Halaman

08 August 2013

Keunikan Ramadan dan Syawal di Kampung Bukit Wan

Oleh: Noraini Jusoh

Ramadan dan Syawal sememangnya bulan yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam di negara ini termasuk penduduk di sebuah perkampungan Melayu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu.

Kampung Bukit Wan yang pernah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan 2012 memang tidak asing lagi bagi rakyat Terengganu, `dek’ kehijauan landskap yang sentiasa terjaga dan keharmonian penduduknya yang saling hidup bermuafakat.

Sehubungan itu, Kampung berkenaan menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak bagi menyempurnakan majlis ADC, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK), Bukit Wan, Chek Harun Ismail berkata, kedatangan Ramadan pada kali ini memberi seribu makna kepada penduduk Kampung Bukit Wan yang mempunyai kira-kira 500 penduduk.

"Rutin harian penduduk di sini sepanjang bulan puasa lebih kurang sama dengan kampung lain. Mereka kebiasaannya keluar bekerja pada siang hari dan malamnya mengambil kesempatan di bulan mulia ini dengan mempertingkatkan amal ibadah seperti sembahyang terawih dan bertadarus secara berjemaah di masjid.

"Selain itu, majlis berbuka puasa secara berjemaah juga sudah menjadi satu kelaziman bagi penduduk Kampung Bukit Wan di mana satu tarikh dipilih pada setiap Ramadan untuk diadakan majlis berkenaan.
Untuk tahun ini, kami bersepakat mengadakannya pada 2 Ogos bersamaan 24 Ramadan 1434H bertempat di Masjid kampung Bukit Wan,” ujarnya kepada Teganukita.

Jelas beliau, jika kampung lain memasak hidangan untuk berbuka puasa di masjid, apa yang uniknya di sini ia di masak sendiri oleh setiap keluarga untuk di bawa ke masjid.

"Pada sebelah pagi diadakan majlis gotong royong memotong daging dimana seekor lembu dan seeekor kerbau disembelih untuk dijadikan lauk. Daging-daging tersebut diagihkan mengikut tempahan yang telah dibuat oleh penduduk kampung untuk dimasak di rumah masing-masing. Menjelang waktu Magrib, lauk-pauk yang dimasak dihantar ke masjid untuk dijadikan hidangan berbuka puasa,” ujarnya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri di kampung berkenaan pula, Chek Harun berkata, Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bukit Wan disambut secara sederhana tetapi cukup meriah.

"Beberapa hari sebelum raya penduduk kampung telah sibuk membuat persiapan termasuklah membersih kawasan halaman rumah, memasang pelita, membersih jalan-jalan utama dan sebagainya.

"Kaum wanita pula sibuk membuat kuih-muih termasuk kuih tradisional seperti ketupat, lemang, tapai dan juga kuih moden. Dalam pada itu, anak-anak kampung yang sekian lama merantau, pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama ibu bapa dan keluarga tercinta,” ujarnya.

Katanya, ada yang mengambil kesempatan untuk membayar zakat fitrah pada malam raya, malah turut disusuli dengan kesyahduan takbir yang berkumandang di masjid sehingga ke tengah malam.

"Pada pagi 1 Syawal, masjid mula dipenuhi orang ramai untuk sembahyang sunat hari raya.
Setelah selesai khutbah raya, semua penduduk kampung akan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.Keadaan ini telah menjadi satu tradisi di Kampung Bukit Wan,” ujarnya.

Tambah beliau, setelah semuanya selesai, penduduk kampung terus ke tanah perkuburan untuk menziarahi ahli keluarga yang telah meninggal. Disana di adakan majlis tahlil dan bacaan doa. Selepas itu barulah penduduk kampung mula menziarahi sanak saudara dan kunjung mengunjung antara satu sama lain.