Malayan Banking Bhd (Maybank) menawarkan penginapan percuma kepada waris pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) apabila terus menyewa Asrama Bayu milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi tempoh setahun lagi.
Pengurus Maybank Zon Pantai Timur, Encik Sidek Ismail berkata, tahun lalu, pihaknya telah menyewa sebuah bilik di asrama tersebut bagi memberi kemudahan kepada ahli keluarga pesakit yang ingin menunggu waris masing-masing di HSNZ.
Menurutnya, pemilihan untuk menyewa bilik itu dibuat atas kesedaran untuk meringankan bebanan dan kesulitan ahli keluarga menunggu waris di hospital terutama bagi tempoh yang lama dan juga tinggal jauh.
“Pada tahun ini kita menambah dua lagi bilik Asrama Bayu menjadi tiga bilik kesemuanya bagi memberi kemudahan kepada lebih ramai waris yang ingin menggunakan kemudahan yang ditawarkan.
“Usaha ini diambil bagi meringankan bebanan kepada mereka yang tinggal jauh supaya tidak perlu menyewa hotel. Insya-ALLAH, (pembiayaan) akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebab usaha dilakukan ini sesuai untuk membantu golongan miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sewaktu mengadakan kunjungan ke Wad Ortopedik HSNZ, baru-baru ini. Selain itu katanya, pemilihan ahli keluarga yang ingin tinggal di bilik berkenaan diserahkan kepada pihak hospital (HSNZ).
Katanya, kedudukan asrama terletak kawasan pekarangan HSNZ itu bukan sahaja memudahkan ahli keluarga menunggu waris di wad, malah memberi sedikit keselesaan ketika menunggu sebab di situ juga mempunyai kemudahan lain termasuk ruangan untuk solat.