Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Terengganu meminta orang ramai memastikan semua sambungan peralatan yang tidak digunakan ditanggalkan daripada soket sebelum meninggalkan kediaman untuk menyambut Hari Raya Aidifitri.
Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran jabatan itu , Wan Ahmad Fadhillah Wan Abdul Rahman, berkata peralatan elektrik seperti televisyen, seterika, periuk nasi dan sebagainya tidak wajar dibiarkan pada soket kerana dibimbangi pelbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Pastikan juga tiada barangan mudah terbakar diletakkan berhampiran atau bersentuhan dengan peti sejuk yang masih berfungsi dan injap gas memasak ditanggalkan daripada tong gas,” katanya.
Katanya, langkah pencegahan dan penjagaan itu cukup penting bagi mengelak kebakaran berlaku sepanjang tempoh pulang berhari raya.
“Pemilik rumah juga disarankan meninggalkan nombor telefon kepada jiran yang tidak pulang bercuti supaya mudah dihubungi sekiranya berlaku kecemasan ke atas rumah mereka.
“JBP turut menasihati pemilik kenderaan persendirian yang mahu melakukan perjalanan jauh supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik terlebih dahulu,” katanya.
JBP sentiasa bersedia membantu orang ramai yang berada dalam kecemasan, mereka boleh hubungi talian 999 atau 09-622 444 untuk mendapatkan bantuan segera