Halaman

07 August 2013

Syarikat Jepun bakal melabur di Setiu

Terengganu bakal menerima pelaburan bernilai kira-kira RM300 juta daripada sebuah anak syarikat Toyota dari Jepun bagi membina kilang pengeluaran kaca dan cermin serta produk berasaskan pasir silika di Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata syarikat itu sudah pun menyatakan persetujuan membina kilang silika di Setiu itu, yang bakal menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

“Satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai antara kerajaan negeri dan wakil syarikat berkenaan baru-baru ini, dan pembinaannya dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Ia adalah antara kesinambungan pembangunan di Terengganu selepas rakyat memberikan semula mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengagihan bantuan Aidilfitri kepada warga miskin di Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) daripada Tabung Amanah Ketengah Holdings, di Bandar Seri Bandi, malam kelmarin

 Menteri Besar berkata, Setiu mempunyai bahan mentah silika bermutu tinggi sama seperti ada di Australia dan ia mampu menarik perhatian pelabur dari Jepun membina kilang silika membuat kaca di situ.

Beliau berkata, sebuah lagi syarikat juga dari Jepun akan mengadakan usaha sama dengan anak syarikat Toyota berkenaan untuk membangunkan kilang silika membuat kaca itu.

 “Syarikat ini mempunyai pengalaman 80 tahun dalam bidang membuat kaca dan mempunyai lombong di Australia. Dengan pengalaman yang mereka ada ia meyakinkan kerajaan negeri bahawa pelaburan itu akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerja membina kilang silika membuat kaca itu dijangka bermula tahun depan di sebuah kawasan perindustrian di Setiu.

Sementara itu, beliau turut memuji syarikat induk KETENGAH, Ketengah Holding Sdn Bhd yang mampu menjana keuntungan tinggi dalam bidang perladangan meskipun harga sawit menurun sedikit tahun ini.