Halaman

09 May 2013

YPKT latih 3,086 belia ikuti kelas jahitan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah melatih 3,086 orang belia dan beliawanis lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi mengikuti kelas jahitan YPKT.

Pengarahnya, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM500,000 bagi kelas jahitan komuniti dan juga akademi untuk golongan belia dan juga beliawanis di negeri ini menambah kemahiran.

Menurutnya, kelas jahitan komuniti dijalankan selama empat bulan untuk setiap sesi yang diadakan tiga kali setahun, manakala kelas Akademi Jahitan pula dijalankan selama enam bulan di tujuh parlimen.

 “Mulai tahun ini kita akan membuat penambahbaikan Kelas Jahitan Komuniti (KJK) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan menukar mesin-mesin jahitan lama kepada berkelajuan tinggi,” katanya.

Katanya, terdapat 32 Kelas Jahitan Komuniti dan tujuh Kelas Akademi Jahitan di wujudkan setiap parlimen sejak 1994 serta masih mendapat sambutan sehingga kini.

“Kita akan menyediakan 10 buah mesin jahit ‘high speed’ di 32 Dun dengan peruntukan berjumlah RM640,000 atau RM20 ribu untuk setiap Dun,” katanya.

Menurutnya, belia dan beliawanis yang tidak berpeluang menonjol dalam bidang akademik fokus dalam bidang kemahiran seperti jahitan dan percaya bidang ini mampu menjana pendapatan lumayan jika mereka bersungguh-sungguh dan juga menjaga kualiti dan perkhidmatan kepada pelanggan.