Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merakamkan penghargaan kepada petugas media di seluruh Terengganu yang sudah memainkan peranan dengan baik sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut sehingga membawa kemenangan kepada parti Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, baru-baru ini.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih dengan kerja keras saudara-saudari semua yang menyumbang tenaga dan memberi laporan berita yang meluas sepanjang PRK Kuala Besut lalu.
“Alhamdulillah, BN mengekalkan kerusi itu dengan bantuan rakan media juga yang memberikan laporan yang betul dan pantas sepanjang kempen PRK itu,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan petugas media Terengganu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut mengingatkan semua petugas media, dalam keghairahan mereka menonjolkan imej agensi media masing-masing serta mencari keuntungan dalam perniagaan, golongan itu juga harus bertanggungjawab dengan setiap laporan yang dihasilkan serta mengelak dari memfitnah pihak lain.
Katanya, kerajaan amat memahami dasar dan peraturan agensi media termasuk media arus perdana serta media baru hari ini yang berusaha menarik perhatian dan tumpuan umum dengan berita yang dapat melariskan media masing-masing.
“Bagaimanapun, prasyarat yang harus diutamakan adalah media perlu bertanggungjawab apa yang dilakukan dan jangan sehingga memfitnah kerana tindakan itu seumpama membunuh.
“Pada masa yang sama, ramai di kalangan kita mudah percaya dengan fitnah, khususnya yang disebarkan menerusi Facebook sebagai medium yang berperanan besar menyebar luas maklumat yang dianggap sebagai paling mudah dan tepat pada masa kini,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau berharap semua petugas media melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan memberi laporan tepat supaya tidak menimbulkan kekecohan dan salah faham yang memberi kesan besar kepada pembangunan masyaraka, negeri dan juga negara.