Halaman

11 May 2013

Dato' Tengku Putera ketuai angkat sumpah barisan Exco Terengganu

Dato' Tengku Putera Tengku Awang mengetuai majlis angkat
sumpah barisan Exco di hadapan Sultan Terengganu,
Sultan  Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah,
Kuala Terengganu.
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali 

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, mengetuai majlis mengangkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) di Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad yang selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, turut mempengerusikan Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.


Dato’ Mohd Jidin Shafei (Adun Permaisuri) pula dilantik sebagai Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, diikuti Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Adun Seberang Takir) selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air.

Manakala Adun Telemong, Haji Rozi Mamat pula mengetuai Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia dan Dr A Rahman Mokhtar (Adun Kuala Besut) memegang Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Lain-lain, IR Rosli Othman (Kemasek) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan; YB Nawi Mohamad (Hulu Besut)  sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan & Komoditi dan YB A Latiff Awang pula Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat.

Sementara YB Roslee Daud memegang portfolio Usahawan, Pembangunan Luar Bandar,Kepenggunaan dan Koperasi dan terakhir, YB Ghazali Taib mengetuai Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas.

 

Exco Kerajaan Negeri berazam laksana tanggungjawab

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abdul Rahman

Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) yang dilantik di Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, hari ini, berbesar hati menerima pelantikan itu dan berazam melaksanakan amanah bagi memacu Terengganu sebagai negeri maju mengikut portfolio masing-masing.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, Dato’ Mohd Jidin Shafee, yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata dia akan meneruskan semula program yang sudah dirancang di samping membuat kajian semula dengan lebih mendalam bersesuaian dengan kedaaan semasa selaras dengan kehendak Pusat.

 “Oleh kerana sektor pelancongan merupakan perkara kedua terpenting di Terengganu, kita perlu menubuhkan kumpulan penasihat bagi memastikan perjalanan industri ini mencapai tahap global.

“Memandangkan industri ini cukup penting dalam menjana ekonomi, kita berharap mendapat komitmen daripada penasihat yang diselaraskan dengan apa yang kita ada dan menggunakan kebolehan-kebolehan untuk mempamerkan keupayaan Terengganu sebagai negeri yang perlu dilawati,” katanya.

 Muka baru, Adun Ajil, YB Ghazali Taib yang dipertanggungjawab memegang portfolio Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi, Tugas-Tugas Khas Negeri berazam meneruskan kecemerlangan kepimpinan dan pentadbiran Terengganu.

Katanya, pengalaman dalam bidang pendidikan selama 26 tahun akan digunakan sebaik mungkin dan tidak akan dipersia-siakan demi anak didik Terengganu.

 “Selok belok pentadbiran sekolah sama ada peringkat sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi, tidak menjadi masalah bagi saya kerana sudah mengikuti pelbagai kursus berkaitan itu.

“Saya akan merangka dan mendapatkan beberapa panduan terperinci daripada mereka yang berpengalaman dan mewujudkan satu pasukan khas bagi tujuan itu,” katanya

.

Dato’ Seri Ahmad Said selesai angkat sumpah MB

Dato' Seri Haji Ahmad Said menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu istiadat di Istana Maziah, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman dan Suriati Ali 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengangkat sumpah jawatan tersebut bagi penggal yang kedua di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, hari ini.

Beliau dilantik semula menyandang jawatan berkenaan setelah menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) minggu lalu dengan mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Menteri Besar bersama barisan Exco.
Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman (Barisan Nasional Seberang Takir), Dr Abd Rahman Mokhtar (Kuala Besut) dan Haji Rozi Mamat (Telemong) turut mengangkat sumpah mengekalkan jawatan masing-masing pada majlis yang sama.

Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang menang PRU13 yang lalu turut mengangkat sumpah sebagai Exco.

Mereka ialah Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), Encik Nawi Mohd (Hulu Besut), Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), Encik A.Latif Awang (Pengkalan Berangan), Encik Razali Taib (Ajil), Encik Rosli Daud (Bukit Besi) dan Ir Rosli Othman (Kemasik).


Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah, para pembesar negeri, Ahli-Ahli Parlimen, Adun-Adun Terengganu dan ketua-ketua jabatan agensi kerajaan negeri, hadir sama pada majlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar dan Exco yang dimulakan kira-kira jam 10 pagi.

Pada pilihan raya lalu BN memenangi 17 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri di Terengganu dan kekal memerintah negeri ini dengan majoriti mudah.

Teganukita difahamkan pelantikan portfolio bagi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

 

BERPADULAH KITA...SELEPAS PRU 13

Oleh: Ruslan Rahman 

Setelah terbentuknya kerajaan selepas pilihan raya umum ke 13, kita sewajarnya memberi tumpuan ke arah membentuk negara dan negeri yang cemerlang dan gemilang.

Kita lupakan segala sengketa dan kurangkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan titik-bengit yang tidak menguntungkan.

Marilah kita hidup dengan cara muafakat dan kerjasama, hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai. 

Kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain.

Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat kita pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu.

Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat bekerjasama begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa.

Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat tinggal mereka.

Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti.

Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan.

Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan dan perbezaan fahaman politik kepartian.

Pupuklah semangat bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempen-kempen kesedaran.

Pihak kepimpinan di kampung-kampung seharusnya mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka.

Semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain.

Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati.

Tegasnya semangat bekerjasama penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara dan negeri ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat.

Dalam hal ini, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan.

Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati dengan penuh bermakna.

Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat, seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak, pantai, kawasan kubur dan sebagainya.

Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan penduduk setempat .

Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara .

Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di sekolah.

Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama.

Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah dan sebagainya.

Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.

Guru-guru sebagai pendidik hendaklah menjauhi dari membentuk pemikiran pelajar dengan jiwa penentangan tetapi semailah jiwa mereka dengan patriotik dan cintakan negara.

Sama-samalah kita membina negeri dan negara kita.

Jangan dihancurkan dengan sentimen politik kepartian semasa pilihan raya, tetapi jadikanlah demokrasi sebagai jalan untuk kebaikan bukan untuk kehancuran.

Bawalah kebaikan dan hargailah keamanan yang sedang kita nikmati.

Berjuanglah untuk membuat orang gembira dan jangan berjuang untuk membuat orang derita.

Negeri dan negara kita, tanggungjawab kita bersama.

 

10 May 2013

ADUN Kota Putera Mohd Mahdi akan beri tumpuan kepada generasi muda


ADUN Kota Putera Mohd Mahdi Musa melawat pesakit

Oleh: Mohammad Ishak

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, merancang untuk mempelbagaikan aktiviti kepada generasi muda bagi mempastikan sokongan golongan berkenaan kepada Barisan Nasional (BN) dapat ditingkatkan bagi tempoh lima tahun.

Mohd Mahdi calon Pemuda Umno yang memenangi kerusi berkenaan baru-baru ini berkata selaku Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut, beliau akan mempastikan lebih banyak pengisian program untuk orang muda dilaksanakan mulai sekarang.

Katanya, selain program berbentuk keagamaan dan kemasyarakatan usaha juga akan dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai kepemimpinan dan semangat patriotik kepada orang muda.

Menurutnya, usaha perlu dilakukan sekarang menerusi aktiviti Pemuda dan Puteri Umno bagi menggerakkan semangat genesai muda yang kini dilihat tidak memihak kepada BN.

“Saya juga mencadangkan Kementeria yang bertanggungjawab terhadap belia perlu memberi focus terhadap belia dengan menghidupkan kembali persatuan belia di seluruh negara,” katanya.

Mohd Mahdi diminta mengulas mengenai sikap golongan muda yang tidak menyokong BN pada PRU13 sebaliknya banyak yang memihak kepada pembangkang.

Beliau berkata, Kementerian Belia hendaklah melakukan perubahan dan mengadakan lebih banyak program untuk belia sama seperti yan g dilakukan pada era tahun tujuh puluhan yang memberi perhatian berat kepada penubuhan persatuan belia.

Katanya, ini kerana dengan adanya persatuan belia dan dari situ dapat melahirkan pemimpin akar umbi selain melatih ahli belia setempat dalam pelbagai bidang termasuk kepemimpinan, ekonomi, pertanian , kemahiran dan agama.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini golongan belia berpersatuan dipinggirkan dan tidak diberi perhatian sebaliknya kerajaan lebih banyak menumpukan kepada aktiviti sukan membabitkan perbelanjaan besar.

09 May 2013

Dato' Seri Ahmad Said kekal Menteri Besar Terengganu


Dato'Seri Ahmad Said mengadakan sidang akhbar dikediaman Menteri Besar selepas menyerahkan watikah perlantikan kepada Sultan Terengganu.

Oleh: Mohammad Ishak 

Teka teki siapa menerajui Kerajaan Terengganu terjawab hari ini apabila penyandang Dato’ Seri Haji Ahmad Said dilantik semula sebagai Menteri Besar Terangganu untuk penggal kedua.

Beliau yang menerima watikah perlantikan dari Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyerahkan watikah berkenaan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Badariah, Kuala Terengganu, kira-kira jam 3 petang ini.

Dato' Seri Haji Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (adun) Kijal menghadap Sultan Terengganu kira-kira jam 2.45 petang tanpa ditemani pegawai kanan kerajaan negeri atau Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Bercakap kepada media di kediaman rasmi Menteri Besar selepas itu, Dato' Seri Ahmad berkata, majlis angkat sumpah jawatan dijangka diadakan dalam sehari dua ini selepas mendapat perkenan dan ketetapan tarikh rasmi dari Sultan Terengganu.

Beliau turut membayangkan majlis angkat sumpah berkenaan akan dilakukan serentak dengan perlantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Dengan perlantikan semula Dato' Seri Haji Ahmad sebagai Menteri Besar, spekulasi yang bertiup kencang di negeri ini mengenai siapa bakal Menteri Besar terjawab selepas isu berkenaan diperkatakan oleh rakyat negeri ini.

Sejak itu, pelbagai isu timbul kerana dikatakan pengumuman Menteri Besar Terengganu dikatakan agak lewat.

Bagaimanapun, Dato' Seri Haji Ahmad berkata masih ada negeri yang dimenangi Barisan Nasional (BN) yang belum melantik Menteri Besar termasuk, Negeri Sembilan,Pahang dan Johor.

Ditanya mengenai kemerosotan prestasi calon BN negeri ini beliau berkata, perkara itu berlaku di seluruh negara kerana kurangnya sokongan orang muda serta kaum Cina.

“Selepas ini kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menarik semula sokongan golongan berkenaan kepada BN,” katanya.

Tourism Malaysia Terengganu anjur program candat sotong

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Tourism Malaysia Terengganu akan menganjurkan Program Candat Sotong Bersama Media dan Persatuan Sukan Artis Malaysia di perairan Pulau Kapas, Marang.

 Program bertujuan memperkenalkan produk pelancongan sukan air itu diadakan sempena Terengganu Water Fiesta 2013 dan berlangsung pada 18 hingga 19 Mei ini.

 Pengarah jabatan itu, Encik Mohd Nasir Kushairi, berkata kira-kira 100 peserta dijangka mengikuti program yang mampu memberi pendedahan, idea serta rangsangan kepada agensi pelancongan Terengganu bagi menghasilkan pakej sukan air bertaraf antarabangsa.

Kataya, pada masa sama, ia mampu menjalin hubungan erat antara Tourism Malaysia Terengganu dengan pengusaha pelancongan tempatan dalam konteks meningkatkan kesedaran berkaitan promosi industri pelancongan di mata masyarakat.

“Aktiviti candat sotong sememangnya sinonim di Terengganu dan penganjuran program itu akan menjadi tarikan terbaru pelancong ke negeri ini.

“Malah, kita yakin jumlah pengunjung dan peserta akan meningkat jika terus menganjurkan program seumpama ini,“katanya.

Encik Mohd Nasir Kushairi,pemilihan perairan Gong Kapas sebagai lokasi karnival amat tepat seiring dengan kedudukan pantainya yang menghadap Laut China Selatan apatah lagi aktiviti mencandat sotong hanya boleh diadakan di Pantai Timur terutama Terengganu.



YPKT latih 3,086 belia ikuti kelas jahitan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah melatih 3,086 orang belia dan beliawanis lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi mengikuti kelas jahitan YPKT.

Pengarahnya, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM500,000 bagi kelas jahitan komuniti dan juga akademi untuk golongan belia dan juga beliawanis di negeri ini menambah kemahiran.

Menurutnya, kelas jahitan komuniti dijalankan selama empat bulan untuk setiap sesi yang diadakan tiga kali setahun, manakala kelas Akademi Jahitan pula dijalankan selama enam bulan di tujuh parlimen.

 “Mulai tahun ini kita akan membuat penambahbaikan Kelas Jahitan Komuniti (KJK) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan menukar mesin-mesin jahitan lama kepada berkelajuan tinggi,” katanya.

Katanya, terdapat 32 Kelas Jahitan Komuniti dan tujuh Kelas Akademi Jahitan di wujudkan setiap parlimen sejak 1994 serta masih mendapat sambutan sehingga kini.

“Kita akan menyediakan 10 buah mesin jahit ‘high speed’ di 32 Dun dengan peruntukan berjumlah RM640,000 atau RM20 ribu untuk setiap Dun,” katanya.

Menurutnya, belia dan beliawanis yang tidak berpeluang menonjol dalam bidang akademik fokus dalam bidang kemahiran seperti jahitan dan percaya bidang ini mampu menjana pendapatan lumayan jika mereka bersungguh-sungguh dan juga menjaga kualiti dan perkhidmatan kepada pelanggan.

 

Program jelajah siswa ke desa pupuk semangat kesukarelawanan

Oleh: Noraini Jusoh

Muhamad Najib Mat Khadzi
Pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Polisi dan Sekitaran Sosial) Universiti Malaysia Terengganu mengadakan Program Jelajah Siswa Ke Desa bertempat di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit selama dua hari, bermula hari ini.

Pengarah programnya, Muhamad Najib Mat Khadzi berkata, ia bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dan mengeratkan silaturahim antara pelajar dengan penduduk kampung di mana 19 peserta yang menyertai program ini akan tinggal bersama tujuh keluarga angkat yang terpilih.

"Program yang mendapat kerjasama 1Malaysia For Youth (1M4U) ini juga sebenarnya adalah inisiatif kami untuk memenuhi tugasan bagi subjek Perubahan dan Pembangunan Sosial sekali gus melengkapkan keperluan kursus yang kami pelajari di universiti.

"Aktiviti yang akan dijalankan bersama penduduk disini juga bertepatan dengan kehendak fakulti pembangunan sosial dimana kami perlu mengkaji perubahan dan pembangunan sosial sesuatu masyarakat,”ujarnya ketika ditemui Teganukita di balai raya kampung tersebut, hari ini.

Katanya, pada hari pertama, peserta akan bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit bagi menjayakan program jejak bestari untuk menarik minat mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selepas itu, bagi melengkapkan aktiviti melestari alam, acara gotong-royong di sekitar surau diadakan dan diikuti dengan program cakna komuniti di mana peserta akan berkunjung ke enam buah rumah terpilih untuk menghulurkan
bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian,” katanya.

Tambah beliau, pada sebelah malam pula aktiviti bacaan yasin dan tahlil yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh para peserta termasuk menjadi imam dan bilal akan mengisi slot malam munajat.

Katanya, aktiviti pada hari kedua pula lebih kepada program berbentuk riadah iaitu acara senamrobik disamping pemeriksaan kesihatan secara percuma yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu untuk penduduk kampung.

Katanya, majlis perasmian penutup akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Tuan Haji Bazlan Abd. Rahman kira-kira jam 10.30 pagi.

 

Pendawaian lama punca kebakaran

Kebanyakan kes kebakaran yang berlaku di negeri ini berpunca daripada elektrik berikutan pendawaian tidak ditukar walaupun telah melebihi 10 tahun, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu Encik Md Salleh Sarbini.

Beliau berkata selain elektrik, kebakaran juga berpunca daripada puntung rokok yang dibuang merata-rata dan kecuaian ketika memasak di dapur.

"Mengikut rekod kebanyakan kebakaran berlaku berpunca daripada elektrik apabila kebanyakan pendawaian elektrik yang melebihi 10 tahun tidak ditukar," katanya ketika merasmikan perbarisan sempena sambutan Hari Bomba Sedunia, semalam.

Katanya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, harta benda bernilai RM95,565,540 berjaya diselamatkan membabitkan 788 kejadian kebakaran manakala harta benda bernilai RM47,172,117 musnah.

Encik Md Salleh berkata sebanyak 60 kejadian kebakaran berlaku bagi tempoh pilihan raya umum ke-13 iaitu dari 20 April hingga semalam.

Katanya daripada jumlah itu sebanyak empat kejadian kebakaran melibatkan bangunan, tiga kenderaan, masing-masing dua kejadian kebakaran perkakasan dan stor manakala selebihnya kebakaran belukar dan sampah sarap.

Beliau berkata, balai bomba baru akan dibina di Kampung Raja, Besut dan Kijal, Kemaman, masing-masing bernilai RM5 juta.

 Katanya pembinaan kedua-dua balai berkenaan pada awalnya dijadual dibina tahun hadapan tetapi dipercepatkan kepada tahun ini. Sempena sambutan Hari Bomba Sedunia itu pelbagai aktiviti diadakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu seperti program menderma darah dan gotong-royong membersih kawasan sekitar.