Adik Nur Fatihah mencuba kerusi roda baru yang lebih canggih menggunakan motor elektrik yang disumbangkan oleh kerajaan negeri. |
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Pemberian sebuah kerusi roda elektrik daripada kerajaan negeri sudah cukup untuk merubah kehidupan
seorang kanak-kanak pengidap penyakit sendi lembik adik Nur Fatihah Abdul Karim, 12, dari Kampung Gong Kiat, Kuala Terengganu.
Adik Nur Fatihah yang ditemani bapanya Abdul Karim Abdullah, 40, menerima kerusi roda yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Wisma Darul Iman semalam.
“Kerajaan peruntukkan RM10 juta di bawah Tabung Penyakit Kronik serta membelanjakan RM2.5 juta setahun untuk pelbagai bantuan perubatan seperti lampin pakai buang, susu dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kerusi berkenaan.
Pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Payong itu merupakan anak sulung daripada empat beradik mengidap penyakit itu sejak dilahirkan bergantung sepenuhnya kepada ibunya Puan Mahani Mat Lela, 34, untuk mengurus diri termasuk mandi, pakai baju, suap makanan dan sebagainya.
Namun dia seorang murid yang pintar dan mendapat 4A 1B dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini serta bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris.
“Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang sangat perihatin terhadap anak sulungnya itu dan pemberian ini dapat meringan beban saya serta Nur Fatihah lebih selesa untuk bergerak,” kata Abdul Karim yang bekerja sebagai penjual ikan.
Katanya, bantuan bulan RM300 yang diterima dari jabatan Kebajikan Masyarakat juga banyak membantu meringankan beban keluarga kerana Nur Fatihah turut memakai lampin pakai buang sehingga sekarang.
Beliau berkata, biar pun anak sulungnya itu tidak dapat bengkokkan kedua tangan dan kakinya namun dia masih mampu menulis menggunakan hujung jari tangan serta menaip papan kekunci e-Book menggunakan jari kaki.