Halaman

14 June 2013

16.3 peratus penduduk Terengganu tidak sedar hidap hipertensi

Oleh: Noraini Jusoh

Hasil daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 mendapati 16.3 peratus penduduk Terengganu tidak menyedari bahawa mereka menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi kerana tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato’ Dr. Anwa Sulaiman berkata, anggota kesihatan perlu meningkatkan lagi aktiviti saringan kesihatan di kalangan masyarakat dan orang ramai pula perlu berani untuk menjalani saringan kesihatan.

"Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencegah penyakit yang membunuh secara senyap ini.

"Jaringan kesihatan boleh dibuat di klinik kesihatan dan hospital berdekatan selain di 11 Klinik 1Malaysia yang terdapat di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Haji Mohd Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr. Hajah Balkis Ab. Karim.

Dr.Anwa berkata, bagi ibu bapa yang takut menjalani saringan kesihatan peranan anak-anak sangat penting dalam memujuk dan membawa mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

"Anak-anak perlu mengambil tahu tahap kesihatan kedua ibu bapa sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka.

"Sementara itu, kepada mereka yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan boleh hadir ke program kesihatan bersama masyarakat yang dianjurkan JKNT hampir setiap bulan kerana kebiasaannya pemeriksaan kesihatan secara percuma sering dilakukan,” ujarnya.

Katanya, kejadian penyakit darah tinggi di Terengganu mengikut kajian NHMS 2011 telah menunjukkan 26.8 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.