Halaman

26 August 2013

Pertandingan sihat peringkat Umno bahagian

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar kecil) berharap semua pihak yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian di negeri ini bermuafakat bagi mengurangkan pertandingan, sekaligus mengelakkan ketegangan dalam parti.

Bagaimanapun, beliau mengganggap pertandingan yang berlaku sebagai suatu yang sihat dan turut membuktikan Umno tidak ketandusan pemimpin berwibawa serta berketrampilan bagi menganggotai jawatankuasa tertinggi pertubuhan itu.

“Saya mendengar ramai yang menawarkan diri (untuk bertanding pelbagai jawatan tertinggi dalam bahagian) dan mereka daripada pelbagai peringkat sama ada orang lama, orang muda, malah tidak kurang juga mempunyai jawatan dalam kepimpinan negeri dan negara.

 “Ia merupakan perkembangan yang sihat sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Umno ketandusan pemimpin,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yakin tidak akan berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno kerana melihat reaksi serta harapan semua perwakilan Umno yang masih mahu mengekalkan kepimpinan tertinggi Umno yang sedia ada.

 “Untuk jawatan lain termasuk Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan peringkat bahagian (selain presiden dan timbalan presiden) tiada masalah kerana kita (Umno) mengamalkan konsep demokrasi.

“Bagaimanapun, kita akan memikirkan kaedah terbaik untuk kita mengurangkan berlakunya pertandingan,” katanya.

Menurutnya, jika berlaku pertandingan sekalipun, beliau berharap ia berlangsung dengan aman seumpama `adik-beradik’ dalam ikatan persaudaraan yang utuh.

Beliau berharap semua pihak menerima baik sebarang keputusan pemilihan di peringkat bahagian di seluruh negeri ini.


ROMBONGAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA MEMBUAT KUNJUNG HORMAT KE ATAS MENTERI BESAR TERENGGANU DI WISMA DARUL IMAN, KUALA TERENGGANU

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Rombongan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Terengganu, Dato'  Seri Haji Ahmad Said di pejabatnya di Wisma Darul Iman.





KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA DUTA BESAR REPUBLIK POLAND KE MALAYSIA KE ATAS Y.A.B MENTERI BESAR TERENGGANU DI WISMA DARUL IMAN, KUALA TERENGGANU

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said menyambut ketibaan Duta Besar  Poland, Prof. Adam Waclaw Jelonek di pejabatnya di Wisma Darul Iman.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Haji Mazlan Ngah turut menyambut Duta Besar Poland.





PBPPPM serah memorandum tuntut tujuh perkara

Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PBPPPM) Cawangan Terengganu menyerahkan satu memorandum menuntut tujuh perkara kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Dato' Abdul Rashid Ngah berkata memorandum itu diserah kepada Menteri Pendidikan Kedua Dato' Seri Idris Jusoh pada satu majlis hari raya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut.

Dato' Abdul Rashid Ngah menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Pendidikan Kedua, Dato' Seri Haji Idris Jusoh untuk menuntut tujuh perkara daripada kementerian itu.
"Antara tuntutan itu ialah PBPPPM Cawangan Terengganu mendesak kerajaan agar tidak berkompromi dan meneruskan Pelan Pembangunan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 tanpa ragu-ragu bagi memastikan 11 anjaran strategik dan operasi untuk membina sistem pendidikan dunia bertaraf dunia dapat dilaksana," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata PBPPPM juga mendesak kerajaan menolak segala desakan, asakan dan usaha pihak tertentu bagi mencabar kedaulatan serta keunggulan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar tunggal negara.

 "PBPPPM Terengganu juga tidak lupa untuk meminta kerajaan supaya meneruskan usaha menyemai perpaduan nasional melalui sistem persekolahan kebangsaan bagi semua kaum," katanya.


MBKT perhebat kempen basmi tikus

Tikus yang berjaya ditangkap di kawasan pasar dan kedai makan diasingkan untuk dihapuskan.
Gambar oleh Zulkipli Putra

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan memperhebat kempen membasmi tikus terutama di kawasan berisiko seperti kedai makan dan pasar, dengan menawarkan bayaran RM2 bagi seekor tikus sama ada hidup atau mati.

 Datuk Bandar Kuala Terengganu Dato' Adzlan Mohd Dagang berkata pihaknya membuka kembali kaunter tikus bagi membolehkan orang ramai menyerahkan haiwan itu kepada MBKT.


"Orang ramai di bandaraya ini boleh menyerahkan haiwan berkenaan di kaunter kami yang dibuka di Padang Negara Chabang Tiga dan Dewan Tunku Abdul Rahman bermula minggu depan.

 "Ini sebagai galakan kepada orang ramai untuk sama-sama menjaga kebersihan bandaraya ini sekali gus dapat mengelak terkena penyakit leptospirosis," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata fasa pertama kempen bermula dari Oktober 2013 hingga awal Januari lepas, dan sepanjang tempoh itu, sejumlah 1,162 ekor tikus dijual kepada MBKT.

Dato' Adzlan berkata MBKT turut membeli beberapa peralatan bagi menjalankan kempen itu seperti perangkap tikus, sarung tangan, gam, racun dan alat pengabutan.

 "Kita akan mengenal pasti laluan tikus dan selepas itu akan menutup lubang berkenaan dengan simen supaya tiada lagi pembiakan tikus di kawasan bandaraya ini, terutama di pasar," katanya.

 

PPNIN anjur program Secangkir Kasih Sekalung Budi

OLeh; Esah Abdullah 

Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (PPNIN) daerah Kuala Terengganu akan menganjurkan program ‘Malam Secangkir Kasih Sekalung Budi’ pada 28 Ogos bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Pegawai PPNIN Daerah Kuala Terengganu, Encik Kamarudin Ali berkata, program diadakn bagi mengeratkan silatulrahim antara wagra Rukun Tetangga di kampung-kampung dengan kepimpinan jabatan PPNIN daerah dan negeri.

“Pengarah PPNIN Terengganu Encik Burhanuddin Daud dijangka hadir dan berucap pada program berkenaan serta beramah mesra dengan semua warga rukun tetangga yang menjadi mata dan telinga masyarakat di kampung-kampung,” katanya.

Oleh itu katanya, Semua pengerusi dan jawatankuasa rukun tetangga dalam daerah Kuala Terengganu dijemput menyertai program yang bermula jam 8.30 malam itu.
 

MB rai rombongan Huaxicun, China

Oleh: Noraini Jusoh

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meraikan rombongan Huaxicun, China dalam satu majlis makan malam yang diadakan di Primula Beach Hotel, malam tadi.



Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.

Rombongan yang terdiri daripada lapan peserta itu disajikan dengan juadah istimewa makanan tradisi negeri Terengganu dan diceriakan dengan persembahan kesenian artis kebudayaan negeri.

Makan malam berkenaan turut dimeriahkan dengan pertunjukkan akrobatik yang dipersembahkan artis kebudayaan China.

Selain mengeratkan hubungan, majlis berkenaan turut menjadi medan bagi menonjolkan kebudayaan dan tradisi kedua-dua negara.

 

SAMBUTAN AIDILFITRI SK PUTERA JAYA, SETIU, MERIAH.

Oleh: Aminudin Ismail.

SETIU: Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya, di sini, meriah dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor dan isteri.

Pelbagai acara diadakan sempena sambutan rumah terbuka itu antaranya ialah persembahan karaoke, pertunjukan fesyen hari raya dan penyampaian hadiah galakan kepada murid yang cemerlang dalam peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Guru Besarnya, Zainuddin Dollah, berkata, kehadiran Dato' Sabri bersama isteri memeriahkan lagi sambutan kerana majlis itu adalah kali pertama dihadirinya sejak menjadi Adun dan kehadiranya juga menyuntik semangat pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.

"Sambutan kali ini mengabungkan beberapa jawatan kuasa antaranya ialah PIBG, JKKK Pak Kancil dan JKKK Putera Jaya. Ianya lebih meriah dari tahun-tahun yang lepas terutamanya kerana kesudian yang berhormat (YB) yang datang bersama-sama meraikan sambutan rumah terbuka ini," katanya.

 Zainuddin berkata, pelbagai juadah disediakan untuk penduduk setempat yang hadir antaranya ialah nasi minyak, kuih muih, ketupat dan tapai.




PEKAN BUDAYA DAERAH SETIU 2013 BERMULA

Oleh: Aminudin Ismail.

SETIU:  Kira-kira 1,000 penduduk sekitar daerah ini hadir pada majlis perasmian Pekan Budaya Daerah Setiu 2013 yang diadakan di Kampung Tarom, Bandar Permaisuri, di sini, malam semalam.

Pekan Budaya yang akan berakhir pada 31 Ogos dan menjadi acara tahunan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman dan dihadiri oleh beberapa ketua jabatan daerah Setiu.

Dalam ucapan perasmiannya, Bazlan mengharapkan Pekan Budaya itu akan memberi banyak manfaat kepada penduduk daerah Setiu antaranya ialah bagi menghidupkan semula seni budaya dan membantu peniaga kecil memperkenalkan produk keluaran mereka.

"Melalui pelbagai aktiviti yang membabitkan seni budaya seperti permainan tradisional yang semakin dilupakan dapat dihidupkan semula dengan mempertontonkan kepada pengunjung yang hadir manakala peniaga kecil pula berpeluang mengetengahkan hasil produk mereka untuk mempertingkatkan jualan," katanya.

Antara yang terdapat di Pekan Budaya itu ialah gerai jualan, bilik pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta permainan untuk kanak-kanak.



Beberapa kakitangan Risda daerah Setiu sedang menyiapkan gerai pemeran mereka di Pekan Budaya Daerah Setiu di Bandar Permaisuri, semalam.


25 August 2013

MB terima kunjungan hormat rombongan Huaxicun, China

Oleh: Noraini Jusoh

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan hormat daripada rombongan Huaxicun, China dalam pertemuan di Pejabat Menteri Besar, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, pagi ini.

Dalam pertemuan itu, Pengerusi Huaxi Group, Mr Wu Xie’ En selaku ketua rombongan sempat berkongsi pengalaman dan bercerita perkembangan pelbagai sektor serta meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dan pelaburan dalam bidang yang mampu menjana ekonomi kedua-dua pihak.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang, dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafie.



Sejurus pertemuan tersebut berakhir dengan merakam gambar kenangan bersama Menteri Besar, rombongan dari China seramai lapan orang itu turut menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, kira-kira jam 12 tengahari.

Pada sebelah petang, sesi dialog bersama Kerajaan Negeri Terengganu bersempena lawatan berkenaan diadakan di Hotel Primula Beach sebelum rombongan terbabit diraikan dalam majlis makan malam di hotel tersebut.