Halaman

07 August 2013

Sultan Mizan berangkat ke Majlis Pengurniaan Insentif

Oleh: Nurul Suraya Abd Sukor 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Insentif kepada atlet FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Dewan Intan, Permai Hotel, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, serta Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, turut berangkat pada majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat serta barisan exco kerajaan negeri.

Majlis pengurniaan dan majlis berbuka puasa tersebut diserikan dengan pengurniaan insentif RM5000 kepada lima atlet yang bertanding iaitu Azizatul Asma Abdullah, Muhammad Alif Sabidi, Mohamad Adhwa Embong, Mohd Ziyad Hamzah dan YM Tengku Puteri Helen Nurina Tengku Shaharin Abu Bakar.

 Atlet negara berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila mereka mengungguli tempat keempat dalam pertandingan tersebut yang diadakan di Perancis, baru-baru ini.

 

Syarikat Jepun bakal melabur di Setiu

Terengganu bakal menerima pelaburan bernilai kira-kira RM300 juta daripada sebuah anak syarikat Toyota dari Jepun bagi membina kilang pengeluaran kaca dan cermin serta produk berasaskan pasir silika di Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata syarikat itu sudah pun menyatakan persetujuan membina kilang silika di Setiu itu, yang bakal menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

“Satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai antara kerajaan negeri dan wakil syarikat berkenaan baru-baru ini, dan pembinaannya dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Ia adalah antara kesinambungan pembangunan di Terengganu selepas rakyat memberikan semula mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengagihan bantuan Aidilfitri kepada warga miskin di Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) daripada Tabung Amanah Ketengah Holdings, di Bandar Seri Bandi, malam kelmarin

 Menteri Besar berkata, Setiu mempunyai bahan mentah silika bermutu tinggi sama seperti ada di Australia dan ia mampu menarik perhatian pelabur dari Jepun membina kilang silika membuat kaca di situ.

Beliau berkata, sebuah lagi syarikat juga dari Jepun akan mengadakan usaha sama dengan anak syarikat Toyota berkenaan untuk membangunkan kilang silika membuat kaca itu.

 “Syarikat ini mempunyai pengalaman 80 tahun dalam bidang membuat kaca dan mempunyai lombong di Australia. Dengan pengalaman yang mereka ada ia meyakinkan kerajaan negeri bahawa pelaburan itu akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerja membina kilang silika membuat kaca itu dijangka bermula tahun depan di sebuah kawasan perindustrian di Setiu.

Sementara itu, beliau turut memuji syarikat induk KETENGAH, Ketengah Holding Sdn Bhd yang mampu menjana keuntungan tinggi dalam bidang perladangan meskipun harga sawit menurun sedikit tahun ini.

 

Bantuan pelajaran Maidam untuk asnaf fakir mualaf sahaja

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengubah dasar bantuan pelajaran dari asnaf fisabilillah kepada asnaf fakir mualaf sahaja berdasarkan konsep keutamaan (al-aulawiyyat).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata bantuan pelajaran di bawah asnaf fisabilillah tidak lagi dikeluarkan, sebaliknya asnaf fisabilillah ini akan diberikan tumpuan kepada yang lain.

 “Biasiswa, dermasiswa dan bantuan Maidam terbahagi kepada dua kategori iaitu pelajar tajaan Maidam dan pelajar persendirian serta kedua-duanya di bayar di bawah asnaf fisabilillah.

“Hasil penelitian yang dibuat mendapati dari 95 orang pelajar tajaan Maidam yang mengikuti tiga program, iaitu program Memperkasakan Ulamak, Program Pakar Sakit Puan dan Program Mahasiswa Ansar, hanya 55 orang sahaja yang termasuk dalam kategori anak-anak asnaf serta bantuan pengajian akan diteruskan dan dibayar di bawah asnaf fakir dan miskin,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Sementara itu, Dato’ Mohd Rozali berkata, bakinya seramai 40 orang tidak termasuk dalam kategori anak-anak asnaf fakir miskin serta mereka akan dipindahkan kepada Yayasan Terengganu.

Beliau berkata, bagi memastikan pelajar berkenaan meneruskan pengajian, Maidam bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta di bawah asnaf fisabilillah atas nama sumbangan Tabung Pendidikan Negeri kepada Yayasan Terengganu (YT).

 “Dengan peruntukan yang disalurkan kepada YT itu, maka terpulanglah kepada YT menimbangkan kepada mereka untuk menyediakan bantuan pendidikan itu sebagai biasiswa atau pinjaman,” katanya.

Dato’ Mohd Rozali berkata, bagi pelajar persendirian pula, jika mereka termasuk dalam asnaf fakir miskin, bantuan pengajian akan diteruskan berdasarkan kadar, bidang dan tempat pengajian yang telah ditentukan.

Katanya, bantuan tiket balik juga hanya disediakan kepada pelajar persendirian yang tamat pengajian dengan membawa bersama ijazah sementara sebagai bukti.


Rumah terbuka MB, raya pertama

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu bagi meraikan rakyat pada hari raya pertama mulai jam 10.30 pagi hingga 3 petang.

Orang ramai dan perantau boleh berkunjung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Menteri Besar dan keluarga serta saf kepimpinan kerajaan negeri yang hadir pada majlis berkenaan.

Pelbagai juadah disediakan, termasuk nasi dagang, ketupat, lemang, sate, nasi himpit dan sebagainya akan dihidangkan untuk tetamu.

Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud akan mengiringi Sultan dan Sultanah Terengganu dari Istana Nur Nadhirah ke Masjid Al Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu untuk Solat Sunat dan menziarah Makam Diraja.

 

Bomba minta jaga keselamatan

0leh:Suriati Ali 

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Terengganu meminta orang ramai memastikan semua sambungan peralatan yang tidak digunakan ditanggalkan daripada soket sebelum meninggalkan kediaman untuk menyambut Hari Raya Aidifitri.

 Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran jabatan itu , Wan Ahmad Fadhillah Wan Abdul Rahman, berkata peralatan elektrik seperti televisyen, seterika, periuk nasi dan sebagainya tidak wajar dibiarkan pada soket kerana dibimbangi pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

 “Pastikan juga tiada barangan mudah terbakar diletakkan berhampiran atau bersentuhan dengan peti sejuk yang masih berfungsi dan injap gas memasak ditanggalkan daripada tong gas,” katanya.


Katanya, langkah pencegahan dan penjagaan itu cukup penting bagi mengelak kebakaran berlaku sepanjang tempoh pulang berhari raya.

 “Pemilik rumah juga disarankan meninggalkan nombor telefon kepada jiran yang tidak pulang bercuti supaya mudah dihubungi sekiranya berlaku kecemasan ke atas rumah mereka.

 “JBP turut menasihati pemilik kenderaan persendirian yang mahu melakukan perjalanan jauh supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik terlebih dahulu,” katanya.

 JBP sentiasa bersedia membantu orang ramai yang berada dalam kecemasan, mereka boleh hubungi talian 999 atau 09-622 444 untuk mendapatkan bantuan segera

 

“ Saya ada dua lagi anak lelaki yang masih kecil dan memang berhajat nak beli kasut, baju melayu serta songkok untuk mereka” Terima kasih MB


 Seramai 1,573 penduduk miskin sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Kijal menerima Dana Hari Raya berupa wang tunai RM300 bagi mengurangkan beban ketika menghadapi Aidilfitri yang dijangka esok.       Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said baru-baru ini.
  Bagi seorang warga emas, Mohamad Ibrahim, 63, sumbangan itu sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan kerana beliau ingin membeli barangan keperluan Aidilfitri untuk seorang anaknya, yang juga OKU.  Pakcik berterima kasih sangat dengan rezeki ini, dan terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan negeri Terengganu kerana sudi bagi bantuan kepada orang susah macam pakcik ni.
  " Selain itu, pakcik ingat nak belanja duit ini untuk beli barang-barang dapur juga," kata Mohamad, yang bekerja sebagai pencuci tandas bagi menampung perbelanjaan bulanan.
  Sumbangan itu turut menggembirakan hati seorang ibu, Cik Mek Mamat, 59, kerana boleh digunakan bagi membeli pakaian dan kuih raya untuk 10 anaknya.
  "Mak cik baru pindah ke Kijal ini, dan ini adalah bantuan Dana Raya pertama yang mak cik terima daripada kerajaan negeri Terengganu.
  "Alhamdulillah, boleh mak cik beli macam-macam untuk anak-anak kerana mak cik ni dah tua, anaklah yang perlu diberi perhatian untuk Aidilfitri ini," kata Cik Mek yang tinggal di Lubuk Lesung.
  Seorang lagi penerima, Norijan Husin, 44, pula berkata sumbangan Dana Raya pada hari-hari terakhir ketika umat Islam menyambut Ramadan itu memberi sinar dalam persiapan keluarganya menyambut ketibaan Syawal.
 "Saya ada dua lagi anak lelaki yang masih kecil dan memang berhajat nak beli kasut, baju melayu serta songkok untuk mereka," katanya Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad dalam ucapannya berharap Dana Raya dapat meringankan beban kewangan penerima dan dimanfaat untuk kegembiraan sekeluarga. Roslan AR

Fama sasar RM800,000 jualan di pasar tani pra Syawal

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mensasarkan kira-kira RM800 ribu hasil jualan seluruh pasar tani di negeri ini sempena Pasar Tani Khas Pra Syawal dalam tempoh lima hari menjelang hari raya Aidilfitri.

 Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Perusahaan Komoditi negeri, YB Nawi Mohamad berkata, sebanyak enam lokasi pasar tani terlibat dengan pasar tani khas iaitu di Padang Hilian, Kerteh, Chukai, Jertih, Kuala Besut dan Kuala Berang.

Katanya, melalui pasar tani khas itu sebanyak 13 barangan yang menjadi keperluan utama pengguna termasuk ayam, daging, ikan dan sayuran dijual dengan harga potongan istimewa antara lima hingga 10 peratus.

``Sebagai contoh daging dijual dengan harga RM23 sekilogram berbanding harga biasa RM24 sekilogram, begitu juga dengan ayam setiap seekor dikurangkan 0.70 sen,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Pelancaran Pasar Tani Khas Pra Syawal peringkat negeri di Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Turut hadir Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Encik Ab Razak Ab Majid dan Pengarah Fama negeri, Encik Hassan Jusoh.

Katanya, kerajaan akan memastikan semua bekalan terutama keperlusan utama mencukupi sehingga menjelang perayaan.

Malah katanya, beberapa agensi seperti Fama, Jabatan Pertanian dan Perikanan akan sentiasa membuat pemantuan sepanjang jualan pasar tani khas itu bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.

Beliau berkata, selain menjual pelbagai barangan keperluan harian, pasar tani khas itu turut menjual pelbagai barangan keperluan hari raya seperti biskut raya. untuk memudakan pengguna membeli semua keperluan hari raya di pasar tani.

Sehingga kini seramai 989 usahawan terlibat di 19 buah pasar tani di seluruh negeri dengan sasaran jualan RM26.5 juta pada tahun ini.

Katanya, sejak Januari hingga Julai lalu hasil jualan yang dicatat ialah RM16.64 juta dan Pasar Tani Padang Hiliran mencatatkan jualan tertinggi iaitu RM5.1 juta dalam tempoh berkenaan,
 

06 August 2013

Pandu berhati-hati, selamat tiba di destinasi : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap semua petugas media yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing memandu dengan berhati-hati dan tiba di destinasi yang dirancang dengan selamat.



 “Saya dan juga barisan kepimpinan negeri merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas media di seluruh Terengganu dan berharap supaya memandu berhati-hati pulang berhari raya di kampung, moga selamat sampai ke destinasi,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan petugas media Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad juga berharap semua petugas media dapat memanfaatkan cuti perayaan dengan sebaik mungkin dan berhari raya dengan besederhana serta mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin.

Beliau turut mengambil kesempatan memohon kemaafan jika ada melakukan kesilapan kepada semua petugas media selama ini dan berharap hari raya kali ini lebih bermakna kepada semua umat Islam.



Rumah terbuka Aidilfitri pemimpin Besut



Oleh: Mohammad Ishak

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh mendahului senarai majlis sambutan Aidilfitri dikalangan pemimpin daerah Besut apabila memilih hari raya kedua dijadikan program rumah terbukanya.

Idris yang juga Ahli Parlimen Besut akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB),Gong Kemuntong bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, pada kebiasaanya sambutan Aidilfitri diadakan di kediaman beliau di Kampung Tok Has, dekat Jertih, tetapi bagi memberi keselesaan kepada orang ramai beliau memilih dewan berkenaan untuk majlis terbabit.

Selain Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut, turut mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri tahun ini ialah semua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Besut.

Berikutan itu  semua tiga wakil rakyat termasuk Ahli Exco Kerajaan Negeri, Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut, ADUN Jertih, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.yang diadakan serentak pada hari raya ketiga.

Jurucakap Umno Bahagian Besut berkata, Nawi akan mengadakan rumah terbuka di Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut di Kampung Pasir Akar, Muhamad Pehimi (di Pejabat Penyelaras DUN Jertih), Mohd Mahdi di kediaman beliau di Kampung Limbongan dan Tengku Zaihan di Dewan Sivik Kampung Gertak Seratus,Kuala Besut.

Orang ramai yang ingin menghadiri majlis sambutan Aidilfitri ADUN terbabit dijemput hadir antara jam 10 pagi hingga 3 petang.

Tiada penyelewengan pada PRU-13

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pihak pembangkang gagal membuktikan berlaku penyelewengan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), termasuk isu pengundi Bangladesh dan ‘black-out’ apabila semua petisyen yang mereka failkan ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Sebanyak 23 petisyen difailkan Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang bagi mencabar keputusan PRU-13 yang diadakan Mei lalu yang melibatkan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen.

Bagaimanapun, sehingga ini semua petisyen yang difailkan atas bermacam-macam dakwaan telah ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Sewaktu mengulas perkara itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, berkata walaupun pembangkang membuat pelbagai dakwaan kononnya berlaku penyelewengan pada PRU13, mereka gagal menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

“Ini membuktikan dakwaan pembangkang kononnya berlaku penyelewengan pada PRU-13 adalah tidak benar,” kata beliau di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, melahirkan rasa hairan bagaimana orang ramai, termasuk golongan terpelajar dan profesional boleh mempercayai pelbagai isu yang dibangkitkan pembangkang pada proses PRU-13 yang lalu.

Katanya, isu 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh membuang undi pada PRU-13 langsung tidak masuk akal kerana ia memerlukan penyediaan logistik yang rapi untuk membawa mereka masuk ke negara ini.

Beliau berkata, jika pembangkang mendakwa mereka diimport ke negara ini, beratus-ratus pesawat diperlukan untuk membawa mereka ke Malaysia dan 1,000 bas untuk mengangkut mereka ke pusat pengundian.

“Di mana pesawat berkenaan mendarat dan dari mana datangnya bas yang banyak untuk membawa pengundi Bangladesh itu?,” soal beliau.

Katanya, penduduk negeri ini perlu rasional dalam memastikan dakwaan pembangkang kerana sebahagian besar dakwaan yang dibuat langsung tidak masuk akal.