Halaman

11 June 2013

BN TERENGGANU JANGAN LEMAH SEMANGAT, KATA BEKAS PENGERUSI MCA TERENGGANU

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 
 
Dato' Tok Teng Sai

Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Tok Teng Sai meminta supaya penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu, sama ada Umno, MCA dan Gerakan tidak menjadikan kemenangan tipis BN Terengganu sebagai suatu perkara yang melemahkan semangat mereka untuk terus berjuang.

Katanya, apa yang lebih penting, BN perlu menyusun kembali strategi dan langkah-langkah awal untuk pencapaian yang lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang.

“Kekalahan sebanyak 15 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 4 kerusi Parlimen adalah merupakan ‘wake up call’ kepada Umno dan BN keseluruhannya supaya bangkit segera memperbaiki keadaan,” katanya kepada Pengarang Teganukita hari ini.

Beberapa pembaharuan dan perubahanan perlu dibuat untuk menjadi anggota kerajaan dan wakil rakyat yang lebih mesra dan menyentuh hati nurani rakyat.

Bekas-bekas pemimpin, bekas-bekas pegawai-pegawai kerajaan dan orang-orang penting dan berpengaruh dalam sesuatu kawasan jangan ditinggalkan sewaktu pilihan raya, itulah pesanan beliau sebagai orang lama dan berpengalaman dalam sepak terajang politik Terengganu.

Beliau yakin dan percaya, bahawa BN Terengganu yang masih menjadi kerajaan mampu member perkhidmatan terbaik, manakala kawasan-kawasan yang tewas, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh memainkan peranan, di samping Umno Cawangan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Oleh itu katanya, JKKK perlu diperkemaskan semula serta dibuat transformasi supaya menjadi penghubung yang baik di antara kerajaan, agensi-agensi kerajaan dengan rakyat.

Beliau yang juga bekas Pengerusi MCA Terengganu berkata, bagi orang-orang Cina begitu juga khidmat JKKK dan MCA boleh diteruskan untuk membantu hubungan kerajaan BN Terengganu dengan rakyat.