Halaman

10 June 2013

Sukbom promosi TMT 2013

Oleh: Suriati Ali

Seramai 1,318 pegawai dan anggota Bomba di seluruh Malaysia berentap pada kejohanan Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2013 yang berlangsung di tujuh lokasi pertandingan di negeri ini.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari dan berakhir semalam itu sebanyak lapan acara sukan dipertandingkan iaitu sepak takraw, bola jarring, bola tampar, futsal, golf, lumba basikal, bina badan dan acara kebudayaan ‘Fire Band’.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Salleh Sharbini berkata dia berasa bertuah kerana Terengganu dipilih sebagai tuan rumah pada kejohanan kali ini sekaligus mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2013 kepada masyarakat di seluruh negara.

"Pada kejohanan kali ini sebanyak lapan acara dipertandingkan iaitu Sepak Takraw, Bola Tampar, Bola Jaring, Futsal, Golf dan tiga acara baru diperkenalkan pada kejohanan ini iaitu Lumba Basikal, Bina Badan dan Fire Band.

“Penganjuran kejohanan ini juga dapat menyuntik semangat berdaya saing di antara mereka sekaligus dapat menguji tahap kecergasan pegawai bomba .

“Malah ia juga menjadi platform buat anggota Bomba dari seluruh negeri untuk mengenali dengan lebih rapat dan bersaing secara sihat menerusi acara sukan yang dipertandingkan,” katanya.

 Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Rozi Mamat di Stadium Negeri malam kelmarin.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah; Pengarah Bomba Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah Bomba Terengganu, Md Salleh Sarbini.

 Sempena program itu, Kontinjen Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya berjaya membawa pulang piala pusingan Kejohanan Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2013 selepas merangkul gelaran juara keseluruhan apabila mengungguli tiga daripada lapan acara yang dipertandingkan.

 Kontinjen dari Putrajaya itu cemerlang dalam acara golf, bola jaring, sepak takraw terbuka dan berpasukan menewaskan pencabar terdekat kontinjen dari Selangor dan Kuala Lumpur ditempat kedua serta ketiga.

Manakala kontinjen Selangor muncul juara dalam acara kebudayaan menerusi ‘Fire Band’ dan bola tampar kategori pegawai menewaskan Kuala Lumpur yang memenangi acara sepak takraw kategori master serta bola tampar terbuka.

 Bagi acara futsal, kontinjen Pulau Pinang menguasai perlawanan yang berlangsung di Sport Planet, Gong Badak setelah menundukkan pasukan lain sekaligus muncul juara kategori pegawai bagi acara tersebut manakala kontinjen Sarawak unggul dalam kategori terbuka.