Halaman

04 August 2013

Kampus Antarabangsa UniSZA di Kuala Lumpur bakal beroperasi 1 September

Oleh: Noraini Jusoh dan Nurul Suraya Abd Sukur (pelatih)
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali (pelatih)

Kampus Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Lumpur akan beroperasi pada 1 September ini di Bangunan Takaful, Jalan Kampus Attap.

Prof Dr. Yahaya Ibrahim
Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr. Yahaya Ibrahim berkata, kampus berkenaan bakal menawarkan program peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Phd dengan menawarkan bidang Pengurusan, Undang-Undang, Teknologi Maklumat, Bahasa dan Komunikasi.

"Penubuhan Kampus Antarabangsa ini bermatlamat untuk mengembangkan sayap UniSZA ke peringkat antarabangsa.

"Ia terbuka kepada pelajar luar negara yang berminat menyambung pengajian di UniSZA dengan kemudahan kampus di Kuala Lumpur berbanding kampus utama di Terengganu,” ujarnya pada sidang media Sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Hotel Tabung Haji, baru-baru ini.

Katanya, kampus ini juga menyediakan Program Eksekutif kepada pelajar tempatan yang dibuat selepas waktu bekerja, sekali gus memudahkan kakitangan kerajaan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Jelas beliau, kampus tersebut akan beroperasi dengan pengambilan pelajar sulung seramai 500 orang pelajar yang terdiri daripada 200 orang pelajar dari negara China dan selebihnya dari negara lain termasuk Indonesia dan Timur Tengah (termasuk Afrika).

Tambah beliau, selain pensyarah daripada kampus UniSZA di Terengganu, pensyarah terpilih daripada Universiti awam dan swasta sekitar Kuala Lumpur akan dilantik menjadi tenaga pengajar di kampus berkenaan.