Halaman

08 May 2013

YIT buat penambahbaikan sekolah aliran agama

Oleh; Esah Abdullah 

Yayasan Islam Terengganu (YIT) sedang membuat penambahbaikan dalam bidang pendidikan khususnya di sekolah aliran agama di bawah kelolaannya sebagai pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Pengarahnya, Haji Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata, salah satunya ialah perlaksanaan fasa kedua Institut Pendidikan Islam (Inspi) di Kemaman yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

“Projek berkenaan membabitkan pembinaan asrama puteri, dewan makan dan dewan serbaguna dengan peruntukan berjumlah RM5 juta,” katanya dalam sidang media di Permai Inn baru-baru ini.

Katanya, bila fasa kedua ini siap, projek fasa ketiga iaitu fasa akhir akan disambung yang turut membabitkan peruntukan RM5 juta.

Tambahnya sehingga ini terdapat 300 pelajar lepasan UPSR sedang menuntut di Inspi dan jika mendapat keputusan cemerlang mereka berpeluang menyambung pengajian di universiti tempatan dan luar negara termasuk Jordan.

Haji Md Kamarul berkata, bangunan baru ini dijangka boleh menampung 1,000 pelajar dan mereka akan menerima biasiswa RM100 sebulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan RM5.5 juta untuk pembinaan fasa pertama Pondok Darul Iman (PDI) di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu tahun ini.

“Tapak asalnya keluasan satu hektar itu telah di wakafkan oleh masyarakat di kampung berkenaan dan telah digunakan sejak 2010 yang menempatkan 100 pelajar lepasan UPSR,” katanya.

Katanya, YIT juga telah selesai membuat urusan pembelian tanah seluas 3.6 hektar sekitar kawasan berkenaan untuk tanaman kelapa sawit dan rambutan.

Menurutnya, fasa pertama akan dibangunkan bangunan akademik dan fasa kedua bangunan asrama serta dewan makan dengan perbelanjaannya dianggarkan RM20 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan.