah ditangani bersama pemimpin-pemimpin tertinggi ketiga-ketiga parti pada 18 Disember 2009.

“Pemimpin parti yang terlibat dalam perjanjian itu adalah Presiden Pas, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim.


“Di antara kandungan perjanjian itu adalah sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, pemerintahan itu tidak akan menyentuh hukum hudud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dilema dan Ranjau Islam Di Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada iman, bila dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa). Cikgu Zainon pernah meletakkan jawatan sebagai guru sekolah rendah semata-mata taksub kepada Amanat Haji Hadi selain mahu membantu perjuangan Pas.


Beliau pernah berjuang bersama mujahidin di bumi Afghanistan sekitar 1988. Merupakan ahli Pas seumur hidup dan pernah menjadi exco Dewan Pemuda Pas Kedah bermula 1991 hingga 1997.

 Sangat taksub dengan Amanat Haji Hadi sehingga sanggup kafirkan saudara kandung sendiri. Cikgu Zainon turut memberitahu dia tidak akan berdiam diri dalam membongkarkan kepincangan politik Pas biarpun pernah diugut dan kehilangan kawan.


Sebaliknya, beliau yang menghasilkan buku Kafirkah Aku? berikrar akan terus berjuang bagi mempastikan Dato' Seri Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi yang mengambarkan Umno kafir pada 1981.

 Beliau menegaskan, Haji Hadi perlu sedar, kesan perpecahan akibat amanat itu cukup besar seperti terjadinya peristiwa Memali, solat dua imam, bercerai-berai dan macam-macam lagi.

 

Umno Terengganu yakin mampu menang PRU-13

Oleh: Noraini Jusoh

Umno Terengganu sedia hadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) pada bila-bila masa sahaja walaupun diadakan esok, kata Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Menurut beliau, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said juga berpuas hati dengan segala persiapan di setiap peringkat jentera Umno yang telah siap siaga untuk menghadapi PRU-13.

"Semua jentera kita telah bersedia dari awal lagi dan tidak ada masalah sekiranya PRU-13 diadakan dalam masa terdekat.

"Saya yakin, dengan segala persiapan rapi yang dilakukan dan dengan sokongan berterusan dari rakyat negeri ini menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno, kemenangan pasti berpihak kepada kerajaan yang memerintah Terengganu pada hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui pada majlis penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Jelasnya, dapat dikatakan Umno Terengganu telah bersedia seratus peratus bagi menghadapi PRU-13 yang semakin hampir.

 

Bantuan persekolahan ringan beban

Oleh: Noraini Jusoh

Bantuan Khas Awal Persekolahan yang bernilai RM100 mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak, tetapi jumlah tersebut cukup besar dan sangat bermakna bagi mereka yang memerlukan.

Bagi ibu bapa terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan, bantuan tersebut sangat bernilai buat mereka kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menampung kos perbelanjaan bagi menguruskan persekolahan anak masing-masing.

Seorang suri rumah, Sarimah Awi, 46, berkata, dia bersyukur dengan keprihatinan kerajaan memperkenalkan Bantuan Khas Awal Persekolahan dan sangat gembira menerima bantuan tersebut.

"Syukur sangat dengan bantuan ini dan saya akan gunakan duit RM100 yang diberikan kerajan dengan sebaik mungkin.

"Anak saya Mohd Amirul Fahmi Ibrahim, 12, akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, oleh itu, saya akan gunakan duit ini untuk membeli kelengkapan persekolahannya seperti buku rujukan dan alat tulis supaya dia lebih bersemangat untuk belajar,” katanya kepada Teganukita selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Seramai 411 murid sekolah terbabit menerima wang tunai RM100 yang diserahkan kepada ibu bapa masing-masing pada majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dato’ Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir dalam ucapannya berkata, sekiranya rakyat memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno, tidak mustahil bantuan tersebut akan terus dinikmati oleh mereka pada masa akan datang.

 

Murid SK Pulau Perhentian turut terima bantuan persekolahan


YB Dr A Rahman Mokhtar bersama murid SK Pulau Perhentian

Oleh: Mohammad Ishak 

Bantuan Awal Persekolahan yang diperkenalkan kerajaan tidak terbatas kepada pelajar di bandar dan kawasan pedalaman malah mereka yang tinggal di pulau juga turut mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan.

Murid Sekolah Kebangsaan Pulau Parhentian, dekat Besut, adalah antara anak nelayan yang turut merasai bantuan awal persekolahan yang mula diperkenalkan tahun ini.

Seramai 158 murid sekolah berkenaan semalam menerima bantuan berkenaan yang disampaikan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A \Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut.

Majlis yang berlangsung di dewan sekolah itu turut dihadiri Pengarah Pelajaran Terengganu,Zakaria Hussin dan Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Abdul Halim Hassan serta ibu bapa murid terbabit.

Dr A Rahman berkata, pengagihan bantuan kepada murid sekolah berkenaan lewat dilaksanakan kerana kesukaran untuk pergi pulau pelancongan itu disebabkan musim tengkujuh yang baru berakhir di negeri ini.

Katanya, penduduk pulau yang sebahagian besar bekerja nelayan tidak pernah diabaikan kerajaan sebaliknya mereka menndapat nikmat dan peluang sama seperti mereka yang tinggal di tanah besar.

Beliau berkata, bantuan persekolahan itu diharap dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam mengurus persekolahan anak-anak.

Mengenai pembangunan pulau pelancongan itu, Dr A Rahman berkata, pelbagai projek sudah dan sedang dilakaksanakn untuk faedah penduduk di pulau peranginan tersohor itu.

28 January 2013

112 Pelajar Universiti Malaya (UM) berkampung di Kayu Kelat


A Rahim tengah bersama palajar UM

Oleh: Mohammad Ishak 

Perkampungan tradisional Kayu Kelat yang dikelilingi sawah padi menghijau dan pemandangan indah menarik perhatian pelajar Universiti Malaya (UM) memilihnya untuk dijadikan Program Khidmat Bakti Siswa tahun ini.

Program selama tiga hari itu disertai 112 pelajar dari UM yang akan mengadakan khidmat bakti menerusi konsep keluarga angkat.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Universiti Malaya itu bertujuan mendedahkan pelajar dengan kehidupan penduduk yang sebahagian besarnya petani.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh merasmikan program berkenaan serta melakukan penyerahan pelajar sebagai anak angkat kepada penduduk kampung itu.

Sempena program tiga hari itu pelbagai acara menarik diadakan termasuk sukaneka,gotong royonng membersih tanah perkuburan dan aktiviiti pendidikan.

A Rahim ketika merasmikan program itu memuji usaha penganjur memilih kampong itu kerana ia dapat merapatkan hubungan kekeluargaan selain mendedahkan pelajar dengan budaya hidup orang kampung.

Lebih menarik,katanya program itu turut disertai pelajar keturunan Cina,India dan dari Sabah dan Sarawak.

Beliau berharap, pelajar dan ibu bapa angkat dapat berinteraksi dan berupaya menjalin semangat kekeluargaan walaupun berlainan bangsa dan agama, tetapi kita semua adalah rakyat Malaysia.

PAS Takut Saringan SPRM

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menegaskan calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak takut untuk berdepan saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Menurutnya yang juga Pengerusi BN negeri, langkah berkenaan membuktikan parti itu bersikap jujur kepada rakyat dan pengundi. Jelas beliau, BN bukan sahaja akan menawarkan ‘winnable candidate’ kepada pengundi, malah calon berkenaan mestilah bersih.

 “Dalam hal ini pun rakyat boleh lihat parti mana yang ikhlas samada PAS atau BN. BN tidak takut pada tapisan (saringan). Kita akur untuk pastikan calon kita (BN) bersih,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Persekolahan di Sek. Men. Keb. Seri Bandi, Kemaman hari ini. 

 Pendirian PAS yang menolak untuk melakukan saringan dengan SPRM, Dato’ Seri Ahmad berkata, rakyat melihat parti itu ‘kalah awal sebelum masuk gelanggan’ kerana ia menggambarkan pemimpin PAS takut berdepan SPRM.

 Ulas beliau, PAS menggunakan SPRM untuk membuat pelbagai laporan dan aduan kononnya wujud penyelewengan serta amalan rasuah yang teruk dalam pentadbiran Kerajaan BN.

 Sekiranya PAS jujur kata ADUN Kijal itu, parti itu sepatutnya mendahului BN dalam perkara itu dan tidak hanya bergantung kepada saringan dalaman.

 “Mungkin PAS ada kelebihan kerana penyokong mereka sudah ditarbiah bahawa semua pemimpin mereka betul. Buat apa pun semuanya betul. “Penyokong mereka ramai yang taksub kepada pemimpin, kepada tok guru,” jelas beliau.