Kebanyakan pengundi terpedaya dengan dakyah pembangkang di saat-saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu sehingga mengakibatkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) merosot.
Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata BN Terengganu yang akan menjalankan post-morterm punca sebenar kemerosotan sokongan pengundi khususnya orang muda dan pengundi luar itu, turut berbangga dengan kesetiaan kebanyakan pengundi terhadap BN ketika pembangkang cuba mempengaruhi rakyat dengan pelbagai tohmahan.
“Secara tidak langsung, ramai rakyat tertipu dan terpengaruh, lalu mereka yang sebelum ini menyokong BN dan percaya dengan keupayaan BN, akhirnya menyokong pakatan rakyat.
“Pada masa yang sama, saya menghormati dan berterima kasih dengan kepercayaan dan kesetiaan sebahagian besar lagi rakyat yangmemberi mandat kepada BN untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri mahupun Pusat,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.
Dato’ Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Seberang Takir, berkata hala tuju sekarang adalah memulihkan kepercayaan generasi muda untuk mendukung aspirasi dan misi membangunkan negeri bersama-sama Kerajaan BN.
“Sebagai memenuhi mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat di negeri ini saya akan memastikan pembangunan untuk generasi muda diberi penekanan utama, selari dengan Aku Janji Tambahan BN sekiranya menang PRU13.
“Kerajaan BN sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap apa yang dijanjikan dan sedaya –upaya akan berusaha merealisasikan berdasarkan hasrat dan keperluan rakyat,” katanya.
Menurutnya, bukan hanya memastikan lebih banyak peluang untuk anak muda meneruskan pengajian di bidang pendidikan dan memperkasakan sektor pendidikan negeri, kerajaan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.
“Kemudahan dan insentif khas bagi meneruskan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kritikal serta memperkasakan lagi program e-Book dan membina sekolah Imtiaz di setiap daerah antara usaha bakal dilaksanakan kerajaan dari sekarang.
“Pada masa yang sama, kita juga bersedia mendengar suara orang muda dan memenuhi aspirasi mereka termasuk menyediakan lebih banyak peluang dan kemudahan-kemudahan riadah untuk orang muda seperti memperbanyakkan gelanggang futsal dan membina kompleks litar perlumbaan motosikal bertaraf antarabangsa,” katanya.
Pada PRU13, Dato’ Ahmad Razif kekal mempertahankan DUN itu selepas memperolehi 7,731 undi mengenepikan pencabarnya dari Pas, Zakaria Dagang dengan majoriti 1,510 undi.