Halaman

04 August 2013

Maidam agih wang zakat esok

Oleh; Esah Abdullah 

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mula mengagihkan pemberian wang zakat kepada fakir miskin dan mualaf di seluruh negeri mulai esok.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh berkata, Maidam memperuntukkan kira-kira RM3 juta membabitkan 6,500 fakir miskin dan mualaf seluruh negeri.

“Pengagihan wang zakat akan dilakukan di setiap daerah secara serentak mulai esok ,” katanya kepada pemberita di Majlis Pengurniaan Sumbangan Hari Raya kepada Anak Yatim dan Anak Fakir Miskin di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu hari ini.

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan majlis berkenaan.

Menurutnya, setiap fakir miskin atau mualaf akan menerima antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan setiap keluarga.

“Seorang fakir atau mualaf akan menerima RM300 dan setiap tanggungan akan menerima RM50 seorang , jika ramai banyaklah dapat malah ada keluarga menerima hingga lebih RM1,000,” katanya.

Katanya, hanya fakir miskin yang berdaftar dengan Maidam sahaja akan menerima wang zakat dan mereka yang belum berdaftar masih berpeluang berbuat demikian.

Menurutnya, pendaftaran sentiasa terbuka untuk kategori fakir miskin, JKKK atau orang ramai diminta untuk menghantar nama kepada Maidam dan siasatan akan dijalankan sebelum pengesahan dibuat.