Halaman

13 June 2013

Yang Dipertua Serikandi lawat mangsa dera

Oleh: Suriati Ali 

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Hajah Norliza Mahmud kesal dengan kes penderaan kanak-kanak berusia dua tahun dari Taman Permint Permai, Bukit Chendering, Kuala Terengganu yang dipercayai didera teman lelaki ibunya, Isnin lalu.



 Mangsa, Atiyea Jazeera Abdullah yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), akibat kecederaan pada kaki kanan disebabkan terkena objek panas kini dilaporkan stabil.

 Anak ketiga daripada empat beradik itu kelihatan ceria dan petah menjawab beberapa soalan ketika diaju isteri Menteri Besar bersama rombongan itu.

To’ Puan Hajah Norliza yang melawat mangsa petang ini, berkata manusia normal tidak sepatutnya melakukan perbuatan itu, apatah lagi ia melibatkan kanak-kanak yang memerlukan belaian manja keluarga. “Kita boleh menilai mana yang baik atau buruk, sebelum melakukan sesuatu tindakan.

 “Saya hairan mengapa ibu kanak-kanak itu lebih menyayangi teman lelaki berbanding anak sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang ini.

 Katanya, dia berharap mana-mana wanita yang bergelar ibu, terutama mereka yang ditinggalkan suami supaya mengutamakan anak-anak dengan emmberi sepenuh kasih-sayang dan perhatian yang sempurna. “Jangan mudah percaya mana-mana pihak atau lelaki yang ingin mengambil kesempatan terhadap diri dan anak kita, bagi mengelak kes seumpama ini berlaku,” katanya.

 Terdahulu, akhbar hari ini melaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai menjadi mangsa dera rakan lelaki ibunya di Bukit Chendering dekat sini, dua hari lepas

. Bertindak atas aduan orang awam menerusi Talian Nur, budak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan itu ditemui dalam keadaan sebelah kakinya berwarna kehitam-hitaman dan berbau busuk dipercayai akibat terkena objek panas lebih seminggu lalu

. Kanak-kanak itu memberitahu pegawai JKM dan anggota polis yang datang ke rumahnya bahawa kecederaan itu dilakukan seorang lelaki yang juga rakan ibunya.

 Dia juga mengadu cedera di beberapa bahagian anggota badan yang lain namun ibunya yang berusia 30-an tidak membawanya ke hospital sebaliknya hanya membalut luka di kaki itu dengan sehelai kain.