Bukan biskut bangkit, tidak juga biskut bunga dahlia, tetapi nama sebenarnya biskut bangkit bunga dahlia dengan resepi ciptaan sendiri dan satu-satunya terdapat di negeri Terengganu Darul Iman.

Biskut Bangkit Bunga Dahlia menjadi ‘trademark’ Aulia Cookies melebarkan sayap perniagaannya ke seluruh negara melalui pengedar utama Koperasi Usahawan Bersatu Terengganu Berhad dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa).
Dalam suasana umat Islam membuat persiapan menyambut hari raya, biskut ini menjadi pilihan pelanggan tetap dan orang ramai boleh mendapatkannya melalui pengedar tertentu sahaja.

Menggunakan resepi ciptaan ibunya Puan Tahirah Othman, 46, perasa biskut ini memang tidak sama dengan biskut bangkit atau bunga dahlia yang biasa terdapat di pasaran sekarang.
Berkongsi rahsia biskut keluaran Aulia Cookies ini boleh disimpan selama setahun serta tahan pecah walau pun nampak lembut , disebabkan ia melalui proses pembakar yang agak panjang iaitu satu jam setengah dengan suhu sederhana.

“Keseronokan bermula bila ibu beri upah RM3,000 pada musim perayaan tahun lalu dan tahun ini saya
berazam untuk pergi lebih jauh serta berusaha untuk menimba ilmu dengan menyertai kursus pengurusan dan pemasaran,” kata anak sulung daripada tujuh adik beradik ini.
Setakat ini beliau mendapat sokongan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dari segi promosi dan pelekat jenama biskut keluarannya.
Hasil penyertaannya pada program Karnival Radio Ikim yang diadakan di Kuala Terengganu baru-baru ini Aulia Cookies mendapat 10 pengedar termasuk dari Pulau Pinang, Pahang dan juga Angkasa yang akan mempromosikan biskut keluarannya.
Paling mengembirakan katanya, biskutnya tidak bermusim dan permintaan dari pelanggan tidak pernah putus cuma jumlahnya tidak seperti musim perayaan.
Beliau bercadang akan menambah jumlah pembakar kuih untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat dari semasa kesemasa.
