Halaman

16 February 2013

Anggota ATM patut terima kasih kepada kerajaan


Zahid Hamidi bertemu anggota TUDM Gong Kedak

Oleh: Mohammad Ishak 

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) patut berterima kasih kepada kerajaan kerana sudah banyak membantu anggota dan ahli keluarga bagi meningkatkan taraf hidup dan sosial anggota.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sudah banyak melaksanakan tranformasi dalam ATM dan sudah sampai masanya semua anggota tentera membalas budi baik kerajaan.

Katanya, cara untuk membalas jasa kerajaan hanya dengan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana terbukti ia sebuah kerajaan berwibawa dan bertanggungjawab.

"Anggota tentera juga diingatkan jangan mendengar ceramah pembangkang di luar kem kerana mereka hanya pandai menabur fitnah terhadap pemimpin dan kerajaan,” katanya ketika bertemu anggota TUDM Gong Kedak, dekat Jertih hari ini.

Pada majlis Ramah Mesra itu ia turut dihadiri ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh,ADUN Kota Putera, Muhamaf Pehimi Yusof, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Beliau berkata, kira-kira 3,000 anggota ATM yang bersara daripada perkhidmatan setiap tahun berpeluang mendapatkan pekerjaan baru dalam pelbagai sektor hasil usaha kerajaan dan swasta mewujdkan bidang kerja untuk mereka.

Berikutan itu,katanya, anggota yang bakal bersara terpaksa diberi latihan selama tiga tahun sebagai persediaan untuk bersara dan menjalani kehidupan sebagai orang awam.

Zahid Hamidi: Ahli UMNO diingat jangan ulangi perbuatan lama


Jentera BN Besut berikhrar patut kepada keputusan Pemimpin UMNO

Oleh: Mohammad Ishak

Ahli Umno akar umbi diingatkan jangan mengulangi sejarah lama dengan bertindak menutup operasi peti undi apabila mengetahui calon pilihan mereka tidak disenaraikan parti dalam pilihan raya umum ke 12.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu menyebabkan parti kehilangan lebib banyak kerusi kerana ahli protes terhadap calon lain yang dipilih oleh parti.

Katanya, perbuatan seumpama itu jika diulangi pada PRU13 ia akan merugikan parti dan membuka laluan kepada parti pembangkang.

Menurutnya, pada PRU12 ada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) ditutup oleh ahli Umno yang tidak puas hati dengan calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan menyebabkan kawasan terbabit kecundang dan dimenangi pembangkang.

“Jangan terlalu mengira dengan calon sebaliknya memberi kepercayaaan kepada pucuk pimpinan menentukan siapa yang layak bertanding di sesuatu kawasan,” katanya ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut di Dewan MDB Gong Kemuntong, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera) dan Bendahari Bahagian, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Pada majlis itu kira-kira 2,000 jentera parti empat peringkat diketuai Ketua Pemuda, Mahadi Musa menghadiri majlis pelancaran dan melafaz ikhrar taat setia dan menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti terutama memilih calon untuk bertanding.pada PRU13.

Ahmad Zahid kagum dan bangga dengan semangat yang ditunjukkan ahli Umno Bahagian Besut yang sudah lama melengkapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum.  

SPR Terengganu sedia hadapi PRU Ke-13

Oleh: Suriati Ali

 Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Terengganu sudah lama bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

 Pengarahnya, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata pihaknya sudah melakukan persiapan awal bagi membolehkan proses pengundian di seluruh negeri ini dilakukan apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

 “Seramai 10,821 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Terengganu akan menjalankan tanggungjawab di 354 pusat mengundi,” katanya pada satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 678,642 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

 “Hanya 40,357 atau 6.0 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya.

 Beliau berkata, berdasarkan perangkaan SPR penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

 

Penduduk Wakaf Mempelam terima BR1M 2.0 fasa satu RM1.96j

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 3,922 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam turut mendapat tempias hasil keprihatinan Kerajaan Pusat apabila menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang diagihkan sepanjang dua hari bermula 12 Februari lalu.

Pengawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata pegagihan fasa pertama yang berjumlah RM 1.96 juta yang dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad berjalan lancar sebagaimana dijadualkan.

“Ini baru fasa pertama, selepas ini akan diikuti fasa kedua dan seterusnya yang akan diselesaikan secepat mungkin sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita akan memastikan semua pemohon dan mereka yang layak dapat menikmati bantuan ini tanpa mengira latar belakang mereka kerana kita telus dan bertanggungjawab membantu rakyat yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penerima BR1M 2.0 menilai semula bantuan yang diterima sejak tahun lalu itu dan membalas segala kebaikan kerajaan Barisan Nasional hanya dengan menyokong parti itu pada PRU13 nanti sebagai kesinambungan pembangunan sedia ada.


15 February 2013

Pelajar IQT johan hafazan peringkat negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kelancaran dan ketepatan seorang pelajar Institut al-Quran Terengganu (IQT) memperdengarkan bacaan hafazan al-Quran bagi tahap satu hingga 30 juzuk berjaya memikat juri untuk muncul johan pertandingan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2013/1434 Hijrah, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pelajar berkenaan, Ikhwan Amin Hidayat (gambar), 19, dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu mengumpul markah 99.38 peratus menewaskan peserta di tempat kedua, Mohd Izzat Mat Nor, 24, dari Institut Pengajian Islam Kuala Berang (99.08 peratus) dan ketiga, Ahmad Miqdad Mohd Abidin, 19, dari IQT (98.56 peratus).

Kemenangan tempat pertama anak sulung kepada pasangan Hidayat Mustafa, 45, dengan Kamariah Abdullah, 47, itu membolehkan membawa pulang wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan.



Sementara tempat kedua dan ketiga, masing-masing memenangi wang tunai RM5,000 dan RM4,000 beserta sijil penyertaan.

Manakala juara tahap satu hingga 30 juzuk bagi kategori wanita juga milik pelajar IQT, Nurul Syaabaniah Yahaya, 20 yang mengumpul markah 90.52 peratus.

Pelajar yang berasal dari Marang dan menyertai pertandingan hafazan peringkat negeri sejak lima tahun lalu terpilih untuk bergelar johan selepas menjadi satu-satunya peserta wanita yang berjaya ke peringkat akhir bagi tahap itu kali ini.

Johan bagi tahap satu hingga 10 juzuk kategori lelaki dan wanita juga milik pelajar IQT, iaitu Umar Basyir Mohd Nasir,18 ( 98.74 peratus) dan Asma’ Abdullah, 17 (97.71 peratus).

Sementara juara bagi tahap satu hingga 20 juzuk kategori lelaki pula dianugerahkan kepada Muhd Daud Deraman, 20 (IQT) yang mengumpul markah 98.78 peratus.



Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Kazan Che Mat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh.

Seramai 17 peserta layak menyertai Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Terengganu selepas 63 penyertaan diterima di peringkat saringan pada 5 hingga 7 Februari lalu.

Kesemua johan akan mewakili Terengganu ke Majlis Menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 4 hingga 8 Mac ini.









Hujan tidak menghalang kerja gotong royong perdana di Besut



YB Muhamad Pehimi bersama A Rahim Jusoh sebelum berlepas membuat tinjuan melalui udara

Oleh: Mohammad Ishak 

Hujan bukanlah penghalang kepada penduduk daerah Besut untuk keluar mengadakan kerja gotong royong di kawasan masing-masing, sebaliknya komuniti terbabit tetap menjalankan tanggungjawab sosial menjaga kebersihan daerah.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah Besut (PDB) dan Majlis Daerah Besut (MDB) disertai lebih 10,000 penduduk yang keluar beramai-ramai di tempat masing-masing.

Gotong Royong Perdana bertujuan memupuk semangat kerjasama dikalangan penduduk disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terebabit yang mendakan aktiviti serentak bermula jam 8 pagi.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, menariknya program itu ditinjau melalui udara menggunakan helikopter yang membuat tinjuan di seluruh pelusok daerah itu.

Katanya, program itu membabitkan pentertaan penduduk setempat, kakitangan kerajaan, sukarelawan , guru, pelajar dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah itu.

Menurutnya,program itu bertujuan menceriakan sekitar daerah Besut terutama di pusat pelancongan, tempat awam, kawasan perumahan dan perkampungan, pejabat kerajaan dan swasta, tanah perkuburan, masjid dan pekan.

Beliau yang turut membuat tinjuan melalui udara berpuas hati d engan pembabitan peenduduk daerah itu yang keluar mengadakan aktiviti berkenaan walaupun dalam keadaan hujan.

UniSZA bakal menjadi universiti Islam ketiga negara

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak bakal diangkat menjadi universiti Islam ketiga di negara ini selepas Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Dato’ Haji Jailani Ngah berkata, memandangkan tidak ada lagi universiti Islam di Pantai Timur, hanya ada cawangan UIA di Kuantan Pahang.

“Setakat ini perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjalan lancar dan berharap ia akan menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di UniSZA baru-baru ini.

Katanya, UniSZA memang dikenali sebagai sebuah universiti Islam yang menawarkan pelbagai kursus berkaitan Islam dan sudah menjadi sebutan sejak diawal operasinya dengan nama Kolej Sultan Zainal Abidin (Kusza) lagi.

“Kini sudah sampai masanya untuk dinaiktaraf ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, dari segi kemudahan UniSZA tidak ada masalah kerana sudah mempunyai personaliti yang cukup hebat tinggal lagi pengumuman mengenainya sahaja yang mungkin akan dibuat menteri KPT sendiri.

“Untuk megekalkan identiti Islam yang sekian lama menjadi sebutan, nama UniSZA akan dikekalkan walaupun sudah bertukar taraf nanti,” katanya.

Katanya, pelbagai faktor yang boleh mengaitkan university ini sebagai sebuah universiti Islam biarpun tidak ada nama khusus (Islam) kerana pengajian yang ditawarkan di sini menjurus ke arah itu.

 

Waterfront fasa dua rancak dibangunkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bandar Raya Kuala Terengganu kian berubah wajah apabila kerajaan negeri memperuntukkan RM150 juta bagi membangunkan pinggiran air dari Kampung Tanjung hingga Kampung Cina.

Projek fasa kedua sepanjang satu kilometer itu melibatkan keluasan empat hektar adalah sambungan kepada pembangunan pinggiran air sedia ada.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata pembinaan pinggiran air berkenaan sedang giat dilaksanakan sebagai kesinambungan pembangunan bandar pesisir air dan daya tarikan pelancong ke bandar Kuala Terengganu.

 "Kerja-kerja pembinaan waterfront di pinggir bandar ini sedang berjalan melibatkan sekitar Pasar Kedai Payang hingga Kampung Tanjung termasuk membina jeti pelancongan untuk ke Pulau Redang.

 "Apabila siap pusat rekreasi dan kemudahan itu kelak pastinya mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini," katanya kepada pemberita sempena Walk About Tahun Baru Cina di Esplanade Kampung Cina, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Di samping itu, menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, kerajaan juga akan menaik taraf Pasar Besar Kedai Payang menjadi bangunan empat tingkat yang dilengkapi 400 parkir.

 “Selain itu, deretan kedai emas, batik dan sutera di pasar berkenaan akan disusun atur semula supaya lebih tersusun.

“Sebuah pangsapuri 30 tingkat dan hotel lima bintang yang menyediakan 550 bilik juga bakal dibangunkan berhampiran Pasar Kedai Payang, " katanya.


Kempen LTdL rancak

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri kini mengadakan kempen kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) secara besar-besaran bagi menarik minat rakyat menyaksikan kejohanan berbasikal itu.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata kempen kejohanan lumba basikal terunggul di Malaysia itu diadakan melalui Program Bulan Berbasikal ke daerah-daerah bermula semalam (14 Februari).

 "Program empat hari itu akan diadakan dari daerah ke daerah dengan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan basikal cantik dan sebagainya," katanya selepas merasmikan Majlis Perkenalan Tujuh Pelumba TSG 2013, di Pentas Budaya, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd Ghani.

Pelumba-pelumba TSG yang diperkenalkan itu adalah Mohd Harrif Salleh,25, Mohd Shahrul Mat Amin, 24, Mohammad Saufi Mat Senan, 23, Mohd Nor Umardi Rosdi, 27, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, 21, Mohd Zamri Salleh, 30 dan Mohd Saiful Anuar Aziz, 27.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, langkah itu dilaksanakan semata-mata untuk mempromosi LTdL terutamanya pasukan benua, Terengganu Cycling Team (TSG) yang turut mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

“Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk menaja kejohanan itu di mana tiga peringkat termasuk penamat perlumbaan adalah di bandar ini.

 

14 February 2013

Mangsa banjir daerah Dungun terima bantuan ‘one-off’ RM500

Oleh: Noraini Jusoh

Semua mangsa banjir bagi daerah Dungun yang ditempatkan di pusat pemindahan berdaftar dan diiktiraf lega dan melahirkan rasa gembira apabila menerima bantuan ‘one-off’ RM500 dari kerajaan negeri yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, seramai 2111 mangsa banjir bagi daerah tersebut menerima bantuan itu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1,055,500.

Mangsa banjir, Azmanizam Abdul Razak, 33, dari Kampung Tepus, Bukit Besi berkata, beliau tidak menyangka rumahnya turut dilanda banjir dan menganggarkan nilai kerugian yang terpaksa ditanggungnya melebihi RM1000.

"Saya tidak sangka rumah turut dinaiki air ekoran banjir baru-baru ini kerana sebelum ini tidak pernah berlaku sedemikian.

"Walau bagaimanapun, saya bersyukur dan berbangga kerana kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar kita turun padang untuk menyerahkan bantuan banjir kepada mangsa banjir dan saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Rakannya, Md Zaid Abdullah,42, juga dari Kampung Tepus, Bukit Besi berkata, dengan bantuan kerajaan negeri yang diterima hari ini dan ditambah dengan bantuan kerajaan pusat yang telah diterima baru-baru ini dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir di kampungnya.

"Saya begitu gembira dengan bantuan yang diberikan dan sangat bersyukur mempunyai kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat terutama yang ditimpa bencana alam seperti saya dan mangsa banjir yang lain,” ujarnya.

Bagi Duyah Abdul Rahman, 68, pula berkata, bantuan wang tunai sebanyak RM500 yang diterimanya akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli semula kelengkapan rumah yang rosak akibat banjir dan untuk keperluan harian.

"Saya akan gunakan wang ini untuk perbelanjaan makan minum dan membeli kelengkapan rumah yang rosak akibat banjir,” katanya.