Halaman

07 August 2013

Sultan Mizan berangkat ke Majlis Pengurniaan Insentif

Oleh: Nurul Suraya Abd Sukor 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Insentif kepada atlet FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Dewan Intan, Permai Hotel, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, serta Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, turut berangkat pada majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat serta barisan exco kerajaan negeri.

Majlis pengurniaan dan majlis berbuka puasa tersebut diserikan dengan pengurniaan insentif RM5000 kepada lima atlet yang bertanding iaitu Azizatul Asma Abdullah, Muhammad Alif Sabidi, Mohamad Adhwa Embong, Mohd Ziyad Hamzah dan YM Tengku Puteri Helen Nurina Tengku Shaharin Abu Bakar.

 Atlet negara berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila mereka mengungguli tempat keempat dalam pertandingan tersebut yang diadakan di Perancis, baru-baru ini.