Halaman

09 June 2013

Pendedahan awal wanita di bidang perniagaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha untuk memberi lebih pendedahan dan persediaan terhadap golongan wanita bagi menceburi bidang perniagaan terus diperkasakan menerusi penganjuran program `Transformasi Minda Pra Usahawan `U-Boleh’’, di Dewan Penyayang, Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, Kuala Terengganu, semalam.

Program tahunan anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Kementerian Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat diserta kira-kira 160 peserta di kalangan wanita dari agensi kerajaan, badan berkaitan kerajaan (NGO) dan ibu tunggal seluruh Terengganu.

Pengarahnya, Puan Norrani Abdul Rahman berkata, pihaknya gembira dengan respon dan sambutan baik peserta memandangkan pendedahan awal itu amat berguna bagi mengukuhkan kefahaman dan minda peserta yang mahu berjinak dengan dunia perniagaan.

“Pada masa yang sama, program ini juga mampu membuka minda peserta agar lebih bermotivasi dan beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi golongan hawa menerusi langkah azam niaga.

“Kefahaman dari taklimat yang disampaikan oleh pembentang modul juga dapat membantu menyediakan panduan kepada wanita untuk memulakan perniagaan sebagai kerjaya masa depan,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Norrani berkata, pihaknya juga berharap peserta dapat memupuk dan meneroka potensi mereka dan merebut peluang yang untuk bergelar usahawan berjaya.

Selain itu, beliau berkata hanya menerusi kursus seumpama itu peserta juga dapat berkongsi kaedah dan saluran yang efisyen bagi mendapatkan bantuan dan langkah yang betul untuk menguruskan perniagaan dan mengembangkan bidang itu.

Menurutnya, tiga modul khusus bertajuk Motivasi keusahawanan berani kaya dan berjaya, Realiti perniagaan dan keusahawanan serta Memula dan mengurus perniagaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai eksekutif (Operasi) Yayasan Pembangunan Usahawan, Tengku Khairi Tengku A Rahman kepada peserta kursus sehari itu.