Halaman

05 August 2013

JKT lancar kempen kawalan tikus

Oleh: Noraini Jusoh

Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan melancarkan kempen kawalan tikus di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan secara serentak di seluruh negara pada 24 ogos ini.

Bagi Terengganu, kerajaan negeri akan melaksanakan kempen berkenaan melalui kerjasama beberapa agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato Haji Mat Razali Kassim berkata, jangkitan Leptospirosis atau kencing tikus adalah penyakit berjangkit dengan pelbagai gejala klinikal yang boleh membawa maut.

"Berdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat peningkatan ketara bagi kes Leptosprosis yang dilaporkan di Malaysia dari 2268 kes pada tahun 2011 kepada 3665 kes pada tahun 2012 dengan peningkatan sebanyak 62 peratus,” ujarnya.

Katanya, bagi membendung kes ini beliau berharap agensi berkaitan akan terus melakukan kawalan dan pemantauan terhadap premis-premis perniagaan di kawasan bandar walaupun bukan dalam tempoh kempen.

"Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengadakan aktiviti bergotong-royong untuk membersihkan premis masing-masing.

"Kebersihan tempat pengendalian dan penyediaan makanan hendaklah sentiasa terjaga bagi memastikan kesihatan peniaga dan pelanggan terjamin,” ujarnya.

Tambah beliau, kempen kawalan tikus kali ini menyasarkan orang awam, pengusaha premis makanan, operator pasar, pengusaha industri makanan serta pelajar sekolah.