Halaman

09 August 2013

Maidam hanya taja pelajar persendirian di kalangan fakir miskin

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hanya akan memperuntukkan bantuan pelajaran kepada pelajar persendirian dari kalangan keluarga fakir miskin sahaja mulai sesi pengajian 2013/2014 nanti.

Organisasi itu tidak akan menaja pelajar dalam mana-mana bidang pengajian mulai sesi pengajian September ini kerana bantuan pelajaran tidak lagi diberikan di bawah asnaf fisabilillah.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata di peringkat negeri, Maidam akan membantu pelajar yang ingin memasuki mana-mana pusat latihan dengan syarat mereka atau keluarga di kalangan fakir miskin.

 “Sebagai contoh, UiTM Cawangan Dungun pelajar yang terdiri dari keluarga sinf fakir miskin yang menyertai program mengubah Degniti Anak Bangsa diberikan bantuan yuran pengajian yang kesemuanya melebihi RM0.5 juta setahun.

 “Program ini sebagai program Pra-Diploma bagi membolehkan mereka menyambung pelajaran di peringkat Diploma di mana-mana UiTM,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Mohd Rozali berkata, perubahan dasar itu bagi memberi keadilan kepada semua pelajar berikutan sebelum ini pelajar pintar mendapat biasiswa atau pinjaman dan mereka perlu membayar balik pinjaman mereka, manakala pelajar yang agak kurang cemerlang mereka dibiayai dengan wang zakat (secara percuma) walaupun bukan dari asnaf.

Katanya, Maidam juga akan memberikan tumpuan kepada usaha memperkasakan institusi dan pendidikan pondok dalam negeri dengan memberikan bantuan kepda pelajar menerusi asnaf fakir miskin, manakala guru dan infrastruktur pondok itu sendiri dari asnaf fisabillah.

 Setakat ini, beliau berkata institusi pondok dilihat tidak diberi perhatian dan Maidam bertanggungjawab bagi melaksanakannya selaras dengan fungsinya.