Halaman

14 June 2013

Terengganu akan pertahan kejuaraan Sukma ke-16

Oleh; Esah Abdullah 

Reputasi terbaik setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) pada temasya yang lalu akan dipertahankan kontinjen Terengganu pada Sukma edisi ke-16 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Jun hingga 7 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB. Haji Rozi Mamat berkata, Terengganu akan disertai 438 atlet termasuk pegawai dan menyertai 17 daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan.

Katanya, walaupun rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dikekalkan namun atlet diminta bekerja keras untuk meraih pingat.

Katanya, cabaran itu pasti digalas dengan sebaik mungkin dan kini persediaan rapi sudah dilaksana kerajaan negeri bagi memastikan kesemua atlet serta pegawai sudah bersedia dalam pelbagai apsek.

“Satu perkara mudah untuk kita menjadi juara, namun untuk mengekalkan kejuaraan itu kita memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi kita sudah mencipta hatrik kemenangan.

 "Walaupun kecewa kerana beberapa acara pilihan tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun itu tidak akan mematahkan semangat kontinjen Terengganu dan menganggap ia adalah satu cabaran dalam meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu nanti,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pada Sukma di Pahang tahun lalu Terengganu muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut dengan memperolehi 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.

Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.