Halaman

09 June 2013

Pendapatan industri kayu negara mencecah RM20 bilion

Oleh; Esah Abdullah 

Industri kayu dinegara ini telah menunjukkan peningkatan dalam pendapatan eksport dari RM10.5 bilion (1992) kepada RM20.20 bilion tahun lalu (2012).

 Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr Jalaluddin Harun berkata, peratusan sumbangan daripada nilai eksport industri kayu mencecah 2.8 peratus daripada jumlah eksport negara tahun lepas.

“Industri perkayuan kini berada pada fasa transisi dengan memfokuskan eksport kepada produk nilai tambah seperti kayu kumai, tanggam dan perabot,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran dan Bengkel Pertandingan Reka Bentuk Perabot Mobili Peringkat Zon Timur di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahya Ibrahim dan Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Kejuruteraan UniSZA, Prof Ir Dr Mohd Rizon Juhari.

Katanya, jika dilihat secara purata sumbangan eksport produk nilai tambah untuk lima tahun kebelakangan ini adalah sebanyak 45 peratus berbanding dengan jumlah eksport perkayuan negara.

Menurutnya, usaha perlu berterusan untuk mencapai sasaran pada 2020 kepada komposisi eksport produk nilai tambah 60 peratus berbanding produk primer seperti yang disasarkan dalam Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP).

“Pada masa ini negara kita berada pada kedudukan kelapan pengeksport terbesar perabot dunia dan ketiga di Asia, di mana destinasi eksport perabot negara menjangkau lebih dari 160 buah negara,” katanya.

Katanya, eksport perabot Malaysia untuk lima tahun kebelakangan ini telah menunjukkan prestasi agak mendatar dengan anggaran purata perolehan sebanyak RM6.5 bilion setahun dan NATIP telah mensasarkam untuk mencapai pendapatan eksport sebanyak RM16 bilion pada 2020.

Tambahnya, salah satu cabaran industri perabot adalah keperluan untuk beralih kepada pengeluaran perabot reka bentuk sendiri (ODM) serta usaha membangunkan jenama sendiri (OBM).

Pada masa sekarang katanya, hampir 70 peratus eksport perabot adalah tergolong di bawah kategori pengeluaran perabot berdasarkan reka bentuk yang dibekalkan oleh pihak pengimport (OEM).

“Kajian menunjukkan keuntungan bagi pengeksport produk OEM pada kadar tujuh hingga 11 peratus manakala pulangan dari keluaran ODM boleh meningkat kepada 12 hingga 15 peratus dan produk OBM pula boleh meraih keuntungan mencecah hampir 30 hingga 40 peratus,” katanya.