Halaman

13 June 2013

Peruntukan RM33.1j laksana sembilan projek utama pembangunan hutan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM33.1 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) bagi mengurus dan melaksanakan sembilan projek utama pembangunan hutan di seluruh Terengganu, pada tahun ini.



Kesemua projek berkenaan melibatkan pengurusan sumber hutan, pembangunan sumber hutan, hutan lipur dan ekopelancongan, infrastruktur dan utiliti, pemuliharaan sumber, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) publisiti dan pengembangan perhutanan, kuantiti biji benih dan bekalan tanaman serta operasi dan penguatkuasaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri tidak hanya mementingkan pembangunan ekonomi semata-mata dari kawasan hutan seluruh Terengganu.

“Kerajaan negeri turut memberi penekanan dan tumpuan kepada pengurusan hutan secara berkekalan supaya khazanah hutan negeri sentiasa terpelihara.

 “Bagi memastikan usaha pembangunan dan pemuliharaan hutan menerusi amalan silvikultur yang berkesan dan sempurna, kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan RM33.1 juta pada 2013 dan mungkin tahun depan kita akan meminta peruntukan khusus untuk pemuliharaan dan pemeliharaan di kawasan pantai sahaja,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2013, di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung malaysia, Dato' Prof Dr Abd Rahman Abd Karim; Pengarah JPNT, Haji Azmi Nordin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu, Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid.

Dato' Ahmad Razif kemudiannya bersama tetamu kenamaan dan peserta menanam anak pokok ketapang dan rhu pantai sebagai simbolik kepada kepentingan menjaga alam sekitar oleh semua pihak di kawasan pesisir pantai.

“Pantai Teluk Ketapang dipilih sebagai perintis program ini pada kali ini dan selepas ini akan diteruskan ke semua pesisir pantai kerana kita mahu melindungi berikutan usaha pemuliharaan lebih baik berbanding membaikpulih yang memerlukan kos amat tinggi selain mengakibatkan pembaziran kepada ekonomi negara.

“Oleh sebab itu, tindakan JPNT pada hari ini amat bijak. Malah, di Terengganu sendiri, kita masih lagi memiliki Hutan Simpan Kekal seluas 42 peratus atau 0.5444 juta hektar daripada keseluruhan keluasan negeri yang harus dilindungi oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi JPNT memberi penekanan supaya segala sumber khazanah perhutanan digunakan sebaiknya bagi menjamin keberkekalan sumber hutan yang kaya dengan sumber semula jadi serta kepelbagaian biologi.

Menurutnya, hutan merupakan penyumbang yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, selain menyumbang faedah lain yang tidak ternilai seperti pemeliharaan tanah-tanih, kestabilan iklim, pemeliharaan kepelbagaian biologi dan mewujudkan kawasan rekreasi serta punca sumber air bersih.





Kerusi roda elektrik untuk Nur Fatihah

Adik Nur Fatihah mencuba kerusi roda baru
yang lebih canggih menggunakan motor
elektrik yang disumbangkan oleh
kerajaan negeri.
Oleh; Esah Abdullah 
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Pemberian sebuah kerusi roda elektrik daripada kerajaan negeri sudah cukup untuk merubah kehidupan
seorang kanak-kanak pengidap penyakit sendi lembik adik Nur Fatihah Abdul Karim, 12, dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu.

 Adik Nur Fatihah yang ditemani bapanya Abdul Karim Abdullah, 40, menerima kerusi roda yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Wisma Darul Iman semalam.

“Kerajaan peruntukkan RM10 juta di bawah Tabung Penyakit Kronik serta membelanjakan RM2.5 juta setahun untuk pelbagai bantuan perubatan seperti lampin pakai buang, susu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kerusi berkenaan.

Pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Payong itu merupakan anak sulung daripada empat beradik mengidap penyakit itu sejak dilahirkan bergantung sepenuhnya kepada ibunya Puan Mahani Mat Lela, 34, untuk mengurus diri termasuk mandi, pakai baju, suap makanan dan sebagainya.

Namun dia seorang murid yang pintar dan mendapat 4A 1B dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini serta bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris.

“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang sangat perihatin terhadap anak sulungnya itu dan pemberian ini dapat meringan beban saya serta Nur Fatihah lebih selesa untuk bergerak,” kata Abdul Karim yang bekerja sebagai penjual ikan.

Katanya, bantuan bulan RM300 yang diterima dari jabatan Kebajikan Masyarakat juga banyak membantu meringankan beban keluarga kerana Nur Fatihah turut memakai lampin pakai buang sehingga sekarang.

Beliau berkata, biar pun anak sulungnya itu tidak dapat bengkokkan kedua tangan dan kakinya namun dia masih mampu menulis menggunakan hujung jari tangan serta menaip papan kekunci e-Book menggunakan jari kaki.

 

Pulau Bidong jadi pulau warisan negeri

Kerajaan negeri bercadang menjadikan Pulau Bidong, yang kaya dengan peninggalan sejarah selain keindahan alam semulajadi dan terumbu karang, sebagai pulau warisan negeri, sekali gus menjadi tarikan pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafie berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk mengkomersilkan pulau itu yang pernah menjadi tempat pelindungan pelarian Vietnam.

Bagi merealisasikan impian itu, beberapa infrastruktur akan ditambah selain kerja-kerja pembersihan selain memelihara khazanah yang terdapat di pulau itu, katanya kepada Bernama selepas mengadakan lawatan ke pulau-pulau di kawasan Pulau Bidong baru-baru ini.

“Kita akan menjadikannya sebagai pulau pusat rekreasi sejarah selain membolehkan penggiat sejarah meneruskan kajian mereka terhadap peninggalan masyarakat terdahulu,” katanya.

Datuk Mohd Jidin berkata walaupun pulau berkenaan dibuka untuk kunjungan pelancong namun pihaknya akan memastikan ia dilakukan secara terkawal bagi memastikan warisan peninggalan sejarah terus terpelihara.

Katanya pulau seluas 203 hektar itu mempuyai nilai sejarah yang tinggi dan kerajaan negeri akan melakukan beberapa program pemuliharaan untuk mengekalkan keindahan alam semulajadi di pulau itu.

Selain itu, katanya beberapa kemudahan juga akan ditambah di pulau-pulau untuk nelayan kecil berlindung daripada ombak besar, angin kencang dan ribut.


Kejohanan futsal tiga negara esok

Allecel Trading Sdn Bhd (Red Bull Malaysian) dengan kerjasma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kerajaan Terengganu akan menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Red Bull di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, selama dua mulai esok (Jumaat).

Tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei akan menyertai pertandingan tersebut di mana Terengganu buat julung kali dipilih sebagai tuan rumah pertandingan tersebut.

Majlis perasmian dan jamuan makan malam bagi pertandngan itu akan diadakan di Puncak Gamelan, Hotel Prlimula, jam 8 malam ini dan dijangka dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut di Stadium Negeri.

 

Pelbagai aktiviti sempena Karnival Jualan PMINT 2013

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 30,000 pengunjung dijangka hadir pada Karnival Jualan yang diadakan sempena Larian Perdana PMINT 2013 di Dataran Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu.


Karnival yang akan berlangsung selama empat hari dan berakhir 29 Jun itu dianjurkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bertujuan memberi maklumat dan memperkenalkan produk PMINT kepada pelanggan.

 Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman berkata aktiviti dijangka mendapat sambutan orang ramai, Larian Perdana PMINT yang akan diadakan pada hari akhir karnival iaitu 29 Jun depan .

“Apa yang menariknya sebanyak 180 hadiah dan 150 cabutan bertuah bakal diperoleh dengan jumlah keseluruhan RM40,000.

 “Aktiviti lai, termasuk pemeriksaan kesihatan, persembahan tarian tradisional, senamrobik, pertunjukan taekwando, motosikal besar dan silat gayung,” katanya.

 Katanya, karnival tersebut akan menembatkan 20 unit kanopi untuk usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berminat mengadakan jualan dan promosi dalam tempoh berkenaan.

 “PMINT turut membuka ruang pameran untuk mempromosi pembangunan hartanah PMINT kepada orang ramai,” katanya.

 

12 June 2013

Bengkel ibu bapa dengan anak selama sejam dedah aktiviti rangsang minda

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memperkenalkan bengkel aktiviti bersama ibu bapa bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman penjaga mengenai kaedah terbaik merangsang minda kanak-kanak menerusi kaedah bermain.

Penolong Pengarah Taska I, Encik Wan Zulfazlee Wan Mustaffa, berkata bengkel yang bertujuan mengaplikasikan aktiviti di bengkel selama sejam di antara ibu bapa dengan anak-anak yang berusia empat tahun ke bawah yang ditempatkan di taska YPKT, mula dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Sehingga kini, dari keseluruhan 65 taska YPKT seluruh Terengganu, hampir sebahagian sudah selesai melaksanakan aktiviti itu menerusi bantuan dan pemantauan pengurus serta guru terlatih taska masing-masing. Insya-Allah kita akan menyelesaikan aktiviti berkenaan di semua taska pada bulan depan sebelum Ramadan.

“Alhamdulillah, sambutan dan penyertaan ibu bapa amat baik dan membuktikan mereka memberi komitmen padu terhadap usaha taska yang mahu memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal yang betul dan minda berkembang dengan baik sebelum melangkah ke prasekolah,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Wan Zulfazlee berkata, berdasarkan sambutan baik ibu bapa yang sanggup meluangkan masa berikutan ada di kalangan taska melaksanakan aktiviti itu di waktu pejabat, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program itu di masa depan.

Selain itu, aktiviti ini amat penting dalam usaha menyerapkan kaedah yang betul kepada ibu bapa untuk mempraktikkan cara yang sama sambil meluang masa yang berkualiti dengan anak-anak di rumah.

“Peralatan dan bahan digunakan amat ringkas, selain hanya menggunakan apa yang ada di sekeliling termasuk bahan terbuang seperti kapas, potongan kertas warna, habuk pensil, hampas kelapa, cat air, gabus dan span.

 “Konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti taska ini membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan fizikal dan juga mental mereka,” katanya.

Menurutnya, sebelum bengkel bermula, ibu bapa akan diberi penerangan oleh pengurus dengan dibantu guru, selain ibu bapa berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan taska berkaitan anak dan juga aktiviti di pusat asuhan itu.


SIDANG PERTAMA DUN YANG BAKAL HANGAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Bahagian pertama:

Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke 13, bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama adalah dijangka begitu hangat dan dinanti-nantikan baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Sidang bagaimanapun akan didahulukan dengan perlantikan dan angkat sumpah Yang DiPertua Dewan yang juga masih jadi teka –teki siapakah yang bakal dilantik.

Selepas itu diikuti angkah sumpah semua ahli-ahli dewan yang telah memenangi pilihanraya baru-baru ini. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dijangka akan berangkat merasmikan Istiadat pembukaan pada Isnin 17 Jun.

Sidang kali ini memerlukan persediaan yang rapi di pihak kerajaan seramai 11 orang termasuk Menteri Besar dan penyokong kerajaan 6 orang manakala kedudukan kerusi pembangkang 15 orang agar segala yang diperbincangkan, diperbahaskan dan sebagainya merupakan suatu mandat rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen.

Walau bagaimana pun barisan kerajaan terdiri dari Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, (Adun Kijal) Exconya YB Dato’ Tengku Putera Awang (Kuala Berang) dan YB Dato’ Mohd Jidin Shafie (Permaisuri) merupakan orang lama sejak era Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lagi sarat dengan pengalaman dan sepak terajang politik, terutamanya untuk menghadapi pembangkang.

Begitu juga Exco sebelum ini YB Haji Rozi Mamat (Telemong) YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) dan YB Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut) juga merupakan Exco yang telah ada pada penggal yang lepas yang sudah pasti membantu memberi kekuatan kepada barisan kerajaan.

Manakala dua lagi Exco kerajaan, YB Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan YB Ir Rosli Othman (Kemasek) adalah merupakan ahli dewan undangan negeri Terengganu sebelum ini lagi yang pasti membantu kematangannya untuk berdepan dengan apa jua suasana.

Manakala Exco muka baru seperti YB Ghazali Taib( Ajil) tidak kurang juga hebatnya di samping YB A.Latiff Awang (Pengkalan Berangan) dan YB Roslee Daud (Bukit Besi) iaitu Setiausaha Umno Bahagian Dungun.

YB Ghazali adalah bekas guru penolong kanan, manakala YB A.Latif Awang juga bekas guru dan pegawai Angensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) manakala YB Roslee adalah bekas pegawai JASA.

Di zaman Tan Sri Wan Mokhtar, kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu pernah berdepan dengan 10 pembangkang (tahun 1990-1995), tetapi suasana dapat dikawal dengan baik.

Tanpa mengambil kira kerusi di pihak Kerajaan (Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan) bermakna kedudukan di dalam dewan ialah 6 penyokong kerajaan dan 15 pembangkang. YB Wan Hakim Tan Sri Mokhtar (Adun Air Putih) telah dilantik bagi mengetuai barisan penyokong kerajaan.

Ia dibantu oleh wakil rakyat berpengalaman, YB Pahemi Yusofi (Jertih), Iskandar Jaafar (Jabi), YB Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit) , YB Dato’ Sabri Mohd Nor (Permaisuri) dan Mohd Mahdi Musa (Kota Putera).

YB Pahemi sebelum ini adalah Adun Kota Putera akan membantu YB Wan Hakim justeru kedua-dua mereka adalah yang sudah masak dengan perjalanan dewan.

Bagaimanapun YB Iskandar juga sebagai orang muda dan bekas Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri juga dijangka mampu menjadi penghidup suasana perbahasan.

YB Bazlan adalah guru sebelum ini, YB Dato’ Sabri usahawan yang berjaya dan YB Mohd Mahdi adalah juga orang muda, iaitu Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut.

Kepada mereka diharap menjadi panglima yang berkesan untuk BN Terengganu di persidangan Dun nanti.

Walaupun seramai enam orang sahaja, wakil BN atau penyokong kerajaan perlu mewujudkan panglima atau menjadikan semua seramai 6 orang penyokong kerajaan dalam Dun sebagai ‘panglima’ bagi memberi kekuatan kepada BN berhadapan dengan seramai 15 orang pembangkang yang mungkin diketuai oleh YB Adun Pas Wakaf Mempelam yang merupakan Yang DiPertua Pas Negeri Terengganu, di samping Presiden Pas YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (Adun Rhu Rendang) bekas Menteri Besar era Pas 13 (1999- 2004).

Kerajaan di bawah teraju Dato’ Seri Ahmad Said seorang politik dan pemimpin yang berpengalaman memberi kekuatan kepada pihak kerajaan untuk berdepan dengan pembangkang yang rata-ratanya terdiri dari muka baru, kecuali YB Dato’ Seri Haji Hadi, YB Berhormat Hj Abdul Wahid Endut , YB Adun Bukit Tunggal (YB Dr Alias) dan YB Adun Bukit Payong (YB Us. Mohd Nor).

Walaupun barisan kerajaan yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad berpengalaman dan amat meyakinkan, tetapi peranan barisan penyokong kerajaan adalah penting dalam setiap perbahasan dan perdebatan di Dun.

Barisan kerajaan lebih bersifat membuat jawapan kepada soalan-soalan yang dikemukakan dan kemudian membuat penggulungan di akhir sidang; biasanya yang lebih memainkan peranan dalam berbahasan dan perdebatan ialah pihak penyokong dan pembangkang.

(bersambung...) bersambung:

Kita tidak boleh mengharapkan semata-mata kepada pihak kerajaan untuk mengambil bahagian .....

 

Larian Perdana PMINT 2013 tawar hadiah RM40,000


Oleh: Suriati Ali

 Larian Perdana Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang akan diadakan pada 29 Jun depan, di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000 kepada peserta.

 Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman berkata pihaknya mensasarkan 3,000 penyertaan di kalangan masyarakat Terengganu dengan mengenakan yuran yang sangat berpatutan.

 “Bagi peserta kategori sekolah rendah dan sekolah menengah hanya dikenakan yuran RM5 dan lain-lain kategori pula sebanyak RM10.

 “Pembayaran yuran penyertaan mestilah dibuat sebelum atau pada 20 Jun secara tunai atau wang pos dan borang penyertaan boleh dicetak melalui www.pmint.gov.my,” katanya kepada Teganukita.


 Katanya, semua peserta dikehendaki memakai baju T rasmi dan tag yang disediakan pada hari larian. Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penyertaan dibatalkan.

 “Larian yang berkonsepkan `lari suka-suka’ dengan jarak tidak melebihi 10 kilometer (km) itu akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

 “Trek larian bermula di Taman Awam Batu Burok akan melalui Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Masjid Abidin, dan Jalan Engku Fatimah di mana peserta larian akan melalui bangunan PMINT,” katanya .

 Katanya, peserta kemudiannya meneruskan larian melalui Jalan Sultan Ismail mengelilingi Bulatan Batu Bersurat dan Jalan Sultan Mahmud sebelum menyusuri Jalan Pantai Batu Burok dan kemudiannya akan melintasi Jalan Sultan Zainal Abidin.

 “Kemucak larian atau garisan penamatnya akan berakhir di tempat di dataran Taman Awam Batu Burok iaitu lokasi sama ketika memulakan acara.

 “Pihak kami percaya pendekatan itu mampu menggalakkan rakyat Terengganu menyertai aktiviti kecergasan dan rekreasi di samping menyahut hasrat kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat cerdas, sihat, berwibawa dan aktif,” katanya.

 

Pemimpin BN Marang beri khidmat terbaik

Oleh : Amirullah Othman 

Walaupun suasana politik di Marang agak tertekan bagi Barisan Nasional (BN) kerana kalah di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, namun bagi Adun Pengkalan Berangan, YB Encik A.Latiff Awang yang terkenal dengan panggilan Cikgu Latiff, sentiasa memberikan khidmat terbaik kepada semua warga Parlimen Marang.



Ini kerana DUN Rhu Rendang, DUN Bukit Payong, DUN Alor Limbat dan Parlimen Marang telah jatuh ke tangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini.

Pelbagai program telah disusun bagi memenuhi kehendak rakyat dalam DUN Pengkalan Berangan yang telah bekerja keras sehingga BN menang besar dalam pilihan raya lalu.

Dalam ucapan beliau semasa pembahagian BR1M kepada rakyat dalam Parlimen Marang amat menekankan tentang perpaduan kaum Melayu dalam apa jua kerja supaya sedar tentang kerugian kita yang menyokong pembangkang.

Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri Terengganu.

Setiap hari berduyun-duyun penduduk kampung datang ke kediaman beliau untuk mendapatkan pelbagai bantuan dan menyelesaikan masalah.

Beliau merupakan satu-satunya calon Barisan Nasional yang menang dalam Parlimen Marang menjadikannya sebagai tumpuan bukan sahaja rakyat dalam Parlimen Marang tetapi juga rakyat dari Parlimen Kuala Terengganu.

Namun begitu setiap situasi dapat beliau tangani dengan bijak dan berhemah. Pengalaman beliau dalam Ngo’s dan politik sebelum ini menjadikan beliau seorang yang matang dan bijak membuat keputusan.

Rata-rata rakyat yang bertandang ke rumah beliau amat berpuas hati dengan layanan dan khidmat yang diberikan oleh beliau.

Kerajaan beri sumbangan RM10,000 kepada Mazlan dan Habsah

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika menjawab pertanyaan wartawan pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Mazlan Zakaria

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi sumbangan kepada dua orang
penggiat seni yang uzur iaitu Encik Mazlan Zakaria, 53,dan Puan Habsah Jusoh,65.

Habsah Jusoh
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, setiap seorang akan menerima RM10,000 daripada kerajaan bagi meringankan beban yang sedang mereka hadapi.

“Kerajaan bersimpati dengan apa yang dilalui dua orang aktivis seni berkenaan dan mesyuarat memutuskan untuk memberi sumbangan RM10,000 setiap seorang bagi menampung perbelanjaan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, kerajaan bersimpati dengn apa yang berlaku dan berharap mereka bersabar menghadapi segala dugaan hidup. “Kita akan buat penyerahan cek kepada mereka berdua dalam masa terdekat,” katanya.

Encik Mazlan aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah  kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan seterusnya menyertai perkumpulan teater Komputer dan pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada 1990 an.

 Bapa kepada tujuh itu mengidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kini kaki kanannya telah dipotong untuk mengelak jangkitan kuman.

Manakala Puan Habsah mengidap serangan strok dan sering berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.