Halaman

04 August 2013

Derita Mazlan kian berakhir

Oleh: Aida Abd Rahman

Penderitaan aktivis seni, Encik Mazlan Zakaria, 53, yang kehilangan kaki kanan akibat penyakit kencing manis yang kronik terus mendapat pembelaan kerajaan apabila mendapat pelbagai bantuan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Encik Mazlan yang baru sahaja menerima bantuan jangka pendek RM10,000 daripada kerajaan negeri disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee di rumahnya di Kampung Tasek, Bukit Payong, Rabu lalu, turut menerima kerusi roda dari JKM sejak bulan lalu, selain mendapat peruntukan Tabung Bantuan Kecemasan JKM RM200 lebih seminggu lalu.

Timbalan Pengarah JKM negeri, Encik Shaballah Zainal Abidin, berkata pihaknya meluluskan bantuan itu selepas menjalankan siasatan terperinci terhadap pemohon dan berdasarkan siasatan lanjut itu, pemohon layak menerima bantuan yang disediakan jabatannya.

“Selain kerusi roda untuk kegunaanMazlan yang kini menjadi orang kurang upaya, JKM juga meluluskan bantuan kanak-kanak menerusi nama isteri beliau, Che asmah Sulong, 47, untuk kegunaan dua anak mereka yang masih bersekolah berjumlah RM100 seorang bermula bulan lalu.

“Bantuan itu bagi meringankan perbelanjaan persekolahan dua anak Mazlan yang akan diperuntukkan sehingga mereka berusia 18 tahun,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Encik Shaballah berkata JKM juga sedang di peringkat keputusan mesyuarat penimbang jabatan bagi memutuskan permohonan bantuan am bulanan RM200 sebulan kepada Encik Mazlan dan akan diketahui dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya juga sedang meneliti dan akan menyiasat kes-kes permohonan bantuan yang melibatkan aktivis seni lain yang uzur serta tidak lagi mampu bekerja di seluruh Terengganu berdasarkan laporan dan juga permohonan pemohon itu sendiri.

Beliau bekata, ada di kalangan aktivis seni yang uzur gagal mendapat bantuan JKM memandangkan memiliki sumber kewangan yang kukuh dan dijaga waris terdekat yang mempunyai pendapatan yang melebihi syarat ditetapkan untuk membolehkan mereka mendapat bantuan berkenaan.

Encik Mazlan aktif di bidang teater sejak di bangku sekolah kemudian menyertai Ruang Teater Tamu dan perkumpulan teater Komputer serta pernah menjadi juara Bakat TV bersama kumpulan Pok Su (Mazlan) dan Pok De (Azmi) pada era 1990-an.

Bapa kepada tujuh anak berusia lapan hingga 27 tahun itu mengidap kencing manis sejak 10 tahun lalu dan kaki kanannya turut dipotong pada Mei lalu untuk mengelak jangkitan kuman selapas penyakitnya semakin kritikal.