Halaman

11 May 2013

Dato' Tengku Putera ketuai angkat sumpah barisan Exco Terengganu

Dato' Tengku Putera Tengku Awang mengetuai majlis angkat
sumpah barisan Exco di hadapan Sultan Terengganu,
Sultan  Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah,
Kuala Terengganu.
Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali 

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, mengetuai majlis mengangkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) di Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Exco di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu itu dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan.

Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad yang selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, turut mempengerusikan Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum dan Sumber Asli, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.


Dato’ Mohd Jidin Shafei (Adun Permaisuri) pula dilantik sebagai Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, diikuti Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Adun Seberang Takir) selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air.

Manakala Adun Telemong, Haji Rozi Mamat pula mengetuai Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia dan Dr A Rahman Mokhtar (Adun Kuala Besut) memegang Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Lain-lain, IR Rosli Othman (Kemasek) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan; YB Nawi Mohamad (Hulu Besut)  sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan & Komoditi dan YB A Latiff Awang pula Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat.

Sementara YB Roslee Daud memegang portfolio Usahawan, Pembangunan Luar Bandar,Kepenggunaan dan Koperasi dan terakhir, YB Ghazali Taib mengetuai Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas.