Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memperkenalkan bengkel aktiviti bersama ibu bapa bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman penjaga mengenai kaedah terbaik merangsang minda kanak-kanak menerusi kaedah bermain.
Penolong Pengarah Taska I, Encik Wan Zulfazlee Wan Mustaffa, berkata bengkel yang bertujuan mengaplikasikan aktiviti di bengkel selama sejam di antara ibu bapa dengan anak-anak yang berusia empat tahun ke bawah yang ditempatkan di taska YPKT, mula dilaksanakan sejak tahun lalu.
“Sehingga kini, dari keseluruhan 65 taska YPKT seluruh Terengganu, hampir sebahagian sudah selesai melaksanakan aktiviti itu menerusi bantuan dan pemantauan pengurus serta guru terlatih taska masing-masing. Insya-Allah kita akan menyelesaikan aktiviti berkenaan di semua taska pada bulan depan sebelum Ramadan.
“Alhamdulillah, sambutan dan penyertaan ibu bapa amat baik dan membuktikan mereka memberi komitmen padu terhadap usaha taska yang mahu memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan awal yang betul dan minda berkembang dengan baik sebelum melangkah ke prasekolah,” katanya kepada Teganukita, hari ini.
Encik Wan Zulfazlee berkata, berdasarkan sambutan baik ibu bapa yang sanggup meluangkan masa berikutan ada di kalangan taska melaksanakan aktiviti itu di waktu pejabat, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program itu di masa depan.
Selain itu, aktiviti ini amat penting dalam usaha menyerapkan kaedah yang betul kepada ibu bapa untuk mempraktikkan cara yang sama sambil meluang masa yang berkualiti dengan anak-anak di rumah.
“Peralatan dan bahan digunakan amat ringkas, selain hanya menggunakan apa yang ada di sekeliling termasuk bahan terbuang seperti kapas, potongan kertas warna, habuk pensil, hampas kelapa, cat air, gabus dan span.
“Konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti taska ini membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan fizikal dan juga mental mereka,” katanya.
Menurutnya, sebelum bengkel bermula, ibu bapa akan diberi penerangan oleh pengurus dengan dibantu guru, selain ibu bapa berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pihak pengurusan taska berkaitan anak dan juga aktiviti di pusat asuhan itu.