Halaman

22 April 2013

Kontraktor diminta sumpah laknat sebelum dapat projek

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri bercadang untuk mengenakan syarat akuan bersumpah laknat mengikut hukum Islam kepada semua pemilik syarikat kontraktor di negeri ini sebelum meluluskan sesuatu tender atau projek kerajaan.



 Langkah itu wajar dikuatkuasa bagi mengelak sebarang musibah, selain mahu membuktikan segala projek yang diluluskan itu telus dan bebas daripada gejala rasuah.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pihak cadangan itu akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah Terengganu selepas Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU13) .

 “Pendekatan ini cukup penting kepada kita kerana pembangkang sering gemar melemparkan tuduhan melulu tanpa menunjukkan bukti sahih, selain gemar menjadikan isu rasuah sebagai bahan berkempen.

“Apa yang dikesalkan, saya juga turut dikatakan terlibat dalam rasuah berkaitan `skandal’ pengagihan balak, fitnah itu jelas tidak benar dan saya berani bersumpah pada majlis ini dengan lafaz, Wallahi, Wabillahi dan Watallahi,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah; Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu segala fitnah yang dilemparkan itu sudah diserahkan kepada pihak berkuasa dan SPRM, biar mereka siasat sama ada beliau bersalah atau tidak.

“Pembangkang hanya pandai membuat tuduhan dan mengadakan demonstrasi bagi menarik perhatian, mengapa tidak laporkan kepada pihak yang berkuasa, biar mereka siasat.

 “Jika terbukti salah, saya rela dikenakan tindakan tatatertib atau sebarang hukuman, tetapi sehingga tiada lagi sebarang tangkapan,” katanya.

 




PRU13:Jentera BN bekerja untuk menangkan parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyeru jentera parti bekerja keras dan mengelak daripada memberi tumpuan kepada individu tertentu bagi memastikan BN menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama calon Parlimen Kuala Terengganu , Zubir Embong (BN) beramah mesra dengan kakitangan media Terengganu semasa melawat  Pusat Media Pilihanraya Umun ke-13 , Jabatan Penerangan Negeri Terengganu  di Kuala Terengganu.
Beliau berkata, jentara parti tidak seharusnya memberi tumpuan kepada individu sepanjang kempen pilihan raya ini kerana calon-calon yang diketengahkan hanya `alat’ sementara bagi memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.

“Saya menyeru jentera parti bekerja untuk parti, bukan untuk individu kerana individu hanya sebagai alat sementara sahaja, selepas tamat masa kita, orang lain pula akan menggantikan tempat kita.

 “Perjuangan parti mesti diteruskan. Ini kita harus faham sebagai ahli parti. Sebagaimana juga saya beritahu, adat berkampung, kampung kita pertahankan, adat negeri, negeri kita pertahankan, adat negara, negara kita pertahankan dan adat parti, parti yang harus kita pertahankan,” kata beliau kepada pemberita sempena kunjungan dan perasmian Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Menteri Besar turut meninjau operasi pusat itu yang berperanan sebagai tempat untuk mengakses maklumat berkaitan PRU13 untuk semua petugas media di Terengganu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Paun Azizah Awang dan Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat. Turut hadir, calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong dan Ketua Puteri Umno Negeri, Puan Nordiana Shafei.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kesetiaan kepada parti perlu mendahului sokongan kepada pemimpin bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati yang boleh menjejaskan perjuangan selama ini jika sesuatu yang dihajati tidak terlaksana.

“Macam yang saya kata, saya hanya sementara, takkan kalau orang lain, apabila kamu menyokong saya, jika saya tiada, nak bersara dan merajuk. Itu tidak boleh. Kita perlu bekerja untuk parti. Sebab itu jika dulu dia pernah menjadi calon dan menyeru rakyat menyokong dan memberi peluang kepadanya.

“ Pada masa yang sama, ramai juga orang lain yang tidak berpuas hati tidak menjadi calon. Ramai juga hendak menjadi calon. Tetapi boleh mengawal perasaan dengan baik.

 “Sekarang tiba giliran kita pula tidak menjadi calon, orang lain yang menjadi calon, kita tolonglah beri sokongan. Yang bertanding itu siapa? Kawan kita, ahli parti kita. Kalau bukan keluarga kita sekurang-kurangnya dia ahli parti bersama-sama dengan kita. Kenapa kita sanggup memusnahkan mereka, sabotaj sehingga kalah. Apa yang kita dapat. Mungkin Kita dapat kepuasan, tetapi sampai bila,” katanya.

 Dalam pada itu, beliau akan meneruskan lawatan ke seluruh bahagian secara berperingkat-peringkat dan meluangkan masa sehari di setiap DUN sehingga tamat hari berkempen bagi menemui rakyat, pemimpin dan jentera parti.

Beliau juga melihat perkembangan positif di setiap DUN serta bahagian yang dilawati, malah yakin semua masalah di peringkat awal akan pulih sepenuhnya menjelang hari pengundian pada 5 Mei ini.


Kunjungan MB mengubat sedih tiga beradik OKU

Dato' Seri Haji Ahmad Said (dua kiri) mendengar cerita wakil calon Batu Buruk (BN), Dato'  Haji Che Mat Jusoh mengenai kebakaran rumah yang membabitkan tiga beradik OKU di Kampung Nibong, pagi ini.
Oleh; Esah Abdullah

Kesedihan tiga beradik Orang Kelainan Upaya (OKU) mangsa kebakaran dari Kampung Nibong, Jalan Panji Alam Kuala Terengganu sedikit terubat apabila dikunjungi Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said tengahari tadi.

Kesediaan Dato’ Seri Haji Ahmad meluluskan peruntukan RM55,000 di bawah Tabung Bencana Alam untuk membaikpulih kerosakan rumah berkenaan ternyata melegakan mereka bertiga yang kini menumpang di rumah salah seorang saudara bersebelahan rumah pusaka itu.


Tiga beradik lembam itu ialah Mohd Johari Omar, 41, Mohd Junaidi Omar, 37 dan Mohd Jamaluddin Omar, 26, manakala adik bongsu mereka Munirah 19, juga OKU tinggal bersama seorang lagi saudara mereka Mohd Jamari Omar, 38.

Rumah pusaka dua tingkat berusia 50 tahun itu musnah sama sekali dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira 8.30 pagi pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Mereka berlima menjadi yatim piatu setelah kehilangan ibu tiga tahun lalu manakala bapa meninggal pada 2007 dan rumah pusaka itu merupakan tempat tidur tiga beradik kerana untuk makan dan minum akan ke rumah Mohd Jamari yang tinggal bersebelahan.


Mohd Jamari ketika ditemui berkata, sejak ibu dan bapa meninggal, beliau menjaga makan minum tiga adik serta seorang abang yang kesemuanya OKU dengan penuh reda kerana itu amanah arwah kedua ibu bapanya.

Abang (Johari) dan dua adiknya (Junaidi dan Jmaluddin) mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan manakala Munirah yang tinggal bersamanya dan tidak mendapat apa-apa bantuan setakat ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu merupakan kakitangan Percetakan Nasional Berhad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar yang prihatin terhadap musibah yang menimpa serta menghulur bantuan bagi meringankan beban keluarganya.

 “Saya akan baiki segera rumah pusaka itu dengan peruntukan yang diterima dan berharap adik beradiknya kembali ceria selepas ini,” katanya.

Turut mengiringi Menteri Besar dalam kunjungan berkenaan  ialah Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk Dato’ Haji Che Mat Jusoh.

 

Polis kerah 3,000 anggota awasi kempen PRU13

Oleh; Esah Abdullah

Polis Terengganu memberi jaminan dengan kekuatan anggota yang ada mampu menangani sebarang kemunginan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.

Ketua Polis Terengganu Dato’ Haji Jamshah Mustafa berkata, lebih 3,000 anggota bertugas sepanjang tempoh kempen PRU bagi menjaga keharmonian masyarakat serta memberi keadilan kepada semua parti-parti bertanding.

“Kita juga akan menambah bilangan anggota Polis kepada 4,000 orang pada hari pembuangan undi nanti,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Pesara dan Bekas-bekas Polis bersama Menteri Besar di Hotel Permai Kuala Terengganu petang semalam.

Katanya, di samping anggota polis pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada agensi-agensi lain seperti Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Bomba.

Beliau memahami dalam suasana sekarang program kempen antara parti-parti bertanding lebih ghairah dan Polis akan memantau setiap aktiviti ceramah politik yang diadakan.

“Saya berharap semua pemimpin dan penyokong parti jangan ikut perasan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di mana program ceramah yang ingin diadakan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa,” katanya.

Dato’ Haji Jamshah turut  berpuas hati dengan proses penamaan calon yang berjalan lancar di lapan Parlimen dan tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. 
 

PRU13: Aura positif DUN Ladang kembali kepada BN

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertemuan secara langsung calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang dengan ramai penduduk sejak dua hari lalu yang menzahirkan reaksi positif sudah jelas memberi mesej awal bahawa kerusi itu mampu dikembalikan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Calon BN, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 51, menerima sambutan dan respon baik orang ramai yang ditemui di beberapa kampung dalam siri jelajah Cakna Warga Emas di Kampung Padang Gelong Bilal, Pasir Panjang, Surau Baru dan Bukit Besar.

Sebelum itu, beliau turut melakukan tinjauan mesra di Pasar Bukit Besar dan menikmati sarapan pagi di warung berhampiran bulatan Kampung Ladang.

Dalam masa yang sama, isteri beliau, To’ Puan Intan Baizura Abdul Wahab bersama isteri calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong, Puan Ramizah Hashim juga melawat rumah penduduk sekitar bersama jentera wanita DUN dan Parlimen Kuala Terengganu.



“Sambutan penduduk DUN Ladang memberangsangkan. Jelas apabila bertentang mata dengan mereka dan bersalam, mereka memberi reaksi positif.

“Pada hemat dan pendapat saya, ada perubahan jelas dan ketara serta tanda positif penduduk DUN Ladang akan memilih BN kali ini,” katanya selepas melawat lokasi kebakaran di Jalan Pusara, Taman Jaya 1, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.45 petang semalam itu menyebabkan mangsa, Nik Zainab Nik Aziz, 32, dan suami, Mohd Azahari Sulaiman, 42, bersama dua anak kecil kini tinggal sehelai sepinggang.

Dato’ Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu turun padang bagi mendengar rintihan mangsa akan memanjangkan masalah itu kepada pihak berwajib khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menggantikan rumah baru kepada mangsa sekeluarga.

 “Saya nasihatkan semua penduduk meningkatkan ciri keselamatan terhadap penggunaan perkakas elektrik dan dapur gas pada musim cuaca yang cukup kering dan panas. Ini kerana boleh mengakibatkan api merebak dengan cepat serta mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa,” katanya.

 



PRU13 - Pasang bendera ikut arahan

Parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) diingatkan agar tidak menampal sebarang poster dan bahan kempen di tempat yang boleh merosakkan harta awam. Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang, berkata walaupun pihaknya berlembut namun ini bukan bererti mereka tidak akan bertindak. "(Ini) terutama tampalan (di kawasan) seperti kabel elektrik yang kemungkinan putus dan membahayakan orang ramai. "Juga dilarang menampal poster di atas jambatan yang menggunakan kayu palang," katanya Beliau juga berkata bendera parti kini didapati banyak dipasang di atas jambatan sekitar bandar ini.

Kerajaan perkenal pengiktirafan, angkat martabat seni gamelan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri sedia memperkenalkan pelbagai pengiktirafan kepada penggiat gamelan di negeri ini bagi mewujudkan dimensi baru untuk mempertahan dan mengangkat martabat kesenian itu ke peringkat lebih global.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pengiktirafan akan tertumpu kepada individu serta kumpulan gamelan yang gigih mengembangkan kesenian itu dalam konteks komuniti, masyarakat, negeri, negara dan juga peringkat antarabangsa.

“Bentuk-bentuk pengiktirafan seperti Tokoh Ahli Seni Gamelan, Tokoh Gamelan Daerah, Kumpulan Gamelan Aktif dan Sebagainya akan diwujudkan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap usaha gigih dalam perjuangan mengembang dan meneruskan seni gamelan sebagai warisan seni berzaman ini.

“Inilah sebenarnya hadiah yang mampu kerajaan usahakan bagi membalas jasa serta budi peminat serta pencinta gamelan yang berjaya mendukung dan menjulang keseniaan ini hingga ke tahap yang membanggakan kita semua,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan, di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Gamelan Melayu peringkat Kebangsaan 2013 dan Ketua Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Dato’ Haji Mazlan berkata, tanggungjawab memastikan gamelan terus subur di negeri ini harus dipikul semua pihak memandangkan kesenian yang memiliki kesopanan gerak tari itu menjadi sebahagian dari darah daging anak Terengganu yang bermula sejak 1880-an lagi.

“Adalah tanggungjawab semua untuk menyemarakkan kembali seni gamelan ini dan sudah tentu ianya menjadi peranan kolektif kita untuk memartabatkan seni warisan ini hingga ke peringkat paling tinggi.



“Bagi merealisasikan visi dan misi ini, kerajaan negeri akan sentiasa memberi segala dukungan dan sokongan yang diperlukan terutamanya menerusi jabatan serta organisasi termasuk Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Suktra dan sebagainya yang terlibat secara langsung dengan kesenian itu,” katanya.

Beliau sebelum itu turut berbangga dengan kualiti dan mutu persembahan muzik dan vokal kumpulan gamelan yang bertanding kali ini berbanding tahun sebelumnya.

 Dato’ Haji Mazlan berharap peserta akan terus mengekalkan dan meningkatkan prestasi persembahan dalam temasya gamelan pada musim depan bagi merealisasikan hasrat untuk mempopularkan lagi seni itu ke tahap lebih tinggi dalam pelbagai koleksi dan genre gubahan baru.









Jangan kerana nyamuk kelambu dibakar-Pengerusi BN

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk mengambil tindakan terhadap ahli Umno di negeri ini yang bertindak menjadi calon Bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

“Segala tindakan yang bakal diambil saya serahkan kepada Jawatankuasa Disiplin Pusat yang akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Pesara dan Bekas-bekas Polis bersama Menteri Besar di Hotel Permai Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama Ketua Polis Terengganu, Dato’ Haji Jamshah Mustafa dan Timbalannya Dato’ Hamzah Md Jamil serta Pengerusi Persatuan Bekas-bekas Polis Malaysia Terengganu Haji Hussin Awang Ngah serta 500 pesara dan bekas polis seluruh negeri.

Katanya, setakat ini dua ahli Umno yang mengambil keputusan bertanding atas tiket Bebas ialah Encik Zulkiflee Salleh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik dan Haji Mohd Yusop Majid DUN Permaisuri.

“Saya anggap tindakan mereka itu lebih kepada masalah peribadi dengan calon yang bertanding di kawasan berkenaan serta kurang menghayati perjuangan parti dan sanggup meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan parti,” katanya.

Beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan mereka yang sanggup membelakangkan kepentingan parti semata-mata untuk kepuasan diri.

“Jangan campur adukkan masalah peribadi dengan perjuangan parti dan janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya.

Menteri Besar juga memuji sikap beberapa bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pemimpin kanan parti yang tidak dicalonkan semula tetapi sanggup turun padang dan memberi sokongan kepada calon baru bagi memenangkan BN.

 “Itu contoh sikap mereka yang sayangkan parti, kalau dulu ketika nama kita naik orang sokong kita dan hari ini bila giliran orang lain kita sokong mereka pula, baru adil,” katanya.

 

Sedia peruntukan RM1.8 bilion untuk pendidikan

Oleh: Suriati Ali 

 Kerajaan negeri berhasrat menjadikan bidang pendidikan sebagai pelaburan penting bagi membangunkan potensi setiap warganegara agar dapat merelisasikan wawasan untuk menjadikan Malaysia negara maju.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 bilion bagi tujuan itu, sepanjang tahun ini.

 Katanya,melalui peruntukan besar akan disalurkan bagi meningkatkan pecapaian murid-murid dalam peperiksaan awam, pengagihan e-Book, pengaplikasian kelas dan peperiksaan maya, penyediaan peruntukan khas untuk sekolah elit dan premier.

“Peruntukan lain, pinjaman untuk anak-anak Terengganu melanjutkan pelajaran ke universiti di dalam dan luar negara. “Melalui usaha itu, kita bersyukur pencapaian dalam semua peringkat peperiksaan awam bagi anak-anak Terengganu sebelum ini, menunjukkan peningkatkan sangat membanggakan.,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) 2013, di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, hari ini.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan hadir merasmikan majlis itu. Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

 Keberangkatan baginda berdua disambut, Menteri Besar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM Dato’ Prof Emeritus Dr Rahman Embong .

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai `Negeri Anjung Ilmu’ pengusaan bahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah hendaklah dipertingkatkan.

“Pihak kami serius ingin melihat lebih ramai anak-anak Terengganu menjadi ahli profesional dalam semua bidang supaya dapat membantu membangunkan ekonomi Terengganu,” katanya

 



21 April 2013

Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Penutupan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris

Oleh: Suriati Ali 

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Majlis Penutupan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) 2013, di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, hari ini.



Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Keberangkatan baginda berdua disambut, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM Dato’ Prof Emeritus Dr Rahman Embong .

 Kira-kira 10,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Terengganu terlibat secara langsung dalam program anjuran YDSM itu, sepanjang tahun lalu

Berdasarkan jumlah itu, seramai 1,283 pelajar menampakkan kesungguhan untuk maju. Dato’ Prof Emeritus Dr Rahman, berkata program pengukuhan bahasa Inggeris yang memasuki tahun keempat manakala pengukuhan bahasa Arab tahun kedua dianggap sebagai program yang cukup menyeronokkan dan mudah difahami oleh pelajar.

Katanya, keyakinan pelajar menggunakan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi dengan guru dan rakan sebaya cukup tinggi selain tiada langsung perasaan segan dan kekok.

 “Program seumpama ini wajar diteruskan demi kepentingan anak didik Terengganu terutama dikalangan pelajar yang masih lemah. tidak mahu dan gagal mengusai bahasa itu secara mendalam,” katanya ketika berucap pada program itu.