Halaman

19 March 2013

Penyokong Pas mula beralih angin pada PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Semakin ramai penyokong Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu cenderung memilih Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang berdasarkan kepada sambutan yang ditunjukkan golongan itu dalam siri ceramah BN di kawasan itu kebelakangan ini.

Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, berkata pihaknya yakin respon positif sekumpulan penyokong pembangkang itu membuktikan kebangkitan dan aliran peralihan sokongandi kalangan rakyat yang mula sedar kepincangan dalam Pas.

“Peralihan sokongan itu terbukti apabila dalam program anjuran BN seperti siri ceramah walaupun secara kecil-kecilan bukan sahaja dihadiri penyokong kerajaan, malah penyokong Pas juga sudah mula menunjukkan minat mereka.

 “Mereka sudah datang secara perlahan-lahan dan menunjukkan mereka mula membuka mata untuk menyokong BN. Malah, mereka juga semakin memahami fakta sebenar sebalik isu semasa menerusi ceramah yang kita laksanakan dari semasa ke semasa ,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Wan Hisham berkata, trend semasa memperlihatkan penghijrahan sokongan yang berlaku secara senyap mahupun terbuka itu adalah disebabkan kekuatan BN sendiri yang terbukti benar-benar memperjuangkan kebajikan rakyat.

Beliau turut tidak menolak majoriti daripada kira-kira 20,000 pengundi berdaftar di DUN itu akan memihak BN dan mengembalikan kerusi itu kepada kerajaan pada PRU13 nanti.

“Kita berlaku adil dalam pengagihan kebajikan walaupun menyedari mereka penyokong Pas. Berdasarkan perkembangan positif itu, kita yakin BN akan menguasai DUN Ladang semula pada PRU nanti,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja penyokong pembangkang, kira-kira 4,000 hingga 5,000 pengundi baru mendaftar juga dilihat lebih cenderung menyokong BN pada PRU13 nanti berikutan golongan itu menikmati pelbagai manfaat terutama bantuan berkonsepkan 1Malaysia.

 

Ayamazz buka peluang kepada usahawan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Haji Uzir Abdul Samad
Rakyat Terengganu yang berminat menceburi bidang keusahawanan tidak harus melepaskan peluang untuk menerokai perniagaan berasaskan makanan segera apabila Ayamazz Sdn Bhd bakal menawarkan peluang keemasan kepada mereka.

Ayamazz Sdn Bhd telah melantik Jati Bestari Sdn Bhd untuk memasar dan mempromosikan Ayamazz Roti Impit termasuk promosi, pengiklanan serta membuka lebih banyak kios Ayamazz Roti Impit di seluruh negara termasuk di negeri ini.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui Koperasi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (KOPUTERA) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jati Bestari Sdn Bhd bagi projek Ayamazz Roti Impit, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Jati Bestari Sdn Bhd, Haji Uzir Abdul Samad berkata, tiga pakej ditawarkan kepada usahawan yang berminat memulakan perniagaan Ayamazz Roti Impit.

"Pakej pertama ialah mini kiosk yang bernilai RM28,000, kedua kioks bernilai RM118,000 dan ketiga mini van bernilai RM128,000 dengan segala alat kelengkapan.

"Latihan dan nasihat turut diberikan kepada usahawan selain pemantauan dari semasa ke semasa,” ujarnya.


Ayamazz Roti Impit menawarkan program pelesenan pada kos berpatutan kepada semua warganegara Malaysia untuk memulakan perniagaan.

Ayamazz Roti Impit atau ‘Frank Buns’ adalah snek berasaskan konsep grab-and-go. Ia disediakan dalam tiga pilihan iaitu keju, cendawan dan lada hitam, Roti Impit disediakan dengan mengukus frankfurter dan roti serta dituang dengan sos Chillimayo yang direka khas.

Haji Uzir berkata, pihaknya merancang untuk meneroka pasaran terbuka secara agresif tahun ini dengan menyasar membuka 100 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

 

Puteri Umno makin rancak turun padang

Oleh: Gelombang biru 

 Pergerakan Puteri Umno Terengganu semakin rancak turun padang untuk bertemu rakyat di seluruh Terengganu bagi mengeratkan hubungan, sekali gus memperkemaskan strategi sebelum menghadapi ‘perperangan’ pilihan raya umum akan datang.

 Ketua pergerakan itu, Puan Nordiana Dato’ Shafie, berkata pada masa sama, pihaknya dapat mengesan setiap masalah rakyat serta menyelesainya dengan kaedah terbaik, selain menyakinkan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

 “Program seumpama ini menjadi peluang terbaik bagi mendengar isi hati dan pandangan mengenai sesuatu perkara seterusnya dilaksanakan demi kebaikan bersama.

“Rakyat kini sudah bijak menilai mana parti yang boleh diharap atau parti yang hanya pandai berceramah dan menabur janji ,” katanya Menurutnya, dia percaya undi populariti BN akan terus meningkat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 berbanding 56 peratus PRU pada 2008.

 “Keyakinan itu berdasarkan sokongan pengundi muda di samping tindakan keluar parti ramai penyokong pembangkang khususnya Pas di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

 “Jelas beliau pembangkang di negeri ini cukup terdesak dan bangkrap isu untuk berdepan BN sehingga sanggup memperbodohkan ahli mereka sendiri terhadap beberapa program yang diadakan UMNO termasuk program Selamat Tinggal Pas.

 "Selain ketandusan isu mereka cuba menenangkan penyokong mereka yang lain setelah ramai ahli mereka bertindak keluar parti", katanya.

 

Rela pelawa belia serta Skuad Muda

Oleh; Esah Abdullah

Belia lepasan sekolah di negeri ini dipelawa menyertai anggota Rela untuk membolehkan membina jati diri serta memupuk semangat kesukarelawan membantu masyarakat ketika ditimpa bencana.

Che Mohammat serah pakaian seragam kepada seorang anggota Rela
Penolong Pegawai Rela Daerah Setiu, Mejar (Rela) Che Mohammat Ropi Makhtar berkata, Rela kini mewujudkan Skuad Muda untuk mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun dan Skuad Remaja terbuka kepada remaja berusia 18 hingga 21 tahun.

“Manakala mereka yang berusia 31 hingga 58 tahun boleh menjadi Anggota Rela biasa,” katanya di Majlis Dialog dan Penyampaian Pakaian Seragam Rela di Balai Raya Kampung Hilir Darat, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Katanya, anggota Rela yang lama atau yang baru menyertai skuad muda remaja akan mengikuti sekurang-kurangnya 15 siri kursus yang diadakan setiap hujung minggu dalam usaha memantapkan anggota ketika berdepan dengan tugas mengawal ketenteraman masyarakat.

 “Walaupun anggota kita hanya berstatus sukarelawan namun mereka diberi elaun RM6 bagi setiap jam mengikut waktu bertugas,” katanya.


Menurutnya kini anggota Rela telah diberi kepercayaan membantu pasukan keselamatan untuk mengawal tempat-tempat tumpuan awam serta memantau keselamatan kawasan sekolah dan pelajar ponteng.

Tambahnya, jumlah anggota Rela Kawasan Batu Rakit kini berjumlah kira-kira 2,000 orang dan 80 orang anggota baru telah menerima pakaian seragam masing-masing dalam majlis yang diadakan itu.




PENYOKONG TEGAR PAS HULU BESUT SERTAI UMNO

Ruslan Abdul Rahman, melaporkan:


Penyokong tegar Pas di Hulu Besut telah meninggalkan parti itu dan menyertai Umno kerana menyedari Pas semakin terpesong setelah berpakat dengan kafir harbi DAP.

Dulu mereka menyokong Pas kerana Pas itu Islam, tetapi sekarang sudah jelas bahawa Islam bukan lagi menjadi perjuangan Pas, malah Islam dipinggirkan dan imej Islam dirosakkan setelah tunduk kepada DAP.

Malam tadi, 19 Mac 2013, seramai 30 orang penyokong tergar Pas di Kg Cegar Batang, Jalan Pasir Akar Hulu Besut yang menyertai Umno malam tadi 19 Mac 2013. Adun BN Hulu Besut, YB Nawi telah menerima borang keahlian 30 penyokong Pas tegar dari kampung itu dalam satu majlis di rumah salah seorang yang terlibat dinelai sebagai Pak Da Soh (Jusoh bin Yaakob) dan isterinya Saadiah.

Timbalan ketua Umno Bahagian, YB Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Adun BN Hulu Besut telah menerima boring-borang menyertai Umno dari penyokong tegar Pas di kampong itu. YB Nawi dalam ucapannya menyifatkan kemasukan penyokong Pas tegar itu ke dalam Umno menunjukkan ramai di kalangan orang-orang Pas sudah melihat perjuangan Pas sudah terpesong kerana berpakat dengan Dap dan PKR.

Beliau berkata, ramai lagi penyokong Pas datang menemuinya untuk menyertai Umno dan majlis akan diatur di rumah penyokong itu sendiri.

Sementara itu, penceramah dari ulamak pondok Kelantan, Ustaz Samsul Al Hafiz menyatakan bahawa Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat sudah banyak memesongkan ajaran Islam yang sebenar.

Ini termasuklah dalam isu kalimah Allah, di mana Nik Aziz adalah di antara yang bersetuju supaya kalimah itu digunakan dalam kitab Kristian dan semua rakyat Kelantan mengetahuinya.

“Kononnya persetujuan itu atas dasar dakwah,tetapi setelah keadaan terdesak beliau membuat pusingan U ,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan Nik Aziz telah menghina Rasulullah s.aw kerana menyamakan dengan Mat Mat di kampung-kampung sedangkan semua orang tahu Nabi Muhammad itu maksum sejak awal lagi.

Beliau menyifatkankan, tahaluf siasi atau pakatan politik Pas dan Dap telah menyebabkan Pas tunduk kepada Dap termasuk dalam soal-soal keagamaan dan merosakkan masa depan Islam di negara ini.




20,000 pelajar Tahun Empat bakal dapat e-Book

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kira-kira 20,000 murid Tahun Empat di semua sekolah rendah di negeri ini bakal menerima e-Book percuma tahun ini ini bagi membolehkan mereka menggunakan kemudahan tersebut.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pembahagian e-Book tersebut akan dilakukan secara beperingkat-peringkat bergantung kepada bekalan yang diterima kerajaan negeri.

Katanya, pada hari ini ini seramai 756 murid Tahun Empat dari lapan sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang menerima e-Book masing-masing yang diserahkan beliau sendiri di dalam satu majlis di Stadium Negeri.



 “Petang ini kita akan agihkan e-Book kepada murid-murid Tahun Empat di DUN Rhu Rendang,” katanya pada sinang media selepas majlis penyerahan e-Bokk pagi ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, murid-murid lain akan turut diberi e-Book di kawasan masing-masing pada majlis yang akan diatur kemudian selepas bekalan e-Book diterima kerajaan negeri.

Beliau bekata, pada pertenghan tahun ini kira-kira 4,000 guru yang mengajar Tahun Empat di semua sekolah rendah akan dibekalkan dengan komputer riba secara percuma.

Sehingga ini, kira-kira 114,000 murid sekolah rendah di seluruh negeri telah diberi e-Book melibatkan perbelanjaan RM114 juta sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.

 “Kita membuat pelaburan yang besar pada setiap tahun bagi membiayai bidang pendidikan, termasuk membeli e-Book bagi kegunaan murid-murid dari Tahun Empat hingga Tahun Enam di semua sekolah rendah,” katanya.






   

HIMPUNAN RAKYAT 1MALAYSIA Peringkat Negeri Terengganu.




Kira-kira 30,000 rakyat dijangka menyertai Program Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Bola Rhu Rendang, Marang di sini Jumaat ini.

18 March 2013

Pembangunan fizikal beri impak besar terhadap pembelajaran di UMT

Oleh; Esah Abdullah

Pembangunan fizikal yang siap dan bakal memulakan operasi ini memberi impak besar terhadap pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, tiga pakej projek yang siap serentak ini akan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan di sini.

“Dengan adanya tiga buah fakulti baharu dan hub-hub kecemerlangan seperti Institut Oceanografi (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) saya yakin ia bakal menjadi pemangkin kepada kecemerlangan penyelidikan dan memberi impak besar terhadap bidang kajian utama universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Penyerahan Projek Pakej 2A, 2B dan 2C Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kompleks Kuliah Pusat UMT hari ini.

Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof Dr Anuar Hassan.

Pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Ab. Rahim Md. Nor menerima penyerahan kunci projek daripada Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan KPT, Dato’ Mohamed Hussain; dan Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu Ir. Haji Shafie Mohammad.

Katanya, siapnya Kompleks Makmal, Kompleks Kuliah Pusat dan Fakulti Maritim dan Sains Marin (pakej 2A), akan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan.

Manakala dalam memenuhi citra pembelajaran dinamik Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan dan Pusat Pengajian Siswazah (pakej 2B) yang dilengkapi kemudahan pembelajarn terkini mampu memberi keselesaan pelajar sejajar dengan konsep lestari yang ditekankan.

Sejajar dengan hasrat untuk mengembangkan program pengajian ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam aspek penawaran program pembinaan Institut Oseangrafi dan Sekitaran (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) mampu meletakkan nama UMT sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) ketujuh

 “HICoE telah dinobatkan sebagai negara peneraju dalam bidang oseanografi dan sains marin di peringkat negara, serantau dan antarabangsa,” katanya.
 

Terengganu terus catat peningkatan dalam STPM

Oleh: Noraini Jusoh

Terengganu terus mencatat peningkatan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila 2, 861 atau 96.01 peratus daripada 2,980 calon peperiksan itu tahun lalu mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil.

Encik Hashim Mohd Zin menunjukkan analisis keputusan pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2012
Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin berkata, berbanding 95.34 peratus atau 2679 daripada 2810 calon yang menduduki peperiksaan tersebut pada tahun sebelumnya (2011) calon yang berjaya mencapai lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dan layak mendapat sijil telah meningkat sebanyak 0.67 peratus.

Katanya, peratusan calon yang lulus di Terengganu turut mengatasi peratusan kebangsaan sebanyak 1.57 peratus apabila peratusan calon yang layak mendapat sijil STPM ialah 96.01 peratus berbanding peratusan kebangsaan (94.44 peratus).

"Daripada 2,861 calon yang mendapat lulus penuh, 261 (8.76 peratus) lulus penuh lima mata pelajaran, 41.44 peratus (1,235 orang) lagi lulus penuh empat mata pelajaran, diikuti 23.42 peratus (698 orang) lulus penuh tiga mata pelajaran dan 13.56 peratus atau 404 orang lulus penuh dua mata pelajaran.

"Baki 8.83 peratus atau 263 calon lagi lulus penuh satu mata pelajaran. Manakala 1,301 calon (43.66 peratus) memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) melebihi 2.66 bagi calon yang mengambil empat atau lima mata pelajaran,” katanya ketika sidang media pengumuman keputusan STPM di JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, Gred Purata Sekolah (GPS) bagi negeri ialah 2.40 berbanding 2.33 (2011), manakala sekolah cemerlang berdasarkan pencapaian GPS melebihi 2.60 adalah Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu (3.05), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Setiu (2.85); SMK Sultan Ismail, Kemaman (2.75); SMK Badrul Alam Shah, Kemaman (2.75); SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu (2.73); SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu (2.66) dan Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut (2.62).

Beliau berkata, sebanyak 17 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu; SMK Tengku Ibrahim, Setiu; SMK Sultan Ismail, Kemaman; SMK Badrul Alam Shah, Kemaman ; SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu ; SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu; Sekolah Menengah Agama Maarif, Besut; SMK Matang, Hulu Terengganu; SMK Menerong, Hulu Terengganu; SMK Saujana, Setiu; SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu; SMK Tun Telanai, Marang; SMK Manir, Kuala Terengganu; SMK Seri Nering, Besut; SMK Seri Nilam, Kuala Terengganu; SMK Pengkalan Berangan, Marang dan SMK Bukit Nenas, Setiu.

 

Penjawat awam aplikasi BOS bagi tambah baik inovasi nilai kerja

Oleh: Aida Abd Rahman

Penjawat awam perlu membuka minda terhadap kepentingan aplikasi `Blue Ocean Strategy’ (BOS) sebagai ejen transformasi dan penambahbaikan kepada pengurusan dalam inovasi nilai di jabatan masing-masing.

Pengarah Intan Wilayah Timur, Haji Ab Rahman Che Hamad berkata BOS mewakili satu alternatif kepada proses perancangan strategik sedia ada yang melalui pembaharuan supaya lebih bersistematik serta menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan unggul.

“Dalam melaksanakan kerja, kita perlu ada perancangan kerja yang tersusun. Bukan sekadar datang jam 8 pagi dan pulang jam 5 petang setiap hari, tanpa ada perancangan dalam tempoh itu untuk menghasilkan perjalanan tugas yang tepat dan bersistematik.

 “Oleh itu, setiap perkara yang kita rancang dan buah pemikiran menjadi wadah atau satu medium berguna untuk kita melaksanakan kerja seharian kita,” katanya ketika merasmikan Seminar BOS In Public Service, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) Dato’ Haji Mat Razali Kassim.

Hadir sama, ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun negeri.

Haji Ab Rahman berkata, kekuatan BOS bukan sahaja mampu menyerlahkan pemikiran di luar kotak dan ruang likup sedia ada, malah melibatkan satu penggabungan daya kekuatan pemikiran dari pelbagai agensi kerajaan bagi menghasilkan produk mahupun servis yang terbaik.

“Tanpa persempadanan kerja, penggabungan kepakaran dan kekuatan itu mampu memberi satu kecemerlangan dan lonjakan baru kepada perkhidmatan awam khususnya.

 “Itu sebabnya BOS dapat menggabungkan mana-mana kelebihan dari satu jabatan kepada satu jabatan lain. Contohnya, sebagaimana konflik di Lahad Datu, Sabah yang melibatkan gabungan pasukan keselamatan dan ketenteraan,  pasukan Polis serta tentera yang sekurang-kurangnya menghasilkan matlamat dan kebaikan yang diingini oleh semua pihak bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, oleh sebab itu, kerajaan negeri mahupun Pusat bersungguh-sungguh mahu semua penjawat awam menyerapkan dan mengguna pakai BOS dalam budaya kerja seharian di samping mengoptimumkan kemudahan yang tersedia di jabatan masing-masing.