Halaman

12 June 2013

Larian Perdana PMINT 2013 tawar hadiah RM40,000

Oleh: Suriati Ali

 Larian Perdana Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang akan diadakan pada 23 Jun depan, di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000 kepada peserta.

 Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman berkata pihaknya mensasarkan 3,000 penyertaan di kalangan masyarakat Terengganu dengan mengenakan yuran yang sangat berpatutan.

 “Bagi peserta kategori sekolah rendah dan sekolah menengah hanya dikenakan yuran RM5 dan lain-lain kategori pula sebanyak RM10.

“Pembayaran yuran penyertaan mestilah dibuat sebelum atau pada 20 Jun secara tunai atau wang pos dan borang penyertaan boleh dicetak melalui www.pmint.gov.my,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, semua peserta dikehendaki memakai baju T rasmi dan tag yang disediakan pada hari larian. Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penyertaan dibatalkan.

 “Larian yang berkonsepkan `lari suka-suka’ dengan jarak tidak melebihi 10 kilometer (km) itu akan melalui beberapa lokasi menarik di sekitar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

 “Trek larian bermula di Taman Awam Batu Burok akan melalui Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Masjid Abidin, dan Jalan Engku Fatimah di mana peserta larian akan melalui bangunan PMINT,” katanya .

 Katanya, peserta kemudiannya meneruskan larian melalui Jalan Sultan Ismail mengelilingi Bulatan Batu Bersurat dan Jalan Sultan Mahmud sebelum menyusuri Jalan Pantai Batu Burok dan kemudiannya akan melintasi Jalan Sultan Zainal Abidin.

 “Kemucak larian atau garisan penamatnya akan berakhir di tempat di dataran Taman Awam Batu Burok iaitu lokasi sama ketika memulakan acara.

 “Pihak kami percaya pendekatan itu mampu menggalakkan rakyat Terengganu menyertai aktiviti kecergasan dan rekreasi di samping menyahut hasrat kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat cerdas, sihat, berwibawa dan aktif,” katanya.