Halaman

08 August 2013

Sultan Mizan solat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Al-Muktafibillah Shah

Oleh: Noraini Jusoh



Sultan Terengganu, Sutan Mizan Zainal Abidin, berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafibillah Shah, Ladang, pagi ini.



Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, para pembesar negeri, orang kenamaan dan rakyat jelata di kawasan Ladang dan Batu Buruk.



Selesai solat sunat Aidilfitri, rakyat jelata mengambil peluang untuk bersalam-salaman dengan baginda sambil mengucapkan Selamat Hari Raya.



Baginda turut menziarahi Makam Diraja yang terletak di masjid berkenaan.

 







Sambut Aidilfitri penuh kesyukuran

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengajak rakyat negeri ini menyambut Aidilfitri tahun ini dengan penuh rasa syukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t, termasuk suasana aman dan damai.

Beliau berkata, rakyat negeri ini amat bertuah kerana dapat menyambut hari lebaran bersama-sama anak isteri, saudara mara dan rakan taulan dalam keadaan yang aman tanpa sebarang gangguan dan ancaman keselamatan.

Katanya, suasana di Terengganu dan Malaysia amat jauh berbeza dengan negara-negara luar yang bergolak dan menghadapi peperangan akibat keadaan politik negara mereka yang kurang stabil.

 “Saya mahu rakyat negeri ini mempertahankan keamanan yang kita kecapi ini dan terus mendokong kerajaan supaya negeri Terengganu dan negara Malaysia menjadi lebih stabil di masa depan.

“Jika kuasa politik kita stabil dan ekonomi negara semakin kukuh, sudah tentu negara kita sukar diugat oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat kejatuhan negara kita,” katanya ketika ditemui di Kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud mendoakan agar seluruh rakyat negeri ini terus berpeluang merayakan Aidilfitri dalam keadaan aman dan dilindungi daripada mereka yang berniat jahat dan mahu menimbulkan huru hara dalam negara.

 “Ambilllah kesempatan menyambut hari raya ini dengan menerusukan amalan kunjung mengunjungi dan ziarah menzirahi sesama kita sepanjang musim perayaan ini.

 “Kukuhkan silaturahim dan ketepikan segala selisih faham sebelum ini. Jadilah rakyat yang terus bersatu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut meminta anak-anak Terengganu yang berada di perantauan supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang serta memandu mengikut peraturan bagi mengelakkan tragedi tidak diingini.

“Sekali lagi Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu, maaf zahir dan batin,” katanya.



Keunikan Ramadan dan Syawal di Kampung Bukit Wan

Oleh: Noraini Jusoh

Ramadan dan Syawal sememangnya bulan yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam di negara ini termasuk penduduk di sebuah perkampungan Melayu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu.

Kampung Bukit Wan yang pernah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Kebangsaan 2012 memang tidak asing lagi bagi rakyat Terengganu, `dek’ kehijauan landskap yang sentiasa terjaga dan keharmonian penduduknya yang saling hidup bermuafakat.

Sehubungan itu, Kampung berkenaan menerima kunjungan pemimpin nombor satu negara iaitu Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak bagi menyempurnakan majlis ADC, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK), Bukit Wan, Chek Harun Ismail berkata, kedatangan Ramadan pada kali ini memberi seribu makna kepada penduduk Kampung Bukit Wan yang mempunyai kira-kira 500 penduduk.

"Rutin harian penduduk di sini sepanjang bulan puasa lebih kurang sama dengan kampung lain. Mereka kebiasaannya keluar bekerja pada siang hari dan malamnya mengambil kesempatan di bulan mulia ini dengan mempertingkatkan amal ibadah seperti sembahyang terawih dan bertadarus secara berjemaah di masjid.

"Selain itu, majlis berbuka puasa secara berjemaah juga sudah menjadi satu kelaziman bagi penduduk Kampung Bukit Wan di mana satu tarikh dipilih pada setiap Ramadan untuk diadakan majlis berkenaan.
Untuk tahun ini, kami bersepakat mengadakannya pada 2 Ogos bersamaan 24 Ramadan 1434H bertempat di Masjid kampung Bukit Wan,” ujarnya kepada Teganukita.

Jelas beliau, jika kampung lain memasak hidangan untuk berbuka puasa di masjid, apa yang uniknya di sini ia di masak sendiri oleh setiap keluarga untuk di bawa ke masjid.

"Pada sebelah pagi diadakan majlis gotong royong memotong daging dimana seekor lembu dan seeekor kerbau disembelih untuk dijadikan lauk. Daging-daging tersebut diagihkan mengikut tempahan yang telah dibuat oleh penduduk kampung untuk dimasak di rumah masing-masing. Menjelang waktu Magrib, lauk-pauk yang dimasak dihantar ke masjid untuk dijadikan hidangan berbuka puasa,” ujarnya.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri di kampung berkenaan pula, Chek Harun berkata, Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bukit Wan disambut secara sederhana tetapi cukup meriah.

"Beberapa hari sebelum raya penduduk kampung telah sibuk membuat persiapan termasuklah membersih kawasan halaman rumah, memasang pelita, membersih jalan-jalan utama dan sebagainya.

"Kaum wanita pula sibuk membuat kuih-muih termasuk kuih tradisional seperti ketupat, lemang, tapai dan juga kuih moden. Dalam pada itu, anak-anak kampung yang sekian lama merantau, pulang ke kampung untuk menyambut hari raya bersama ibu bapa dan keluarga tercinta,” ujarnya.

Katanya, ada yang mengambil kesempatan untuk membayar zakat fitrah pada malam raya, malah turut disusuli dengan kesyahduan takbir yang berkumandang di masjid sehingga ke tengah malam.

"Pada pagi 1 Syawal, masjid mula dipenuhi orang ramai untuk sembahyang sunat hari raya.
Setelah selesai khutbah raya, semua penduduk kampung akan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.Keadaan ini telah menjadi satu tradisi di Kampung Bukit Wan,” ujarnya.

Tambah beliau, setelah semuanya selesai, penduduk kampung terus ke tanah perkuburan untuk menziarahi ahli keluarga yang telah meninggal. Disana di adakan majlis tahlil dan bacaan doa. Selepas itu barulah penduduk kampung mula menziarahi sanak saudara dan kunjung mengunjung antara satu sama lain.

 

TEGANUKITA 88




Aidilfitri lebih bermakna di rumah baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika sebelum ini, seorang ibu tunggal terpaksa hidup berpindah-randah bersama empat anak dan seorang cucu akibat desakan hidup dan tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Bagaimanapun, sejak setahun lalu, Puan Hasnah Ahmad, 49, tidak lagi gusar dan tertekan dengan beban sewa yang tinggi dan mencari tempat perlindungan yang selesa.

Ibu kepada lapan anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), Siti Robiah Othman, 21 tahun itu kini menetap di perumahan berkembar Kampung Kubur Sharif, Padang Nenas, Batu Rakit. Malah, menurut ibu kepada tujuh cahaya mata itu, satu Syawal kali ini adalah yang pertama beraya di rumah baru berkenaan bersama 39 keluarga lain di kawasan perumahan itu.

“Alhamdulillah, sungguh selesa, rasa lebih tenang dan tenteram sejak tinggal di rumah yang disediakan kerajaan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu ini.

 “Dengan ruang tamu, dapur dan tiga bilik tidur serta persekitaran yang agak luas untuk bercucuk tanam, saya dan keluarga rasa rumah begini sudah cukup baik untuk kami berlindung,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Puan Hasnah yang mula menetap di rumah itu sejak 20 Ogos lalu, menyifatkan rumah bantuan perumahan itu seperti `bulan jatuh ke riba’ kerana sudah lama dia dan keluarga mengimpikan sebuah kediaman yang selesa serta dapat berteduh dari hujan panas tanpa sebarang risiko berbanding mendiami di rumah serba kekurangan di kawasan pantai sebelum ini.

Dia yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 termasuk RM150 untuk Siti Robiah yang memegang kad OKU, merasakan hari raya kali ini lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Anak-anak semua yang tinggal di luar Terengganu, insya-Allah akan balik berhari raya di rumah ini.

“Walaupun persiapan ala-kadar saya tetap bersyukur dan gembira kerana tinggal di rumah jauh lebih sempurna berbanding sebelum ini, selain dikelilingi jiran tetangga yang baik hati serta tidak lokek menghulurkan bantuan walaupun kebanyakan kami hidup`kais pagi makan pagi’,”katanya.

Untuk rekod, sebanyak 40 Perumahan berkembar berharga RM45,000 seunit dengan kos keseluruhan kira-kira RM2 juta dibangunkan di kawasan itu menerusi sumbangan Maidam dengan Affin Islamik Bank RM1 juta, manakala selebihnya dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) bagi kerja-kerja menyediakan kemudahan infrastruktur.

Peserta yang menduduki rumah Maidam tidak akan diberi hak milik sebaliknya dikenakan sewa RM50 sebulan kerana konsep agensi berkenaan membantu penduduk miskin berkenaan, sementara mereka memiliki rumah sendiri.


07 August 2013

Ibu Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dapat rumah baru


Walaupun dapat rumah baru tetapi Khadijah tetap merinduni ASP Zulkifli.

 Oleh: Mohammad Ishak 

“Walaupun dapat rumah baru tetapi tidak boleh ditebus ganti dengan kehilangan anak tersayang,” kata Khadijah Ismail, 64, ibu kepada arwah Wira Negara Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah Mac lalu.

Khadijah, berhari raya pertama kali tanpa kehadiran Allahyrahman tetap merasai kehilangan anak lelaki yang mati terkorban dalam usahanya mempertahankan negara daripada diceroboh musuh.

Bagaimanpun, beliau mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang meluluskan peruntukan membaikpulih rumahnya sebelum ini dalam keadaan yang uzur.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Mohd Mahdi Musa melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kubang Ikan berusaha membaikpulih rumah berkenaan yang kini lebih selesa.

“Tahun ini mak cik berhari raya di rumah yang lebih selesa dan tidak lagi dalam keadaan daif seperti yang dihadapi sebelum ini,” katanya.

Namun,katanya, hati dan perasang tetap teringat dan terkenang-kenang kepada Allahyarham Zulkifli, kerena pada kebiasaanya pada setiap kali menjelang raya arwah pulang bersama isteri dan dua anak berhari raya bersama keluarga.

Menurutnya, arwah juga selalu membawa pulang ole-ole untuk mak cik dan adik beradik yang lain setiap kali pulang berhari raya.

Sultan Mizan berangkat ke Majlis Pengurniaan Insentif

Oleh: Nurul Suraya Abd Sukor 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Insentif kepada atlet FEI World Endurance Championships for Young Riders & Juniors 2013 di Dewan Intan, Permai Hotel, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua’az ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, serta Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra’ Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, turut berangkat pada majlis itu.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat serta barisan exco kerajaan negeri.

Majlis pengurniaan dan majlis berbuka puasa tersebut diserikan dengan pengurniaan insentif RM5000 kepada lima atlet yang bertanding iaitu Azizatul Asma Abdullah, Muhammad Alif Sabidi, Mohamad Adhwa Embong, Mohd Ziyad Hamzah dan YM Tengku Puteri Helen Nurina Tengku Shaharin Abu Bakar.

 Atlet negara berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila mereka mengungguli tempat keempat dalam pertandingan tersebut yang diadakan di Perancis, baru-baru ini.

 

Syarikat Jepun bakal melabur di Setiu

Terengganu bakal menerima pelaburan bernilai kira-kira RM300 juta daripada sebuah anak syarikat Toyota dari Jepun bagi membina kilang pengeluaran kaca dan cermin serta produk berasaskan pasir silika di Setiu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata syarikat itu sudah pun menyatakan persetujuan membina kilang silika di Setiu itu, yang bakal menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

“Satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dimeterai antara kerajaan negeri dan wakil syarikat berkenaan baru-baru ini, dan pembinaannya dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Ia adalah antara kesinambungan pembangunan di Terengganu selepas rakyat memberikan semula mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengagihan bantuan Aidilfitri kepada warga miskin di Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) daripada Tabung Amanah Ketengah Holdings, di Bandar Seri Bandi, malam kelmarin

 Menteri Besar berkata, Setiu mempunyai bahan mentah silika bermutu tinggi sama seperti ada di Australia dan ia mampu menarik perhatian pelabur dari Jepun membina kilang silika membuat kaca di situ.

Beliau berkata, sebuah lagi syarikat juga dari Jepun akan mengadakan usaha sama dengan anak syarikat Toyota berkenaan untuk membangunkan kilang silika membuat kaca itu.

 “Syarikat ini mempunyai pengalaman 80 tahun dalam bidang membuat kaca dan mempunyai lombong di Australia. Dengan pengalaman yang mereka ada ia meyakinkan kerajaan negeri bahawa pelaburan itu akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata, kerja membina kilang silika membuat kaca itu dijangka bermula tahun depan di sebuah kawasan perindustrian di Setiu.

Sementara itu, beliau turut memuji syarikat induk KETENGAH, Ketengah Holding Sdn Bhd yang mampu menjana keuntungan tinggi dalam bidang perladangan meskipun harga sawit menurun sedikit tahun ini.

 

Bantuan pelajaran Maidam untuk asnaf fakir mualaf sahaja

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengubah dasar bantuan pelajaran dari asnaf fisabilillah kepada asnaf fakir mualaf sahaja berdasarkan konsep keutamaan (al-aulawiyyat).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata bantuan pelajaran di bawah asnaf fisabilillah tidak lagi dikeluarkan, sebaliknya asnaf fisabilillah ini akan diberikan tumpuan kepada yang lain.

 “Biasiswa, dermasiswa dan bantuan Maidam terbahagi kepada dua kategori iaitu pelajar tajaan Maidam dan pelajar persendirian serta kedua-duanya di bayar di bawah asnaf fisabilillah.

“Hasil penelitian yang dibuat mendapati dari 95 orang pelajar tajaan Maidam yang mengikuti tiga program, iaitu program Memperkasakan Ulamak, Program Pakar Sakit Puan dan Program Mahasiswa Ansar, hanya 55 orang sahaja yang termasuk dalam kategori anak-anak asnaf serta bantuan pengajian akan diteruskan dan dibayar di bawah asnaf fakir dan miskin,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Sementara itu, Dato’ Mohd Rozali berkata, bakinya seramai 40 orang tidak termasuk dalam kategori anak-anak asnaf fakir miskin serta mereka akan dipindahkan kepada Yayasan Terengganu.

Beliau berkata, bagi memastikan pelajar berkenaan meneruskan pengajian, Maidam bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta di bawah asnaf fisabilillah atas nama sumbangan Tabung Pendidikan Negeri kepada Yayasan Terengganu (YT).

 “Dengan peruntukan yang disalurkan kepada YT itu, maka terpulanglah kepada YT menimbangkan kepada mereka untuk menyediakan bantuan pendidikan itu sebagai biasiswa atau pinjaman,” katanya.

Dato’ Mohd Rozali berkata, bagi pelajar persendirian pula, jika mereka termasuk dalam asnaf fakir miskin, bantuan pengajian akan diteruskan berdasarkan kadar, bidang dan tempat pengajian yang telah ditentukan.

Katanya, bantuan tiket balik juga hanya disediakan kepada pelajar persendirian yang tamat pengajian dengan membawa bersama ijazah sementara sebagai bukti.


Rumah terbuka MB, raya pertama

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu bagi meraikan rakyat pada hari raya pertama mulai jam 10.30 pagi hingga 3 petang.

Orang ramai dan perantau boleh berkunjung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Menteri Besar dan keluarga serta saf kepimpinan kerajaan negeri yang hadir pada majlis berkenaan.

Pelbagai juadah disediakan, termasuk nasi dagang, ketupat, lemang, sate, nasi himpit dan sebagainya akan dihidangkan untuk tetamu.

Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud akan mengiringi Sultan dan Sultanah Terengganu dari Istana Nur Nadhirah ke Masjid Al Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu untuk Solat Sunat dan menziarah Makam Diraja.