Halaman

13 September 2013

JPNV tubuh rumah penyayang

Oleh: Suriati Ali 

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (JPNV) akan menubuhkan Rumah Penyayang bagi menempatkan kucing terbiar di sekitar Dungun, dalam usaha melahirkan rasa sayang kepada haiwan terutama kucing dalam kalangan masyarakat

 Selain itu, jabatan itu juga akan membuat lawatan ke semua sekolah tadika bagi memberi pendedahan kepada anak-anak kecil supaya menyayangi haiwan berkenaan di usia yang muda.

Ketua Bahagian Regulatari Veterinar, Dr Mohd Hisham Fariz Mohd Amin berkata Rumah Penyayang yang bakal dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Daerah Dungun itu dijangka dapat menempatkan 200 ekor kucing terbiar.

"Kami akan menempatkan beberapa orang pegawai veterinar untuk berkhidmat dirumah ini dan menjaga kucing terbiar samaada yang dihantar oleh orang awam mahupun diambil oleh pegawai kami sendiri.

 "Selain penjagaan makan, pegwai kami juga akan membuat pemeriksaan menyeluruh kepada kucing yang tinggal di rumah ini termasuklah tahap kesihatan, penjagaan, dan juga rekod kucing berkenaan.

 "Malah sesiapa yang berminat untuk membela kucing bolehlah mendapatkannya di rumah berkenaan yang akan diambil secara angkat,"katanya selepas Majlis penyampaian hadiah `Cintai Haiwan Kesayangan' anjuran Jabatan Veterinar Terengganu di Taman Makmur, Sungai Kerak, Marang.

 Beliau berkata, jabatan berkenaan juga berhasrat mewujudkan Rumah Penyayang itu di seluruh negeri Terengganu sekiranya mendapat sambutan baik daripada semua masyarakat.

 Sementara itu, Hisham berkata jabatan berkenaan juga akan melawat seluruh Tadika di negeri ini bagi memberi motivasi kepada kanak-kanak supaya mereka lebih menyayangi haiwan seperti kucing.

 "Buat masa ini kami sedang mendapatkan kelulusan daripada jabatan yang bertanggungjawab terhadap Tabika dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak yang lain untuk meneruskan usaha kami ini.

 "Kami berharap dengan adanya usaha ini secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah gelandangan kucing yang ada di seluruh negeri ini,"katanya.



SKPJ jangka 10 murid dapat 5A

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

TEKUN..sebahagian murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Putera Jaya (SKPJ), Setiu tekun menjawab soalan peperiksaan UPSR di hari terakhir peperiksaan itu, di dewan SKPJ, semalam.

Guru Besarnya, Zainudin Dollah, berkata sekurang-kurangnya 10 murid dijangkakan akan mendapat keputusan 5A daripada 66 calon yang mengambil ujian itu.

“Selepas tiga hari menduduki peperiksaan itu, kebanyakan murid-murid berpuashati dengan jawapan yang mereka berikan dan kita menjangkakan 10 murid atau lebih akan mendapat keputusan 5A tahun ini,” katanya.

Seorang ibu menerima duit Kwapm anaknya.
Sementara itu, semalam juga, seramai empat murid tahun satu sekolah itu menerima duit E-Kasih dan 15 orang menerima duit Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (Kwapm) yang diagihkan kepada ibu bapa masing-masing di sekolah itu.

Seorang bapa, Nordin Chik berkata, beliau terterima kasih kepada kerajaan kerana menubuhkan kumpulan wang itu kerana ia banyak membantu golongan berpendapatan rendah meringankan beban untuk menanggung persekolahan anak-anak.

Duit E-Kasih dan Kwapm banyak membantu anak-anak yang ibu bapa mereka kurang berkemampuan. Bantuan tahunan itu sebanyak RM450 dan RM200 itu dapat membeli pelbagai keperluan persekolahan anak-anak,” katanya.

 

12 September 2013

Gunung Tebu berpotensi jadi pusat penyelidikan dan eko-pelancongan negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Kawasan berhutan di Gunung Tebu dilihat amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi penyelidikan, rekreasi dan eko-pelancongan terkenal di negara ini

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), (Dasar dan Perancangan) Dato’ Masran Md Salleh, berkata pemilihan gunung itu sebagai tempat ekspedisi saintifik pada tahun lalu bertujuan untuk mengeksplorasi segala keunikan dan keistimewaan kepelbagaian biologi yang masih tersimpan di kawasan itu.

“Lebih-lebih lagi, gunung ini merangkumi hutan berbeza iaitu bermula dengan jenis dipterokarp pamah hinggalah ke hutan pergunungan di puncaknya yang semestinya memberikan gambaran sebuah hutan yang cukup unik dan menarik untuk diterokai.

 “Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian yang juga dapat dilihat dari puncak Gunung Tebu,” katanya dalam kenyataan akhbar sempena Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin. Pada 8 hingga 13 Julai 2012, JPSM memilih Gunung Tebu sebagai lokasi Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu.

Manakala seminar kali ini pula bertujuan membincangkan penemuan yang diterokai dalam ekpedisi berkenaan berkaitan kepelbagaian, keunikan dan keistimewaan khazanah flora dan fauna di kawasan persekitaran gunung itu.

Katanya, sebanyak 29 kertas kerja dalam pelbagai bidang kajian merangkumi bidang pengurusan hutan, kepelbagaian biologi flora dan fauna serta persekitaran fizikal dibentangkan dalam seminar itu.

Beliau berkata,seminar itu merupakan siri ekspedisi ke-22 anjuran JPSM sejak 199 dan ketiga di Terengganu selepas meneroka kepelbagaian khazanah hutan di Hutan Simpan Gunung Mandi Angin dan Hutan Rimba Bukit Bauk dalam siri seminar ekspedisi yang lalu.


Peruntukan RM8j bangunkan pusat penyelidikan Tasik Kenyir

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Antara beberapa pulau di dalam Tasik Kenyir.
Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM8 juta untuk membangunkan pusat penyelidikan Tasik Kenyir yang bertindak sebagai pusat pengumpulan data saintifik mengenai ekosistem akuatik dan kawasan persekitaran tasik seluas 38,000 hektar itu.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menggerakkan projek itu bagi memastikan kepelbagaian sumber alam dan ekosistem tidak ternilai di tasik berkenaan diuruskan secara mampan supaya memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Ahli Lembaga Pengarah UMT, Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad, berkata pusat penyelidikan yang akan menempatkan kemudahan prasarana, makmal, asrama dan peralatan penyelidikan dilaksanakan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti, UMT, minggu lalu.

“Kita mendapati pelan perancangan Kerajaan Terengganu dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sangat mantap dalam usaha membangunkan pulau itu. Jadi, peranan kita di pusat penyelidikan Tasik Kenyir nanti membantu memantapkan usaha itu dengan melibatkan semua `stakeholders’ seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan dan Mardi.


 “Sebagaimana kita tahu, dua tasik terbesar di negara kita, selain Temenggong adalah Kenyir yang memiliki kelebihan untuk diekplorasi dan memberi manfaat secara berterusan menerusi penyelidikan yang  diketuai Prof. Emeritus Dr Faizah Sharom ,” katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) (Dasar dan perancangan), Dato’ Masran Salleh dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin.

Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad yang bertindak sebagai Ketua Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013 berkata penyelidikan itu juga akan membantu mempelbagaikan dan memperkayakan hidupan ikan, selain memastikan sumber air terkawal serta bersih di tasik buatan manusia itu.

 “Kita akan mengenal pasti penyelidik dari UMT dan UniSZA dahulu menggerakkan penyelidikan itu, jika tidak dapat, kita akan mendapatkan khidmat penyelidik dari universiti lain di seluruh Malaysia khususnya mereka yang muda dan bertenaga,” katanya.


Gangguan bekalan air di Marang

Oleh: Suriati Ali

 Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan Tangki Air Bukit Belat, Marang, Terengganu pada 18 September ini.

Kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air di mana bekalan air akan ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan pelaksanaan kerja-kerja kerja-kerja penyelenggaraan ini.

Kawasan yang terlibat bermula jam 10 hingga 2.00 pagi di kawasan itu, termasuk Kampung (Kg) Che Jah, Kg Hutan Banau, Kg Gondang, Kg Sungai Serai, Kg Batu Penunggul, Kg Lubuk Batu dan Kg Jerung Surau .

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata kerja itu akan dijalankan pada waktu malam bagi meminimakan ketidakselesaan pengguna.

 Katanya, pihak kami amat sensitif dengan sensitiviti pengguna tetapi kerja-kerja ini perlu dilakukan untuk keselesaan pengguna dalam jangka masa panjang.

“Kami akan berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaan kerja dan meminimakan tempoh gangguan. “Pengguna-pengguna dinasihatkan supaya menyimpan air dengan secukupnya untuk kegunaan masing-masing.

 “Pengguna-pengguna juga diminta untuk bersabar dan boleh menghubungi talian aduan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di talian 1300 882 111 untuk sebarang pertanyaan dan aduan,” katanya.

 

BPUNT buka lapan kaunter pada hari penamaan calon

Razali Bidin
Oleh; Esah Abdullah

Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) akan membuka lapan kaunter pada hari penamaan calon bagi pemilihan semua jawatan dalam parti pada 21 September ini mulai jam 8 pagi hingga 5 petang bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.

Setiausaha Kerja BPUNT, Encik Razali Bidin berkata,  kaunter berkenaan akan mewakili lapan bahagian iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

“Borang penamaan calon akan disediakan secukupnya untuk memberi peluang semua ahli yang ingin bertanding semua jawatan dalam Umno Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri ,” katanya kepada Teganukita hari ini.

Katanya, tahun ini merupakan tahun pemilihan semua jawatan dalam parti dan terbuka kepada semua ahli Umno yang telah menyertai parti selama tiga tahun dan ke atas.

Menurutnya, Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 12 Oktober manakala Persidangan Umno di peringkat bahagian pada 19 Oktober dan semua persidangan sayap dan bahagian akan diadakan serentak di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain Encik Razali berkata sehingga ini kira-kira-kira 85 peratus cawangan Umno seluruh negeri sudah selesai mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

“Terdapat 1,091 cawangan seluruh negeri dan sebahagian besarnya sudah selesai bermesyuarat hanya ada 25 peratus sahaja belum mengadakan mesyuarat yang dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum tamat tempoh bermesyuarat pada 15 September ini,” katanya.
 

Sabri meriahkan rumah terbuka PPFCB

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

 
SETIU: Kehadiran Ahli Dewan Undangan (ADUN) Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor memeriahkan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Persatuan Pekedai-Pekedai Felda Chalok Barat (PPFCB) yang di perkarangan perkedaian itu, Chalok Barat, di sini.

Sekalipun sibuk dengan tugas sebagai wakil rakyat terutamanya untuk merasmikan mesyuarat UMNO cawangan tetapi Sabri yang hadir bersama isterinya sempat meluangkan masa hadir dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Pelbagai juadah disediakan untuk tetamu, antaranya ialah nasi minyak, nasi kerabu, ketupat, tapai, lemang dan lain-lain.

Seorang ahli PPCFB , Salbiah Mat Zin, 40, berkata beliau gembira hadir ke majlis itu dan dapat bertemu lebih dekat dengan wakil rakyat baru dun Langkap itu dan berterima kasih kepada Sabri kerana meluangkan masa hadir memeriahkan lagi majlis.

“Sambutan kali ini, amat meriah, pelbagai juadah yang kita sediakan mendapat sambutan ramai. Kedatangan YB ke majlis ini beramah mesra dengan tetamu memeriahkan lagi suasana majlis,” katanya mengenai majlis yang menjadi acara tahunan itu.

Sabri (kanan) beramah mesra dengan seorang tetamu.
Sementara itu, Dato’ Sabri berkata, beliau mengharapkan semua penduduk di Langkap bersama-sama berganding bahu denganya untuk memajukan kawasan itu dengan terus memberi sokongan kepada UMNO dan kerajaan Barisan Nasional

.

Memasak di perpustakaan.

Oleh: Aminudin Ismail.

 
Beberapa peserta asyik melihat demontrasi memasak.

SETIU: Orang-ramai yang berminat dalam bidang masakan diminta menyertai demontrasi masakan mengunakan buku resepi masakan dari perpustakaan yang akan diadakan di perpustakaan Awam Daerah Setiu, Bandar Permaisuri, di sini.

Penolong Pegawai perpustakaan itu, Mohd Azran Yusof,berkata demontrasi itu bertujuan mengalakan masyarakat terutamanya golongan surirumah meminjam buku dari perpustakaan termasuklah buku resepi masakan.

"Selain buku Fiksyen pihak kami juga mempunyai buku bukan fiksyen seperti buku resepi dan lain-alain. Oleh itu perpustakaan ini bukan semata-mata untuk golongan kanak-kanak dan remaja sahaja malah banyak bku untuk golongan dewasa seperti surirumah dan ibubapa," katanya.

Menurutnya, dia mengalu-galukan kadatangan golongan itu ke perpustakaan dengan mengadakan pelbagai aktiviti untuk menarik mereka datang, katanya, acara demontrasi masakan itu akan menjadi aktiviti bulanan. 

"Orang-ramai yang berminat bolehlah datang terus ke perpustakaan pada hari yang ditetapkan. Selain aktiviti ini, beberapa aktiviti lain turut diadakan dari semasa ke semasa," katanya mengenai perpustakaan yang mempunyai 150,000 naskah itu.


11 September 2013

Kawasan 1,350 hektar bangunkan Setiu Wetlands sebagai taman negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju membangunkan tanah lembap (Setiu Wetlands) seluas 1,350 hektar di Setiu  sebagai taman negeri bagi memulihara ekosistem dan biodiversiti alam semula jadi di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, berkata taman negeri yang pertama seumpama itu di Terengganu dibangunkan mengikut fasa berdasarkan keperluan dan permohonan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).

“Keluasan keseluruhan melibatkan kira-kira 20,000 hektar, bagaimanapun untuk peringkat permulaan kita majukan kawasan seluas 1,350 hektar terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri akan melihat semula kewajaran untuk meluaskan kawasan taman negeri berdasarkan permohonan (Jabatan Perhutanan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) (Dasar dan perancangan), Dato’ Masran Salleh dan Pengarah JPNT, Tuan Haji Azmi Nordin.

Hadir sama, Ketua Ekspedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu Terengganu 2013, Professor Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad.

Dato’ Ahmad Razif berkata, usaha untuk membangunkan Setiu Wetlands sebagai taman negeri diputuskan dalam seminar pertama yang berlangsung di Terengganu sebelum ini.

"Pada dasarnya, kerajaan negeri bersetuju dan kita akan mewartakan kawasan itu untuk membangunkan satu kawasan yang cantik dan kaya dengan keindahan serta memiliki kelainan flora dan fauna yang jarang ditemui di lokasi lain itu sebagai Taman Negeri.

“Manakala seminar peringkat kebangsaan kali kedua berlangsung di Terengganu ini, berkaitan Seminar Eskpedisi Saintifik kepelbagaian Biologi Hutan Gunung Tebu yang diketuai Prof Dr Abdul Latiff merupakan pakar dalam bidang perhutanan,” katanya.

Menurutnya, seminar ekspedisi ini adalah siri yang ketiga selepas kejayaan JPSM meneroka kepelbagaian khazanah hutan di Hutan Simpan Gunung Mandi Angin dan Hutan Rimba Bukit Bauk, Dungun dalam siri seminar ekspedisi yang lalu.

Katanya, pada tahun lalu, Gunung Tebu dipilih sebagai lokasi ekspedisi sepanjang 8 hingga 13 Julai yang bertujuan mengeksplorasi segala keunikan dan keistimewaan kepelbagaian biologi yang masih tersimpan di kawasan hutan pergunungan yang indah itu.

 

Program UniSZA dapat pengiktirafan badan profesional

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abdiin (UniSZA) akan terus memastikan kurikulum yang digunakn memenuhi ciri-ciri kurikulum yang berkualiti dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr. Yahya Ibrahim berkata, perkara berkenaan sejajar dengan usaha menjamin kualiti dan matlamat pengiktirafan semua pihak.

“UniSZA akan memastikan semua program mendapat pengiktirafan badan profesional dan bahagian jaminan kualiti Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya ketika merasmikan Minggu Mesra Siswa sesi 2013/2014 di Dataran Al Muktafi Billah Shah yang dihadiri 2,600 siswa.

Katanya, UniSZA mempunyai prasarana lengkap untuk keperluan dan keselesaan pelajar dan persekitaran yang menyuburkan budaya ilmu serta kondusif ke rah kegiatan intelektual pelajar.

Menurutnya, kemudahan kolej kediaman di UniSZA adalah antara yang terbaik daripada 20 buah IPTA di negara ini.

Katanya, budaya membaca, menyelidik, berdiskusi, berhujah, menulis dan pelbagai kegiatan keilmuan keintelektualan menjadi budaya yang hidup subur di kalangan mahasiswa dan budaya inilah juga telah membentuk jati diri, karektor yang melahirkan mahasiswa unggul dan seimbang dari semua seg.

“Perjalanan hidup mahasiswa baru bermula. Ingatlah segala pengorbanan ibu bapa yang telah membesarkan dan memberi pelajaran kepada kita dengan penuh keringat dan air mata untuk melihat anaknya menjadi manusia berguna yang dapat menjaga diri dan keluarga pada masa akan datang.

 “Pastikan saudara tidak kecundang dalam perjalanan selama tiga dan empat tahun sebelum mengenggam segulung ijazah ,” katanya.