Halaman

13 June 2013

Berganding bahu pastikan warisan hijau negara dikekalkan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri 2013 diharap menjadi pemangkin dan inspirasi kepada seluruh masyarakat yang cintakan kehijauan hutan untuk berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan warisan hijau negara ini dapat dikekal dan dinikmati secara berterusan, kata Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Terengganu (JPNT), Haji Azmi Nordin.

"Bertemakan ‘Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’ pemilihan kampung yang terkenal dengan keindahan pantai dan dipenuhi pokok Ketapang serta Rhu Pantai itu sememangnya amat bersesuaian dengan sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada setiap tahun.

“Saya berharap kita semua berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kepentingan hutan ini seiring dengan kemajuan yang dikecapi kini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Terengganu 2013 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau & Air, Dato’ Haji Razif Abdul Rahman di Kampung Teluk Ketapang, hari ini.

Haji Azmi berkata, pemilihan pokok Ketapang atau nama saintifiknya Terminalia Catappa untuk ditanam di pesisir pantai kampung ini amat sesuai kerana tumbuhan ini tahan lasak dan mampu tumbuh di pelbagai kawasan samada tanah berpasir, tanah pantai , tanah gambut atau tanah bermasalah.

“Sementara Rhu Pantai pula hanya dapat tumbuh dengan baik di kawasan pantai berpasir,” ujarnya.

Katanya, penanaman pokok-pokok ini amat penting kerana secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya pokok dan hutan kepada manusia.