Halaman

10 June 2013

MTIB cungkil bakat pereka muda dalam industri kayu

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan melancarkan ‘designe roadmap’ dalam masa terdekat supaya aktiviti pembangunan reka bentuk dalam industri kayu dapat dilakukan secara terancang.

Ketua Pengarah MTIB, Dr Jalaluddin Harun berkata, usaha ini diambil bagi membantu membudayakan reka bentuk dalam industri kayu.

“Sehingga ini kita belum berjaya mengeluarkan jurureka ternama dalam reka bentuk perabot,” katanya di majlis Pelancaran dan Bengkel Pertandingan Reka Bentuk Perabut Mobili Peringkat Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak semalam.

Oleh itu katanya, MTIB menganjurkan pertandingan Mobili kali kedua tahun ini untuk mengcungkil bakat pereka muda dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Buat julung kalinya kita berjaya membawa lima pereka muda negara menyertai pameran i-Saloni Milan, Itali pada April lalu dan lebih membanggakan dua daripada peserta merupakan pensyarah muda dari UniSZA manakala tiga lagi dari UiTM Melaka, UTM dan Taylor’s College,” katanya.

Katanya, sejak pameran berkenaan diadakan pada 1960 inilah penyertaan pertama negara dan reka bentuk pereka muda negara dipromosikan di bawah jenama ‘Tanggam’.

Sehubungan itu katanya, pereka tempatan telah dirisik oleh pereka antarabangsa serta beberapa pengusaha yang bergiat di luar negara dan pemilik ‘design studios’ untuk bekerjasama dengan pereka muda negara.

“Berdasarkan penyertaan itu juga pihak penganjur turut bersetuju menjemput kesemua pereka kita untuk menyertai pameran berkenaan tahun depan,” katanya.

Menurutnya tahun ini MTIB sekali lagi menganurkan pertandingan berkenaan dan bercadang perkenalkan dua kategori iaitu peringkat pelajar dan pengusaha perabot.

“Kita akan terus menganjurkan aktiviti ini untuk tahun-tahun berikutnya bagi memastikan malaysia dilihat sebagai negara yang gigih mempertingkatkan kualiti reka bentuk perabot,” katanya.