Halaman

18 June 2013

YDP MINTA AHLI DEWAN BANYAK SABAR

LAPORAN SIDANG DUN: 

Oleh Ruslan Abdul Rahman terus dari lokasi: 


Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Mohd Zubir Embong memulakan ucapan dengan meminta ahli ahli dewan supaya mematuhi peraturan peraturan tetap dewan.

Beliau menyeru supaya ahli ahli dewan mengutamakan kesabaran yang tinggi sewaktu berbincang dan bermesyuarat selaras dengan ajaran agama Islam.

Seterusnya beliau harap hubungan silaturrahim ditingkatkan di antara satu sama lain dan damaikanlah sebarang pertelingkahan yang wujud.

Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini bermula jam 9 30 pagi dengan bacaan doa oleh Yang Dipertua, diikuti soal jawab soalan lisan.

Soalan dimulakan oleh YB Wan Hakim Wan Mokhtar, Adun Air Putih, diikuti YB Pehimi Yusof Adun Jerteh.

Semua ahli ahli dewan hadir pada hari ketiga sidang penggal pertama Dewan Undangan Negeri ke 13.

Sent from Yahoo! Mail on Android

 

17 June 2013

Kerajaan negeri komited pertahankan industri batik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri sentiasa menyokong industri batik kerana ia adalah salah satu identiti tarikan pelancong ke negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, Terengganu merupakan antara negeri yang terkenal dalam penghasilan batik bermutu dan 15 orang daripada 102 ahli Persatuan Batik Malaysia merupakan anak Terengganu.

"Sebagai usaha meningkatkan industi batik di Terengganu, kerajaan negeri giat mengadakan program inkubator dalam melahirkan pelapis usahawan batik.

"Usaha ini adalah berterusan untuk mengekalkan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang banyak mengeluarkan batik di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-7 Persatuan Batik Malaysia di Kompleks Kraf Noor Arfa Batik, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga banyak mengadakan pameran dan program di luar negara dalam mengembangkan industri batik untuk menembusi pasaran global.

"Ini adalah komitmen kerajaan negeri dalam memastikan negeri Terengganu memperkasakan industri batik serta kraf lain,” ujarnya.

Katanya, pengusaha batik Terengganu khususnya diseru agar terus mempertahankan industri batik kerana ia adalah warisan turun temurun.

"Saya yakin pengusaha batik akan sedaya upaya membuat inovasi dalam penghasilan batik dan teknik agar ia sejajar dengan tuntutan semasa dan fesyen terkini,” ujarnya.

Katanya, Persatuan Batik Malaysia yang lebih tujuh tahun ditubuhkan diharap mampu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan pertemuan dan perbincangan dalam memartabatkan industri batik.

 

Perhebatkan aktiviti beridentiti negeri untuk tarik pelancong – Sultan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin memuji usaha kerajaan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan dan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 perlu diperhebatkan lagi dengan aktiviti yang beridentiti negeri untuk menarik kedatangan pelancong.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu mencari satu mekanisme supaya sektor pelancongan mampu membuka peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat.

 “Beta percaya dengan ‘Aku Janji Kerajaan’ bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan utama negeri yang akan menjadi kenyataan pada 2014 dan ini sudah tentu mampu menarik dan menggamit kehadiran pelancong ke negeri ini khususnya ke Tasik Kenyir,” .

Sultan Terengganu bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat berkenaan.

“Beta juga suka mengingatkan bahawa pembangunan Tasik Kenyir perlulah dibuat secara kerjasama dengan agensi swasta supaya tidak membebankan kerajaan dalam usaha membangunkan tasek itu,” titah Baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin juga mengucap tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh bagi menyediakan kemudahan asas kepada golongan berpendapatan rendah malah dasar kerajaan yang mensasarkan 10,000 buah rumah mampu milik (2009-2012) telah tercapai serta lima tahun ke hadapan dengan jumlah yang sama.

“Beta menyeru kerajaan menggunapakai kaedah yang boleh mempercepatkan pembinaan rumah-rumah ini dengan penglibatan pihak swasta atau syarikat perumahan di bawah kendalian kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang boleh dijadikan rakan kongsi bagi membina lebih banyak rumah mesra rakyat,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan Zainal Abidin sukacita kerana banyak kejayaan yang dicapai oleh kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di mana slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ benar-benar diterjemahkan ke dalam sistem pentadbiran negeri.

“Urusan pentadbiran yang bersifat mesra rakyat telah memberi keselesaan apabila mereka berurusan dengan agensi kerajaan, malah kurangnya karenah birokrasi menjadikan sesuatu perkara berkaitan pemasalahan cepat diselesaikan,” titah Baginda.

Sultan Terengganu juga gembira apabila kerajaan terus memberi penekanan kepada pembangunan fizikal secara keseluruhannya dan telah terbukti dengan pembangunan ‘Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di Tanjung dan Ladang di mana langkah tersebut amat bertepatan bagi pembangunan bandar ini di samping turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat di kawasan sekitar.
 

Bahang Sukma Ke-16 kian terasa

Oleh: Aida Abd Rahman

Bahang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-16 kian terasa apabila Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Terengganu Sukma Ke-17 Kuala Lumpur 2013, dijadualkan akan diadakan pada 19 Jun ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan menyempurnakan majlis itu bertempat di Dewan Utama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Jenagor, Hulu Terengganu, pada jam 8.15 malam.

Majlis turut dihadiri Pengerusi jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat.

Menteri Besar akan menyampaikan ucapan perasmian sejurus selesai ucapan Haji Rozi.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyerahan bendera kepada ketua kontinjen dan juga penyerahan komitmen pasukan sebelum berakhir kira-kira jam 11.30 malam.

Sementara itu, Terengganu sudah bersiap siaga untuk mempertahankan kejuaraan Sukma buat tahun kelima berturut-turut di Kuala Lumpur pada 26 Jun hingga 7 Julai depan.

Haji Rozi berkata, seramai 438 atlet termasuk pegawai dari Terengganu bakal bersaing dalam 17 daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya itu nanti.

Beliau berkata, walaupun  rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul juara sebelum ini tidak dipertandingkan, Terengganu tetap tekad untuk bersaing mengekalkan kejuaraan dan tidak mengaku kalah.

“Pada masa yang sama atlet diminta bekerja keras untuk meraih pingat, walaupun banyak acara sukan yang memberi kelebihan kepada kontinjen Terengganu untuk memperolehi pingat emas seperti lumba basikal dan kenu tidak dipertandingkan.

 “Sebalik tidak mempunyai banyak acara pilihan, atlet Terengganu akan berusaha gigih untuk mendapatkan seberapa banyak pingat emas bagi membolehkan negeri ini muncul juara Sukma untuk kali kelima berturut-turut,” katanya.

Buat masa ini atlet tempatan telah menjalani latihan dan membuat persiapan rapi agar kekal sebagai kuasa baru sukan negara, sekaligus muncul mendominasi Sukma Ke-16 nanti.


Umat Islam diminta berpegang kepada ajaran al-Quran – Sultan Terengganu

Oleh; Esah Abdullah 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru setiap umat Islam untuk bermuhasabah dan berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menangani isu-isu mencabar yang menyentuh tentang sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat setempat serta perlu ditangani dengan penuh bijaksana oleh semua pihak.

“Perkara ini jika tidak ditangani dengan teliti akan membawa akibat yang buruk kepada negeri ini,” titah Baginda di Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga Belas di Wisma Darul Iman hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Tengku Sri Temenggong Raja; Engku Kelana DiRaja; Yang Dipertua DUN, Haji Mohd Zubir Embong; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Kenamaan lain yang hadir ialah Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara serta pegawai kerajaan.

Titah Baginda, dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, perpaduan tetap menjadi acuan utuh bagi meneruskan legasi pembangunan dan berharap bibit perpaduan terus tersemai dalam kalangan rakyat bagi menjadikan negeri ini maju menjelang 2020.

“Beta berharap semua lapisan rakyat akan terus mengekalkan semangat hormat menghormati antara satu sama lain yang merupakan tunjang kepada keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

“Beta bersyukur kerana Pilihan Raya Umum ke-13 telah berjalan dengan aman dan berharap kerajaan yang dipilih memastikan dasar-dasar negeri yang dirangka sebelum ini diteruskan pelaksanaannya,” titah Sultan Mizan.

Baginda juga berpuas hati dengan hasil pelaksanaan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan di mana ekonomi telah berkembang pada tahap positif.

“Pencapaian yang memberangsangkan dapat dilihat dalam peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM14,738 juta (2008) kepada RM16,200 juta (2012) iaitu pertumbuhan sebanyak 9.92 peratus.

“Angka-angka ini merupakan penterjemahan daripada aktiviti ekonomi yang rancak di negeri ini dan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang yang ketara kepada peningkatan KDNK tahun lalu iaitu RM9,636 juta,” titah Baginda.

Titah Sultan Mizan, kerajaan yang berjaya adalah kerajaan yang mampu menguruskan sumber kewangan dengan penuh cekap dan berkesan justeru itu kerajaan perlu mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan termasuk dalam aspek pelaksanaan projek dan program.

“Projek-projek yang kurang efektif dan tidak memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh perlulah dielakkan dan kerajaan perlu mengawal perbelanjaan dengan mengekalkan konsep berhemah,” titah Baginda.

 

Sultan Mizan berangkat ke Istiadat Pembukaan DUN Terengganu

Oleh; Esah Abdullah



Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas di Wisma Darul Iman pagi ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.



Keberangkatan tiba Sultan dan Sultanah Terengganu diiringi Tengku Sri Temenggong Raja dan Engku Kelana DiRaja serta isteri To’ Puan Sharifah Fatimah Sahalat disambut oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong.

Turut menyambut keberangkatan baginda berdua ialah Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah serta Ketua Polis Terengganu Dato’ Haji Jamshah Mustapa.


 
Kenamaan lain yang hadir ialah  Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan  Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara serta pegawai kerajaan.

Kawalan Kehormat terdiri daripada BN 9, Pasukan Gerakan Am, Kubang Badak Kuala Terengganu dan gabungan Brass Band 18 RAMD dan Rejimen 512 (AW) Kuala Terengganu telah mempersembahkan ‘Hormat DiRaja’ serta lagu ‘Selamat Sultan dipersembahkan dan Bendera DiRaja dikibar.

Sultan Mizan Zainal Abidin kemudiannya berkenaan berangkat memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan diiringi Ketua Barisan Kehormat dan Ketua Polis Negeri Dato’ Haji jamshah Mustapa.

 





Sukaneka rakyat pemuda meriah


Acara mencari gula-gula dalam tepung menarik perhatian orang ramai 


Oleh: Mohammad Ishak 

Pelbagai acara menarik yang diadakan sempena sukaneka rakyat anjuran Kelab Belia Pemuda Pemimpin Inovasi Nasional yang gerlangsung di Kampung Alur Keladi dalam DUN Hulu Besut memeriahkan penyertaan penduduk setempat.

Program sehari bertujuan merapatkan hubungan komuniti selepas menghadapi PRU13 mengembalikan semula hubungan persaudaraan antara penduduk kampung berkenaan.

Antara acara menarik termasuklah pakaian beragam, tarik tali, mencari gula-gula dalam tepung, berlari dalam kain sarung, tiup belon, berebut kerus.menganyam ketupat dan mengukur kelapa.

Usaha yang dilakukan oleh persatuan belia berkenaan mendapat pujian ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad kerana ia berjaya mengumpul masyarakat pelbagai peringkat usia.

Katanya, menerusi acara berkenaan peserta dapat berinteraksi antara satu sama lain dan mampu menjalin hubungan persaudaraan dan kekeluargaan.

Nawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani berharap, lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) tanpil mengadakan aktiviti berbentuk kemasyarakatan bagi memupuk semangat perpaduan dikalangan komuniti.

MB saksikan acara motorcross di Kenyir

Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Kenyir Motorcross Challenge 2013 di Tasik Kenyir.

Oleh: Kamarudin Mat Akib 
Gambar oleh Zulkipli Putra

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menyaksikan acara Kenyir Motorcross Challenge 2013 yang berlangsung di Tasik Kenyir petang semalam.

Sebaik saja selesai Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di bangunan DUN di Wisma Darul Iman, beliau terus ke majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing Boat On The Road anjuran Media Prima dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir.


Selepas itu, Menteri Besar ke lokasi pertandingan Kenyir Motorcross Challenge 2013 yang diadakan berhampiran Tasik Kenyir, bagi menyaksikan acara terakhir kejohanan tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankasa Pelancongan, Kebudayaan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee; Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, Haji Rozi Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.


Mohd Zakaria Alang mengungguli acara Cup Cross 4 Lejang dan meraih wang tunai RM1,000 manakala tempat kedua dimenangi Mohd Hakim Kamaruddin (RM800) dan ketiga Takiyuddin Jamaluddin (RM600).

Bagi acara Cup Cross 2 Lejang pula, johan ialah Mohd Zulkifli Abd Mutalib, naib johan Mohd Salam Idris dan ketiga Mohd Asyraf Mohd Syukur.

Manakala acara Junior dimenangi Mohd Daud Kasim, kedua Mustakim Safri dan ketia Mohd Zubir Hassan Kassim.

 

Rawatan percuma tiga hari di Klinik Nur Sejahtera LPPKN sempena Hari Bapa

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagai pengiktirafan kepada semua bapa, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pemeriksaan percuma sepanjang tiga hari bermula hari ini.

Rawatan pemeriksaan sempena sambutan Hari Bapa termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian glukos dan kolestrol yang disediakan di semua Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat negeri, Encik Mahdi Musa, berkata umum mengetahui sambutan hari bapa kebiasannya disambut di seluruh dunia pada bulan Jun setiap tahun.

 “Pada tahun ini, Sambutan hari Bapa yang bertemakan Terima Kasih Ayahku turut disokongan kerajaan negeri dengan kerjasama LPPKN.

“Memandangkan bapa mempunyai tanggungjawab amat tinggi kepada keluarga, amatlah wajar aspek kesihatan bapa perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita, semalam.

Encik Mahdi berkata, sambutan hari bapa bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan bapa supaya menjadi contoh kepada ahli keluarga dalam aspek penjagaan kesihatan.

Selain itu, LPPKN turut menyediakan cenderahati kepada golongan itu sebagai menghargai peranan mengemudi keluarga, mengasuh dan melindungi keluarga selama ini.

Sebanyak 200 cenderahati diedarkan di kawasan terpilih dan tumpuan umum termasuk di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, sempena Pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Majlis Angkat Sumpah Adun Terengganu, semalam.

 “Mudah-mudahan sambutan hari bapa ini memberi semanagat kepada bapa untuk terus memainkan peranan penting menjadi pengemudi keluarga serta mengamalkan cara hidup yang sihat,” katanya.


16 June 2013

MB sampai hadiah pemenang pertandingan Boat On The Road

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Dato' Mohd Jidin Shafiee dan Datuk Ahmad A. Talib bersama pemenang BOTR 2013 selepas majlis penyampaian hadiah di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing Boat On The Road anjuran Media Prima dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Tasik Kenyir, yang berakhir petang ini.

Bagi kategori Bekumpulan Casting, Kumpulan Alucast 4 muncul johan dan menggondol hadiah wang tunai RM15,000 dan pelbagai hadiah sampingan yang disediakan pihak penaja.


Tempat kedua telah dimenangi Kumpulan Alucast 4 yang meraih wang tunai RM10,000 dan hadiah sampingan. Manakala tempat ketiga kategori berkenaan dimenangi Kumpulan Pacat 4 yang meraih wang tunai RM5,000 serta hadiah-hadiah iringan.

Bagi ketagori individu, Chua Mon Toi yang berjaya menaikkan toman seberat 5.7 kilogram dan baung 1.7 kilogram telah dinobatkan sebagai juara, sekaligus membawa pulang wang tunai RM8,000 serta pelbagai hadiah iringan.

Tempat kedua kategori itu dimenangi Hamzah Kassim yang meraih wang tunai RM5,000 manakala tempat ketiga Azaidi Ali (RM3,000).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankasa Pelancongan, Kebudayaan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.