Halaman

09 May 2013

Gembira kekal, kecewa dengan orang muda : Rozi

Oleh: Aida Abd Rahman

Saya berterima kasih kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong kerana memberi peluang kepada saya untuk meneruskan amanah sebagai wakil rakyat pada 5 Mei lalu, namun saya tetap kecewa dengan senario hari ini apabila pengundi muda gagal memihak kepada Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Badan Perhubungan Umno Terengganu, Haji Rozi Mamat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu berjaya mengekalkan kerusi DUN Telemong selepas memperolehi 10,262 bagi mengenepikan pencabarnya, Narawi Embong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 6,864 undi meningkat 971 undi berbanding PRU lalu.

“Alhamdulillah, saya gembira dan berbangga dengan pilihan tepat orang-orang DUN Telemong yang setia dan percaya kepada keupayaan BN. Bagaimanapun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa kesal dengan sikap kebanyakan orang muda yang memihak kepada pembangkang di kebanyakan peti undi di DUN lain.

“Sebagai exco belia pada penggal lalu, saya bertanggungjawab memastikan golongan itu tidak terpinggir. Pelbagai dana, bantuan dan kemudahan disediakan tetapi tidak berbekas kepada mereka sehingga langsung tidak berterima kasih kepada kerajaan yang membantu mengakibatkan undi kepada BN merosot,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Haji Rozi berkata, kegagalan BN meraih sokongan belia itu harus ditangani secara teliti dan serius kerana golongan itu merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan dan usaha untuk memperkasakan lagi kekuatan parti.

Beliau turut mengakui hanya di DUN Telemong pengundi muda bersama BN apabila majoriti dari 80 peratus golongan itu termasuk pengundi luar memilih parti itu , berbanding DUN lain khususnya dalam Parlimen Hulu Terengganu, kebanyakannya lebih memihak pembangkang.

“Dalam soal ini, kita sebagai pemimpin tidak boleh menyalahkan golongan itu semata-mata memandangkan mereka ada hak untuk memilih berdasarkan citarasa dan penilaian masing-masing ketika PRU13 lalu. Pada masa yang sama, mungkin ada kelemahan kita yang tanpa sedar menjadi punca kepada kegagalan meraih sokongan orang muda.

“Antara perkara yang mungkin kita terlepas pandang adalah dasar dan juga intipati perjuangan kerajaan BN selama ini tidak dapat diterima mahupun diterjemahkan dengan baik oleh mereka atas faktor mereka sendiri yang gagal menerima, ataupun kegagalan pemimpin sama ada dari peringkat atasan sehingga akar umbi dalam menyampaikan mesej itu secara efektif,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, tempoh empat tahun yang mendatang sebelum pilihan raya akan datang, semua pihak khususnya jentera parti BN dan Umno wajar memperbaiki dan mengisi kelompongan itu supaya pengundi muda kembali kepada menguatkan parti.

Katanya, pembangunan fizikal seperti kemudahan prasarana dan wang ringgit kini bukan ukuran utama yang mampu mempengaruhi undian orang muda kepada BN, tetapi kekuatan kerohanian dan pengukuhan dalam jiwa menerusi pendekatan yang lebih santai mungkin menjadi faktor yang harus diambil kira bagi memastikan kelangsungan BN dan Umno di negeri dan negara ini amnya.

“Satu lagi, saya merasakan kebanyakan pemimpin termasuk di peringkat akar umbi, tidak boleh ada jenis hok yang `payoh base’(sukar untuk berunding). Mereka kena sentiasa dekat dengan orang muda dan mendengar suara mereka. Sebaik-baiknya jadi macam kawan dan tiada jurang antara pemimpin dengan rakyat. Hubungan baik dan saling memahami antara satu sama lain sebenarnya senjata terbaik untuk kita sentiasa dikenang dan dihargai oleh orang lain. Itu pandangan saya dan kita perlu sentiasa memperbaiki kelemahan diri,” katanya.